SINGAPURA telah menghantar dua pesawat yang padat dengan muatan silinder oksigen untuk membantu India menangani krisis kekurangan oksigen akibat gelombang kedua jangkitan Covid-19.
Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menghantar bekalan silinder oksigen itu dengan menggunakan dua pesawat C-130 dari Singapura ke Bengal Barat di India.
Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman, semalam telah mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dan menekankan bahawa rakyat Singapura akan berganding bahu dengan India dalam usaha negara itu memerangi pandemik ini.
"Ini dapat dilaksanakan kerana adanya hubungan rapat yang terjalin antara masyarakat, pemerintah dan kedua-dua negara," ujarnya.
Dr Maliki, yang juga Menteri dalam Pejabat Perdana Menteri, berucap semasa majlis penyerahan bantuan kemanusiaan kepada Suruhanjaya Tinggi India ke Singapura, Encik P. Kumaran, semalam di Pangkalan Udara Paya Lebar.
Inisiatif tersebut, yang diatur pada masa yang singkat, menunjukkan kerjasama rapat antara berbilang agensi daripada kedua-dua pihak, kata Kementerian Ehwal Luar dalam satu kenyataan semalam.
Menghantar bekalan silinder oksigen ke India merupakan sebahagian daripada usaha bantuan dan sumbangan Singapura untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada India.
Bilangan mereka yang dijangkiti Covid- 19 di India mencapai satu lagi rekod pada Isnin lalu bagi hari kelima berturut-turut.
Pada Ahad lalu, negara itu mencatat bilangan tertinggi dalam kes harian Covid-19 dengan 352,991 kes.
India yang mempunyai jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion, telah mencatatkan lebih 17.6 bilion jangkitan Covid-19 dan lebih 197,000 kematian.
Pakar kesihatan berkata bilangan kematian mungkin lebih tinggi.
Peralatan perubatan termasuk bekalan berkaitan oksigen, telah dihantar dari Singapura ke India pada Ahad lalu.
Pada Sabtu lalu, Pasukan Udara India telah mengambil empat tanki 'cryogenic' dari Lapangan Terbang Changi.
Tanki itu akan digunakan untuk memindahkan oksigen di India.
Menekankan bahawa Covid-19 merupakan satu ancaman rentas sempadan, Dr Maliki berkata: "Ia (pandemik) tidak mengira negara, kewarganegaraan atau bangsa.
"Ini sebabnya kita perlu bekerjasama secara kolektif untuk menyokong satu sama lain."
Dr Maliki turut mengucapkan terima kasih kepada pemerintah India kerana ingin terus bekerjasama dengan Singapura sepanjang pandemik ini dan memastikan rantaian bekalan kekal terbuka dan barangan keperluan masih dapat terus berjalan dengan lancar.
Beliau turut berharap India berjaya dalam usahanya menangani pandemik itu.