SIRI buku Nabil Nabilah bagi murid Darjah 5 dan 6 telah dilancarkan semalam oleh Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman ketika melawat Sekolah Rendah Westwood.
Buku tersebut ditulis oleh guru-guru Bahasa Melayu sekolah rendah dengan tujuan menggalakkan cinta membaca dalam kalangan murid.
20 cerita pendek yang terdapat dalam dua buku tersebut berteraskan konteks kehidupan Singapura.
Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengedarkan buku-buku baru itu kepada semua sekolah rendah pada minggu pertama penggal kedua tahun ini.
Dr Maliki yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), menambah:
"Kami menyedari pentingnya pembelajaran bahasa dan merasakan bahawa kami harus mengembangkan minat untuk belajar bahasa di kalangan murid kami seawal mungkin.
"Siri buku Nabil Nabilah (telah dibangunkan) untuk mendorong pembelajaran dan cinta yang lebih mendalam terhadap bahasa Melayu," ujar Dr Maliki.
Beliau telah menyertai kelas Bahasa Melayu di sekolah tersebut semalam dan melihat bagaimana buku Nabil Nabilah telah dimanfaatkan dalam bilik darjah.
Ini termasuk mendedahkan para murid kepada tanam-tanaman yang sering digunakan dalam masakan Melayu seperti serai, daun kesum dan daun pandan melalui salah satu cerita pendek yang terdapat dalam buku itu.
Ketua Subjek bagi Bahasa Melayu dan Tamil yang telah mengajar kelas tersebut, Cikgu Elna Hussein, telah menyediakan pelbagai jenis daun bagi para muridnya melihat dan bau sendiri.
Mereka kemudian diberikan kuiz dalam talian untuk menguji pemahaman pelajaran serta bahan bacaan yang telah diajarkan.
Siri buku Nabil Nabilah bagi Darjah 5 dan 6 itu adalah tambahan kepada siri buku yang sama bagi murid Darjah 1 dan 2 dilancarkan pada 2015 serta bagi Darjah 3 dan 4 yang dilancarkan pada 2018.
Maklumat lanjut mengenai siri buku tersebut boleh didapati di www.mllpc.sg.