Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sokongan bagi pembangunan profesional asatizah

Dengan kemahiran profesional, asatizah turut dapat menyumbang dalam sektor selain agama, kata Maliki kepada pelajar S'pura di Jordan
Oct 23, 2022 | 05:30 AM



DARI AMMAN, JORDAN - PEMERINTAH bersedia menyokong golongan asatizah yang kini menuntut di luar negara dalam pembangunan profesional dan kerjaya mereka, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman.



Beliau menegaskan bahawa mereka merupakan golongan asatizah masa depan Singapura yang bukan setakat guru yang mengajar membaca Al Quran tetapi diharap menjadi pemimpin pemikir kepada masyarakat yang sentiasa bersedia memberi respons kepada cabaran semasa dan meyakinkan umat Islam Singapura terhadap dasar dan fatwa semasa.



Beliau berkata demikian sewaktu satu acara makan malam di Hotel Fairmont, Amman, Jordan yang dihadiri lebih 70 pelajar pendidikan Islam Singapura yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di universiti di Jordan, malam kelmarin.



Dr Maliki berkata beliau berharap golongan asatizah diharap mempunyai kemahiran profesional setaraf sektor lain agar mereka turut dapat menyumbang dalam sektor selain agama.



Menurut Dr Maliki, menerusi Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) yang dibangunkan pada 2019, satu ekosistem dan prasarana telah disediakan bagi menyokong asatizah bina kemahiran profesional mereka.



Dr Maliki berkata satu tangga pembinaan profesional selari dengan perkhidmatan awam Singapura telah disediakan bagi asatizah untuk mereka pertingkat keupayaan profesional dan kepimpinan mereka.



"Usaha memprofesionalkan asatizah ini tidak bermakna anda mahir dalam bidang Islam sahaja tetapi setaraf dengan kerjaya lain yang anda akan dapat berdiri dengan bangga bersama kerjaya-kerjaya lain. Saya ingin memastikan itu menjadi satu kenyataan bagi anda," ujar Dr Maliki lagi.



Sekitar 170 pelajar Singapura kini menuntut di Jordan terutama di Universiti Jordan (UOJ) di ibu kota Amman dan Universiti Yarbuk di Irbid.



Para hadirin turut merupakan anggota Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (Siraj) dan antara cabaran yang dikongsi pelajar kepada Berita Minggu(BM) ialah keprihatinan sukar mendapat pekerjaan sebaik sahaja pulang ke Singapura.



Mereka juga berkongsi cabaran yang dihadapi sebahagian kohort tahun ketiga dan keempat yang menyaksikan pendidikan mereka terjejas apabila terpaksa pulang ke Singapura akibat sekatan Covid-19 pada 2020.



Merujuk kepada contoh langkah pengurusan Covid-19 seperti pelaksanaan solat Jumaat secara terhad di Singapura, Dr Maliki berharap asatizah generasi depan dapat menyumbang dalam proses penghasilan fatwa secara aktif, lebih lagi dengan keadaan tidak menentu sekarang.



Beliau juga merujuk kepada Program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang perlu diambil asatizah sesudah pulang yang menawarkan pelbagai modul mata pelajaran lain seperti pekerjaan sosial dan psikologi bagi mendedahkan asatizah kepada kemahiran lain di luar pendidikan Islam.



"Mengapa kami lakukan ini? Kami ingin memberi anda pendedahan kepada peluang kerjaya baru dalam sektor lain. Kami ingin memberi anda perspektif bahawa seorang asatizah tidak semestinya berkhidmat dalam sektor keagamaan sahaja namun juga dalam sektor berkaitan," jelas Dr Maliki



"Anda boleh berkhidmat dalam sektor kewangan kerana anda mempunyai landasan pengetahuan baik terhadap kefahaman Islam dalam kewangan, anda boleh menyumbang dalam bidang undang-undang dan lain-lain lagi.



"Itu yang kami maksudkan apabila kami kata kami ingin tingkat tahap profesionalisme asatizah. Kami ingin anda sedar bahawa sektor keagamaan hanya salah satu sektor yang anda boleh sertai, namun anda juga boleh menyumbang dalam sektor lain dengan kelayakan anda sebagai asatizah," tambahnya lagi.



Beliau juga melahirkan harapan agar asatizah yang pulang dapat mempertingkat mutu pendidikan madrasah di Singapura dan memperkukuhkan masjid menerusi Wakaf Masyarakat.



Ini dapat mengekalkan minat dalam kalangan pemuda Singapura dan menambah baik bekalan asatizah bagi masa depan Singapura.



Dr Maliki berada di Jordan dalam rangka lawatan kerjanya ke Timur Tengah dan dijadual pulang ke tanah air esok.



Beliau memulakan lawatan itu di Baitulmakdis pada Isnin lalu, dan telah membuat kunjungan ke Ramallah, Tebing Barat, wilayah Palestin, Israel, dan kemudian tiba di Jordan Rabu lalu.



Laporan lanjut: Siswa universiti Jordan manfaat latihan di Warees Investments




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >