SINGAPURA akan menyumbang AS$100,000 ($137,868) bagi menyokong usaha bantuan segera di Sri Lanka, tempat ratusan ribu orang terpaksa tinggal di tempat perlindungan selepas banjir besar melanda pulau itu.
"Pemerintah Singapura mengucap takziah kepada pemerintah dan rakyat Sri Lanka di atas kehilangan nyawa dan kerosakan yang tidak pernah berlaku dahulu akibat banjir dan tanah runtuh sejak minggu lalu," kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada Isnin (23 Mei).
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, juga telah menulis kepada Menteri Luar Mangala Samaraweera untuk menyampaikan ucapan takziah.
Menurut MFA, dana itu akan disalurkan menerusi pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC).
Dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin, SRC berkata sumbangan pemerintah itu sebahagian daripada bantuan kemanusiaan berjumlah AS$150,000 yangt akan dihantar kepada mangsa taufan Roanu di Sri Lanka.
SRC akan mengagihkan barangan bantuan seperti makanan, dan barangan bukan makanan seperti kit isi rumah dan kesihatan serta pakaian bernilai AS$150,000 kepada masyarakat terjejas, yang telah meninggalkan kesan kemusnahan di Sri Lanka.
"Barang-barang ini akan memenuhi keperluan paling mendesak," kata kenyataan itu.
Sebuah pasukan SRC juga bersiap sedia untuk dikerah bagi kerja-kerja pemindahan di masyarakat terjejas, katanya.
Menurut laporan media, air banjir telah surut di ibu negara Colombo selepas hujan paling lebat dalam tempoh 25 tahun melanda negara itu sejak minggu lalu, mencetuskan tanah runtuh yang menimbus mangsa.
Seramai 84 orang diketahui telah meninggal dunia di seluruh pulau itu, di tengah-tengah kebimbangan jumlah korban mungkin meningkat, dengan 116 orang masih disenaraikan sebagai hilang, kata Pusat Pengurusan Bencana dalam kemas kininya.