Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Syukur dapat 'peluang kedua' selepas bertarung dengan barah

Jerih payah lalui barah kolorektal sekitar 7 tahun lalu ubah persepsi bekas guru jasmani sekolah yang kini berazam beri semangat, dorongan kepada pesakit lain
Oct 14, 2022 | 05:30 AM



MENJADI seorang suami dan bapa yang lebih baik.



Itulah hasrat Encik Arun Rosiah, 58 tahun, setelah beliau berjaya bertarung dengan barah kolorektal tahap ketiga.



Ketika ditemui Berita Harian (BH) di rumahnya, Encik Arun yang seringkali kelihatan tenang dan mesra, berkongsi secara terus terang tentang kehidupannya.



Menurutnya beliau amat berbeza sekali sebelum mengetahui beliau menghidapi barah pada 2015.



"Dahulunya saya sangat ego dan seringkali tidak sabar. Saya menyertai maraton, pergi ke gim, menghadiri kursus kecergasan profesional... semuanya untuk diri saya sendiri.



"Saya tidak pernah melibatkan keluarga saya dalam keputusan saya, dan pada masa itu hubungan saya dengan anak-anak saya sangat tegang dan saya bersama isteri juga hampir berputus," ujar beliau yang mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan dalam lingkungan usia 20 hingga 26 tahun.



Namun, itu semua berubah apabila beliau dimaklumkan oleh doktor bahawa beliau menghidapi penyakit barah kolorektal tahap ketiga pada usia 51 tahun.



Mulanya beliau merasa terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan tertanya-tanya mengapa ia berlaku kepadanya.



"Sebagai guru pendidikan jasmani selama lebih 20 tahun, saya seringkali mengekalkan diet yang sihat dan kerap bersenam.



"Jadi, saya berasa amat terkejut apabila saya diberitahu saya menghidapi barah kolorektal," ujar beliau.



Perjalanan rawatan dan pemulihan beliau yang memakan masa berbulan-bulan amat mencabar - dari kesakitan dan kelemahan yang dirasakan ketika rawatan kemoterapi hingga bertarung dengan diri sendiri kerana kehilangan keyakinan diri apabila melihat keadaan badannya yang semakin merosot.



Encik Arun menjalani radioterapi dan kemoterapi serta pembedahan untuk membuang tumor, rektum dan 20 sentimeter daripada kolonnya.



Selama lapan bulan, beliau mempunyai beg stoma yang dipasang pada perutnya untuk mengeluarkan najis sehingga satu lagi pembedahan dilakukan untuk mengeluarkannya.



Disebabkan kesan sampingan rawatan dan pembedahan, beliau sering berasa loya, mempunyai kawalan pundi kencing yang lemah, luka mulut dan rasa kebas pada tangan dan kakinya.



Namun di saat-saat yang amat mencabar itu, beliau berpeluang untuk merenung dan menyesuaikan keutamaan dalam kehidupan.



Beliau bertekad untuk membina semula hubungan yang lebih teguh dan lebih banyak melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak serta isteri yang telah berada di sisinya dan menyokong setiap keperluannya tanpa mengeluh.



"Selepas mendapat barah, saya melalui perubahan dalaman yang besar.



"Sebagai seorang ayah, saya sangat tegas dan tidak pernah mengaitkan pandangan mereka mengenai apa-apa pun, dan selalunya perspektif saya sahaja yang betul.



"Sama juga dengan isteri saya yang saya serahkan sebahagian besar tanggungjawab membesarkan anak-anak kami kepadanya," akui beliau.



Kini, beliau yang baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-22 tahun ini menghargai dan menghabiskan masa berkualiti bersama isterinya.



Malah, Encik Arun mengambil setiap interaksi dengan keluarganya sebagai peluang untuk mengukuhkan ikatan antara mereka seperti menonton drama Korea untuk lebih mendekati anak perempuannya dan berlatih di gim dan menonton bola sepak bersama anak-anak lelakinya.



"Saya sangat bertuah kerana diberi peluang kedua dalam kehidupan ini dan saya mahu menjadi suami dan bapa yang lebih baik," kata Encik Arun yang telah berhenti bekerja sebagai seorang guru latihan jasmani di sekolah rendah akhir tahun lalu.



Bekas pendidik itu mungkin mempunyai lebih banyak masa sekarang, tetapi beliau menyatakan bahawa beliau masih jauh daripada bersara.



"Saya belum bersedia untuk bersara dari kerja... sebaliknya, saya ingin menggunakan masa yang ada ini untuk mencuba matlamat dan mengejar impian baru dalam hidup yang mungkin boleh membantu mereka yang menghadapi kesusahan seperti apa yang saya lalui ketika bertarung dengan barah.



"Keutamaan saya mungkin berubah tetapi minda pahlawan saya tidak," kata Encik Arun yang masih mengajar di sekolah rendah sebagai guru tambahan pada waktu pagi.



Selain memperjuangkan kesedaran yang lebih tinggi tentang barah kolorektal, Encik Arun mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran dirinya dengan melengkapkan pelbagai kursus berkaitan kecergasan dan akreditasi yang berkaitan supaya dapat menyediakan perkhidmatan latihan peribadi yang berkualiti pada masa hadapan.



"Pada pendapat saya, kesihatan adalah sangat penting dan saya ingin mengambil kesempatan untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani gaya hidup sihat.



"Mereka boleh melakukannya di mana-mana sahaja yang sesuai seperti di bawah kolong blok dan juga di sudut kecergasan yang berdekatan," kata beliau yang juga menawarkan latihan peribadi kepada mereka yang berminat.



Beliau juga berminat untuk menceburi pasaran hartanah dan berharap untuk lulus peperiksaan ejen hartanah yang baru dilaluinya bulan lalu.



Walaupun Encik Arun telah pulih selama enam tahun, beliau masih menangani kesan jangka panjang, seperti kembung perut dan kerap kali perlu menggunakan tandas.



Namun, beliau berazam untuk menjalani gaya hidup aktif dan terus menyebarkan kesedaran mengenai penyakit barah untuk memberi harapan dan inspirasi kepada pesakit barah.



Ini beliau lakukan dengan mereka bentuk kemeja-T dengan slogan barah untuk mewujudkan kesedaran serta mengambil bahagian secara aktif dalam ceramah motivasi bagi pesakit barah.



Pada usia 57 tahun, Encik Arun menjadi finalis tertua dan berjaya mendapat tempat kedua di Manhunt Singapore 2021/2022.



Beliau menyertai acara itu untuk meningkatkan kesedaran tentang barah kolorektal dan memberi motivasi kepada pesakit yang telah berumur dan mangsa barah untuk mengatasi kesukaran dengan mencipta peluang untuk diri mereka sendiri.



Encik Arun juga ingin menjadi seorang Muslim yang lebih baik dan bersyukur kerana berpeluang menunaikan ibadah hajinya tahun ini bersama isterinya.



"Sekarang, saya tidak mudah marah-marah lagi.



"Yang paling penting, saya telah mempelajari untuk menghargai perspektif orang lain dengan mempunyai empati dan meletakkan diri saya di tempat mereka," ujar beliau yang masih menyertai maraton dan bersenam untuk kekal cergas tetapi kini mencari peluang untuk melakukannya bersama keluarganya.




"Saya sangat bertuah kerana diberi peluang kedua dalam kehidupan ini dan saya mahu menjadi suami dan bapa yang lebih baik... Saya belum bersedia untuk bersara dari kerja... sebaliknya, saya ingin menggunakan masa yang ada ini untuk mencuba matlamat dan mengejar impian baru dalam hidup yang mungkin boleh membantu mereka yang menghadapi kesusahan seperti apa yang saya lalui ketika bertarung dengan barah.
- Encik Arun Rosiah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >