Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN BELANJAWAN 2023

Sokongan inovasi: Syarikat sambut baik sokongan Belanjawan

Feb 16, 2023 | 05:30 AM



SYARIKAT setempat dengan rancangan mengembangkan perniagaan ke pasaran luar negara dan melakukan inovasi, terutamanya dalam dunia pasca-Covid-19 ini, mengalu-alukan langkah-langkah sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada Selasa.



Ini termasuk $1 bilion yang diperuntukkan dalam inisiatif Perusahaan Global Singapura (SGE) untuk menyediakan sokongan khusus kepada syarikat berpotensi dalam bidang seperti inovasi, penyejagatan dan memupuk kerjasama dengan syarikat lain.



Sebuah Skim Inovasi Perusahaan juga akan diperkenalkan bagi membantu perniagaan meneruskan usaha inovasi, khususnya di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan kos tinggi.



Encik Ali Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Hospitality Group - yang mengendalikan restoran bufet seperti The Landmark @ Village Hotel Bugis - berkata inisiatif yang diumumkan adalah amat positif dan akan banyak membantu dalam membangunkan perusahaan setempat.



"Ini terutamanya akan menyokong syarikat kecil dan sederhana (SME). Jumlah $1 bilion yang diperuntukkan dalam SGE misalnya akan menyediakan sokongan khusus untuk syarikat.



"Dengan tempoh Covid-19 kini berakhir selepas hampir tiga tahun dan kita kini dalam keadaan pemulihan, saya sedang membangunkan strategi untuk berkembang ke Malaysia, Timur Tengah dan Australia pada 2024," kata beliau.



Ketua pegawai operasi rangkaian kafe dan restoran The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, turut melahirkan pandangan serupa, sambil menambah kumpulan syarikat itu sedang meneroka peluang mengembangkan perniagaan dan rangkaian di negara seperti Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Australia.



"Kami masih dalam peringkat penerokaan tetapi saya percaya sokongan yang diberi di bawah inisiatif SGE akan memberi bantuan lanjut dalam menghubungkan kami dengan pihak yang betul dan mempermudahkan proses permulaan perniagaan di luar negara," kata beliau.



Pengerusi Eksekutif Enercon Asia, Encik Azhar Othman, pula berkata sokongan khusus untuk syarikat berkembang yang disediakan di bawah SGE adalah sejajar dengan rancangan syarikatnya untuk membuka pejabat di luar negara, manakala Skim Inovasi Perusahaan pula selaras dengan komitmen inovasi yang sentiasa dilakukan di syarikatnya.



Beliau menambah Geran Kecekapan Tenaga yang akan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2024 menunjukkan pemerintah komited dalam penjagaan iklim dan kemampanan - satu aspek perniagaan teras syarikatnya untuk membantu klien dalam perjalanan mengurangkan pelepasan karbon.



"Secara keseluruhan, Belanjawan 2023 menyokong inovasi, pertumbuhan dan pengurangan pelepasan karbon syarikat di Singapura," kata beliau.



Langkah-langkah lain yang diumumkan termasuk tokokan $4 bilion dalam Dana Produktiviti Nasional, dan tambahan $150 juta bagi Dana Pelaburan Bersama SME.



Mengalu-alukan inisiatif untuk perniagaan yang diumumkan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Farid Khan, berkata pihaknya gembira melihat pelbagai langkah yang disediakan untuk membantu perniagaan menangani cabaran segera, memudahkan akses kepada kredit dan melanjutkan tarikh akhir bagi beberapa geran yang sedia ada.



"Dewan bersedia membantu anggota kami dalam bidang seperti pendigitalan, kewangan atau pembangunan strategi perniagaan bagi kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang," kata beliau.



Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pula berkata adalah penting bagi syarikat Singapura melayari gelombang penyelidikan dan inovasi sedang mereka terus berkembang.



Ia menambah bahawa Skim Inovasi Perusahaan yang baru akan meletakkan syarikat Singapura dalam peta transformasi dengan risiko yang "dilindungi", sambil menggalak semua syarikat memulakan kegiatan inovasi supaya dapat membangunkan kelebihan daya saing baru.



Pengerusi SBF, Encik Lim Ming Yan, berkata Belanjawan 2023 menandakan tumpuan jelas oleh pemerintah untuk beralih daripada pemberian bantuan sementara melabur dalam membantu perniagaan mengejar inovasi dan membina keupayaan untuk kekal berdaya saing.



"Perniagaan melahirkan keyakinan pasca-Covid, namun ramai yang kemudiannya bersikap berhati-hati disebabkan tekanan kos yang meningkat dan cabaran tenaga manusia yang berterusan.



"SBF akan terus membantu masyarakat perniagaan memanfaatkan langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 untuk meneruskan usaha dan mencari pertumbuhan baru," kata beliau.




SEKILAS INISIATIF SOKONG PENIAGA



BANGUN PERNIAGAAN SETEMPAT



  •  $1 bilion diperuntukkan dalam Inisiatif Perusahaan Global Singapura (SGE) untuk sediakan sokongan khusus kepada syarikat berpotensi

  •  Tambahan $150 juta bagi Dana Pelaburan Bersama SME untuk melabur dalam SME yang berpotensi

BINA KEUPAYAAN DAN JAMIN PELABURAN BERMUTU



  • Tokok $4 bilion dalam Dana Produktiviti Nasional dan luaskan skop menyokong pelaburan

PUPUK DAN KEKALKAN INOVASI



  • Skim Inovasi Perusahaan baru, sokong kegiatan inovasi perniagaan

  • Beri potongan cukai tahunan sebanyak 400%; dibataskan pada $400,000 untuk perbelanjaan dalam lima bidang seperti kajian dan pengembangan, pendaftaran Harta Intelektual (IP)

  • Potongan cukai 400%; dihadkan pada $500,000 bagi perbelanjaan untuk projek inovasi dengan politeknik, ITE atau rakan kerjasama layak yang lain

  • Pilihan tukar 20% daripada perbelanjaan yang layak setiap tahun penilaian, kepada pembayaran tunai sehingga $200,000




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >