Siasatan ke atas sekolah agama FR Quran Centre, susuli laporan polis: Muis
PUSAT pengajian agama FR Quran Centre (FRQC) yang bertempat di 37 Onan Road sudah menerima arahan menghentikan operasi menerusi perintah penutupan yang diberi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 24 April 2019.
Muis, dalam kenyataannya pada Khamis (28 Januari) menjelaskan perintah penutupan itu ditujukan kepada Encik Osman Sarkam, pemilik FRQC kini. Pengasas pusat tersebut, Encik Fahrorazi Sohoi, seorang pendakwah setempat.
Menurut Muis lagi, perintah penutupan itu diberi kepada Encik Osman kerana mengendalikan institusi pengajian agama Islam yang tidak berdaftar dan menugaskan Encik Fahrorazi untuk mengajar di situ meskipun beliau tidak berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Muis telah membuat laporan polis mengenai perkara ini dengan pihak polis pula sedang menyiasatnya.
Ia sejajar dengan tuntutan Undang-Undang 5, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Amla), di mana seseorang tidak harus mengendalikan institusi agama Islam kecuali ia berdaftar di bawah Muis dengan kegagalan memenuhi tuntutan ini dianggap bersalah.
Muis juga menasihatkan masyarakat Islam agar mengikuti pengajian agama daripada asatizah bertauliah yang berdaftar di bawah ARS serta institusi agama Islam yang berdaftar di bawah Amla.
Senarai institusi dan guru yang berdaftar ini boleh diperolehi menerusi https://licence1.business.gov.sg/web/frontier/ars-directory-search atau https://licence1.business.gov.sg/web/frontier/iecp-directory-search
ARS adalah skim yang dijadikan mandatori pada Januari 2017 bagi mengekalkan mutu tinggi yang dijangka bagi guru pengajian Islam dalam sektor pendidikan Islam serta bagi memastikan masyarakat Islam menerima arahan dan bimbingan agama yang sewajarnya, memenuhi keperluan dan konteks Singapura.