Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perbuatan edar Ice kian meningkat di rantau ini: MHA

Tipu pancingan data, pekerjaan, e-dagang, pelaburan dan panggilan rakan palsu antara trend jadi keprihatinan
Feb 09, 2023 | 05:30 AM



TREND pengedaran dadah methamphetamine, atau Ice, semakin meningkat di rantau ini, dan ini terutamanya membimbangkan kerana ia dadah paling disalah guna di Singapura sejak 2015, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) semalam.



Dalam satu kenyataan yang berkongsi gambaran situasi keselamatan di sini tahun lalu, Kementerian itu turut mengetengahkan trend lain yang menjadi keprihatinan, termasuk penipuan, terutamanya berkaitan pancingan data, pekerjaan, e-dagang, pelaburan dan panggilan rakan palsu.



Turut menjadi keprihatinan ialah kesalahan seksual, dengan sebahagian besar kes melibatkan mangsa dan pesalah yang kenal satu sama lain.



Berhubung isu dadah, MHA berkata Biro Narkotik Pusat (CNB) terus mengganggu aliran dadah ke dalam negara ini, dan rampasan ganja terus meningkat dari tahun ke tahun.



"Penyalah guna dadah baru berusia bawah 30 tahun yang ditangkap juga kekal sebagai satu keprihatinan.



"Tahap penyalahgunaan ganja, terutamanya oleh mereka di bawah usia 20 tahun, telah kembali ke paras sebelum Covid-19, dan lebih ramai belia dalam kumpulan usia ini ditangkap pada 2022 kerana menyalah guna ganja," kata kementerian itu.



MHA juga menarik perhatian tentang kenaikan jumlah kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan.



Ini mungkin disebabkan pelonggaran langkah pengurusan selamat tahun lalu, yang membawa kepada peningkatan trafik kenderaan dan manusia, ujar MHA.



Kenaikan jumlah kemalangan disebabkan perbuatan memandu dalam keadaan mabuk dan melebihi had laju serta yang melibatkan penunggang motorsikal dan pejalan kaki warga emas antara keprihatinan utama kementerian itu.



Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima lebih banyak panggilan Khidmat Perubatan Kecemasan tahun lalu, dan ini sebahagiannya disebabkan beberapa gelombang jangkitan Covid-19.



Terdapat juga kenaikan dalam jumlah keseluruhan kebakaran di premis bukan kediaman, termasuk kebakaran komersial dan perindustrian. Jumlah kebakaran kenderaan juga meningkat berbanding 2021.



Sementara itu, jumlah pesalah imigresen yang ditangkap Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) turut meningkat, mungkin disebabkan lebih ramai orang memasuki Singapura sejak pembukaan semula sempadan.



Jumlah kes kontraban, iaitu barang yang dilarang diimport ke sini atau yang cukainya tidak dibayar, yang dikesan di pusat pemeriksaan tahun lalu juga bertambah.



Bagaimanapun, terdapat beberapa trend positif tahun lalu.



Antaranya, kadar bentan (recidivism) dua tahun keseluruhan dalam kalangan bekas pesalah kekal rendah dan stabil, dan terus antara yang terendah di dunia.



Jumlah keseluruhan kes kebakaran, termasuk kebakaran di premis kediaman, kebakaran tumbuh-tumbuhan dan yang melibatkan alat mobiliti peribadi (PMD), berkurangan.



Menurut Laporan Perangkaan Kebakaran Sedunia tahun lalu, Singapura terus mencatat kadar kematian akibat kebakaran antara yang terendah di dunia.



Sementara itu, jumlah pasport yang dikeluarkan ICA meningkat lebih tiga kali ganda, manakala jumlah pelancong bertambah lebih 16 kali ganda tahun lalu berbanding 2021 sedang perjalanan antarabangsa pulih dan sempadan negara dibuka semula mulai April tahun lalu.



MHA menambah bahawa gerakan SGSecure juga telah mencapai kemajuan baik, dengan Home Team dan Ketua Kelompok bekerja rapat untuk memaklumkan, melatih dan mempersiapkan masyarakat untuk membantu mencegah dan bertindak terhadap serangan pengganas.



Misalnya, mereka telah mendekati lebih 550,000 keluarga sejak 2016 untuk mengajar mereka cara melindungi diri dan keluarga, dan mengenali serta melaporkan tingkah laku atau barang mencurigakan.




SITUASI KESELAMATAN 2022 



ANTARA TREND PENINGKATAN UTAMA



- Kadar bentan dua tahun kekal rendah dan stabil



- Jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal kekal lebih rendah daripada jumlah sebelum Covid pada 2019



- Jumlah kes kebakaran di premis kediaman, kebakaran tumbuh-tumbuhan dan kebakaran melibatkan PMD berkurangan



- Kemalangan melibatkan penunggang basikal di jalan raya berkurangan



ANTARA TREND MEMBIMBANGKAN



- Situasi dadah mencabar di peringkat global dan rantau



- Kesalahan seksual dan cabul kehormatan



- Penipuan melibatkan pancingan data, pekerjaan, e-dagang, pelaburan, panggilan rakan palsu



- Kemalangan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk dan melebihi had kelajuan bertambah



- Jumlah pesalah imigresen ditangkap bertambah



- Kemalangan trafik maut melibatkan pemandu dan pejalan kaki warga emas bertambah



- Kes kebakaran kenderaan dan di premis bukan kediaman, termasuk kebakaran komersial dan perindustrian, bertambah




"Penyalah guna dadah baru berusia bawah 30 tahun yang ditangkap juga kekal sebagai satu keprihatinan. Tahap penyalahgunaan ganja, terutamanya oleh mereka di bawah usia 20 tahun, telah kembali ke paras sebelum Covid-19, dan lebih ramai belia dalam kumpulan usia ini ditangkap pada 2022 kerana menyalah guna ganja."



- Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >