Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura-Uzbekistan perkukuh hubungan, jalin kerjasama pelbagai bidang

Jan 18, 2023 | 05:30 AM



SINGAPURA dan Uzbekistan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, perdagangan, pendakwaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.



Sewaktu kunjungannya ke Singapura, Presiden Uzbekistan, Encik Shavkat Mirziyoyev, telah menyaksikan pertukaran sebanyak lapan Memorandum Persefahaman (MOU) dan Perjanjian Kerjasama, yang turut disaksikan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong.



Antaranya ialah perjanjian kerjasama pengangkutan yang ditandatangani semalam.



Di bawah perjanjian itu, Singapura dan Uzbekistan akan memperkukuh kerjasama dalam bidang penerbangan sivil, pembangunan pengangkutan darat, pembangunan sumber manusia, dan inovasi serta penyelidikan pengangkutan, menurut kenyataan media Kementerian Pengangkutan (MOT).



Perjanjian itu ditandatangani bersama oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S Iswaran, dan Menteri Pengangkutan Uzbekistan, Encik Ilkhom Makhkamov.



"Penandatanganan perjanjian kerjasama pengangkutan antara Singapura dengan Uzbekistan ini menunjukkan komitmen kami memupuk kerjasama lebih erat. Kami menanti-nantikan pengukuhan hubungan dua hala kami menerusi pertukaran idea dan amalan terbaik dalam bidang pengangkutan bersama Uzbekistan," kata Encik Iswaran.



Semalam, Encik Mirziyoyev menerima sambutan istiadat di Istana sedang beliau membuat kunjungan bertemu Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob, serta Perdana Menteri, Encik Lee.



Dalam pertemuan dengan Puan Halimah dan Encik Mirziyoyev menegaskan semula hubungan mesra antara Singapura dan Uzbekistan sedang kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).



Puan Halimah turut mengalu-alu ketersambungan yang lebih rapat antara Singapura dengan Uzbekistan termasuk hubungan antara rakyat serta pertukaran parlimen.



Beliau juga menggalakkan Uzbekistan agar menggunakan Singapura sebagai laluan untuk mendekati Asia Tenggara.



Dalam catatan Facebook yang dimuatnaiknya, Puan Halimah berkata:



"Walaupun negara kita berbeza dari segi saiz dan geografi, kita berkongsi kepentingan sama seperti menyokong pembangunan wanita, menyediakan pendidikan bermutu, dan mempertingkat hubungan parlimen dan perdagangan. Dengan sokongan Presiden Mirziyoyev, saya yakin hubungan Singapura-Uzbekistan akan terus diperkukuh dalam tahun-tahun mendatang."



Encik Lee, yang turut bertemu Encik Mirziyoyev, mengalu-alu minat Uzbekistan untuk belajar daripada pengalaman Singapura dalam bidang seperti latihan perkhidmatan awam, pentadbiran awam dan pendidikan, menurut MFA.



Encik Lee diberi taklimat mengenai strategi pembangunan Uzbekistan dengan Encik Mirziyoyev mengalu-alu syarikat Singapura agar meneroka peluang di Uzbekistan.



Sebanyak 18 MOU telah ditandatangani syarikat Singapura dan pertubuhan Uzbekistan kelmarin.



MOU itu ditandatangani di Forum Perniagaan Uzbekistan-Singapura bertajuk Era Ekonomi Baru Uzbekistan, Melebihi 2023.



Forum itu dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Kedutaan Republik Uzbekistan di sini sebagai sebahagian acara lawatan Encik Mirziyoyev itu. Beliau dijadualkan berangkat pulang petang semalam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >