Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura terbit strategi 5 serampang banteras biaya pengganasan

Oct 08, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA telah menerbitkan strategi lima serampang untuk cegah, kesan, siasat dan kuatkuasa terhadap pembiayaan pengganasan.



Strategi Kebangsaan untuk Membanteras Pembiayaan Pengganasan itu menyediakan peta laluan untuk pembangunan pelan tindakan masa depan untuk memerangi pembiayaan pengganasan.



Demikian menurut satu kenyataan bersama oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) semalam.



Strategi Membanteras Pembiayaan Pengganasan Kebangsaan itu telah digubal berdasarkan penemuan daripada penilaian menyeluruh risiko pembiayaan pengganasan yang dijalankan pada 2020.



Ancaman pembiayaan pengganasan utama Singapura ditimbulkan oleh kumpulan pengganas serantau dan antarabangsa serta individu yang radikal, sedang mereka mengumpul, menggerakkan dan menggunakan sumber kewangan untuk tujuan pengganasan.



Penyedia perkhidmatan pembayaran yang menjalankan pemindahan wang rentas sempadan dan bank sememangnya lebih terdedah kepada ancaman pembiayaan pengganasan, kata kenyataan itu.



Ini memandangkan betapa mudah dan cepatnya perkhidmatan mereka boleh digunakan, ditambah pula dengan Singapura sebagai hab kewangan dan pengangkutan, dan jarak dekat Singapura kepada negara yang terdedah kepada kegiatan pengganasan.



Justeru Strategi Membanteras Pembiayaan Pengganasan Kebangsaan itu bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan merentas agensi penguatkuasaan undang-undang, penggubal dasar, pengawal selia, agensi penyeliaan dan sektor swasta.



Agensi penguatkuasaan undang-undang, dasar dan penyeliaan yang berkaitan telah menerima pakai pelan tindakan itu seperti yang dipandu oleh Strategi Membanteras Pembiayaan Pengganasan Kebangsaan.



Salah satu strategi itu ialah mengamalkan pendekatan agensi-agensi pemerintah secara lebih berselaras, agar langkah yang diambil menjadi lebih kemas dan tersusun. Landskap pembiayaan pengganasan juga perlu disemak dengan kerap, dengan mengambil kira keperluan, piawaian antarabangsa dan corak semasa dan yang baru muncul, serta sumber daripada sektor swasta dan ahli akademik.



Strategi itu juga akan memastikan adanya rangka kerja undang-undang yang menyeluruh untuk membolehkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan yang pantas dan berkesan terhadap pengganas, pertubuhan pengganas dan penyokong mereka, termasuk pembiaya pengganasan.



Ia akan turut memastikan bahawa rangka kerja kawal selia antipengubahan wang terlarang dan menentang pembiayaan pengganasan Singapura kekal teguh, dan rangka kerja penyeliaan bertumpukan risiko berkesan dan sejajar dengan amalan terbaik dan piawaian antarabangsa.



Strategi itu juga akan memastikan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas diambil dengan memperkukuh kerjasama antara agensi untuk memastikan semua kejadian pembiayaan pengganasan dikesan dan disiasat dengan segera.



Ia akan turut memastikan perkongsian dan kerjasama antarabangsa dengan meningkatkan usaha untuk memberi dan mendapatkan bantuan undang-undang daripada bidang kuasa lain, serta memanfaatkan saluran kerjasama tidak formal, untuk menangani aliran pembiayaan pengganasan secara proaktif.



"Singapura kekal beriltizam untuk mengambil tindakan tegas terhadap pembiayaan pengganasan untuk memastikan negara, rantau dan dunia kita selamat daripada kegiatan pengganas," kata kenyataan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >