Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Aktiviti sekolah berasaskan ketinggian disambung

MOE: Kegiatan dikendali dengan langkah keselamatan dipertingkat
moe
Feb 02, 2023 | 05:30 AM



KEGIATAN Pembelajaran Kembara Luar Darjah (OAL) melibatkan tempat tinggi bagi sekolah telah disambung.



Ia dihentikan selama dua tahun selepas kematian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun pada Februari 2021.



Kegiatan OAL bermula semula di Pusat OAL (OALC) Jalan Bahtera pagi semalam bagi sekitar 80 pelajar yang sedang menyertai sebuah kem untuk pelajar menengah tiga Sekolah Menengah Gan Eng Seng.



Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, melawat pusat itu untuk menyaksikan dan beramah-tamah bersama pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti zipline, menakik turun (abseil) dan memanjat struktur yang dibina khas di pusat di Lim Chu Kang itu.



Penyambungan kegiatan berasaskan ketinggian dikendalikan dengan langkah-langkah keselamatan yang dipertingkat, kata Kementerian Pendidikan (MOE).



Pertama, tempo kegiatan berasaskan ketinggian dikurangkan kepada separuh atau kurang lagi daripada keupayaan operasi biasa stesen kegiatan sedemikian di pusat itu sehingga 31 Mac.



MOE menyatakan ini akan memberi pelajar lebih banyak masa untuk melakukan setiap kegiatan itu.



Menurut Ketua Pendidik Pengembaraan Luar, Encik Kuang Yoke Wee, 53 tahun, langkah-langkah itu diambil untuk mengetatkan proses keselamatan.



"Antara langkah keselamatan baru yang dipertingkat ialah keperluan akreditasi baru bagi instruktor serta usaha mengukuhkan akauntabiliti," kata beliau, yang menyatakan sekitar 50 peratus sekolah yang telah menempah kemudahan di OALC hingga Mac akan melakukan kegiatan berasaskan ketinggian.



Beliau menambah bahawa instruktor juga perlu menandatangani pemeriksaan keselamatan terperinci sebelum mengeluarkan peralatan seperti abah-abah keselamatan untuk digunakan oleh pelajar.



Kegiatan berasaskan ketinggian digantung sejak Februari 2021 menyusuli satu insiden yang mengakibatkan kematian pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), Jethro Puah, 15 tahun.



Puah tergantung pada abah-abah keselamatannya yang longgar selepas dia terjatuh dari kemudahan kegiatan sukan tali di Safra Yishun dan kancing abah-abah kakinya terbuka.



Akibatnya, dia tercekik dan meninggal dunia kerana kegagalan berbilang organ.



Seorang fasilitator telah didakwa menyebabkan kematian melalui perbuatan gopoh atau cuai yang tidak sampai kepada homisid, atau pembunuhan.



MOE kemudian menggantung kegiatan berasaskan ketinggian bagi semua sekolah.



Kementerian itu mengendalikan empat pusat yang menjalankan kegiatan sedemikian.



Outward Bound Singapore (OBS) juga mengendalikan kegiatan sedemikian di dua pusatnya.



Bercakap kepada Berita Harian, seorang pelajar Sekolah Gan Eng Seng yang menyertai kem itu, Ayisy Zakir Karim, berkata dia bersama teman-temannya berasa amat teruja dapat menyertai kegiatan berasaskan ketinggian.



"Saya tidak sabar untuk mencuba kegiatan zipline kerana ia kelihatan seronok.



"Walaupun saya pernah melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan ketinggian ketika di darjah lima, saya berasa pengalaman ini amat berbeza kerana instruktor memberikan arahan dengan lebih jelas dan benar-benar menitikberatkan keselamatan kami," ujar pelajar berusia 15 tahun itu.




SYARAT KEGIATAN BERASASKAN KETINGGIAN 



  • PENYELIA KESELAMATAN

- Hanya instruktor bersijil tahap kedua Persatuan bagi Teknologi Kursus Cabaran (ACCT) boleh menyelia pengendalian keselamatan keseluruhan kegiatan.



- Mereka juga menyelia pengurusan situasi menyelamat dan pemindahan bagi kegiatan.



- Instruktor itu hanya menjalankan tugas penyeliaan keselamatan dan tidak menjalankan kegiatan berasaskan ketinggian.



  • PENGENDALIAN KEGIATAN

- Instruktor yang telah disahkan, dibantu penyelia kegiatan, akan bertanggungjawab ke atas penubuhan dan pengendalian pelbagai kegiatan.



  • PENILAIAN DAN PENGURUSAN RISIKO

- Kakitangan sekolah yang dilantik menyelia pelaksanaan pelan penilaian dan pengurusan risiko, serta pelaksanaan kejadian dan pelan kecemasan apabila diperlukan.



  • KESEJAHTERAAN PELAJAR

- Guru menjadi fasilitator dan ditugas menjaga pembelajaran, kesejahteraan umum dan disiplin pelajar peserta kegiatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >