Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Siasatan koroner: Pekerja SMRT di Depoh Bishan mati dihempap palang 5kg

Feb 26, 2021 | 06:29 PM



MUKA seorang pegawai teknikal SMRT telah dihempap palang besi seberat lima kilogram yang tercampak daripada peralatan berat di Depoh Bishan sehingga menyebabkan kematiannya pada Mac tahun lalu. 



Dalam satu sesi siasatan koroner pada Jumaat (26 Februari) yang meninjau kematian Encik Muhammad Afiq Senawi, 30 tahun, mahkamah diberitahu Allahyarham sedang mengendalikan mesin tekan hidraulik apabila batang besi itu terlontar daripada mesin, menembusi kawasan berpagar dan tertimpa mukanya.



Mesin tekan hidraulik itu digunakan bagi tujuan perusahaan dan berkuasa meremukkan kereta.



Memberi keterangannya, Staf Sarjan Amirudin Nordin, sebagai saksi pertama, dan juga pegawai penyiasat kes ini, menjelaskan Encik Afiq sedang mengendalikan mesin itu di bengkel Rolling Stock bersama seorang lagi rakan yang membantunya pada 23 Mac 2020.



Encik Afiq telah ke stesen kerjanya selepas satu taklimat keselamatan pada pagi itu. Rakannya datang selepas itu dan tidak bertanya kepada Encik Afiq jika pemeriksaan keselamatan sudah dijalankan. Rakan itu menyangka Encik Afiq sudah selesai melakukan pemeriksaan keselamatan.



Apabila mereka berdua menggunakan mesin itu, rakannya itu terpandang pad getah yang tidak terletak betul. Mereka akur ada sesuatu yang tidak kena pada komponen mesin itu dan menghentikannya.



Staf Sarjan Amirudin menambah, menurut rakan kerja Encik Afiq, beliau telah memalingkan wajahnya bagi memeriksa sesuatu di situ apabila terdengar bunyi mesin itu beroperasi lagi. Bunyi kuat kedengaran selepas itu dengan pagar yang mengepung mesin itu kelihatan berlubang. Batang besi itu kemudian kelihatan terhempas ke lantai.



Encik Afiq juga dilihat terjatuh ke belakang dengan keadaan nafasnya tercungap-cungap.



Darah mengalir dari mulut Encik Afiq. Seorang lagi pekerja menarik keluar lidah Encik Afiq bagi mengelakkannya tercekik. Usaha memberi pernafasan kecemasan kepadanya dilakukan sebelum ambulans tiba dan menghantarnya ke Hospital Tan Tock Seng. Beliau meninggal dunia pagi itu juga.



Satu laporan autopsi mengenal pasti kecederaan muka dan dada menjadi punca kematian. Satu laporan perubatan jabatan kecemasan menunjukkan objek seberat lima kilogram itu terbang ke arah muka Encik Afiq.



Staf Sarjan Amirudin memberitahu mahkamah siasatan menunjukkan batang besi pada mesin tekan hidraulik itu terbang, menembusi pagar dan menghentak muka Encik Afiq. Tiada perbuatan khianat didapati dalam kes ini.



Beliau juga menjelaskan pagar itu yang mencegah pekerja daripada meletakkan tangan mereka dalam mesin bukan bertujuan melindungi objek daripada terlontar keluar daripada kawasan yang dikepung.



Tunang Encik Afiq dan adik-beradiknya menghadiri sesi siasatan koroner itu,



Sesi ini akan disambung lagi pada tarikh yang akan ditetapkan kelak dengan pegawai Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pula dijangka memberi keterangan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >