Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Takrif kejayaan anak perlu direnung semula: Maliki

Sep 19, 2022 | 05:30 AM



DALAM mendorong anak-anak mencapai kejayaan, ibu bapa perlu merenung dan memikirkan apakah kejayaan itu semata-mata untuk anak-anak, atau kejayaan itu bermakna mereka telah berjaya sebagai ibu bapa.



"Sebagai ibu bapa, kita perlu tanya diri kita, apakah erti saya telah melakukan tanggungjawab saya, saya telah melaksanakan amanah saya seperti yang Allah swt suruh semampu saya?



"Adakah ia bermakna anak saya mesti bergelar lulusan universiti atau ia bermakna anak saya gembira, melakukan apa yang dia mahu dan pulang ke rumah dengan senyuman di wajahnya?," kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar) di Forum Bapa mengenai Pendidikan semalam.



Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta yang bertanya tentang takrif anak yang berjaya dan apakah ibu bapa hari ini menggunakan kejayaan anak-anak untuk menggambarkan kejayaan mereka dalam membesarkan anak-anak.



Forum itu dianjurkan buat julung-julung kalinya sempena Bulan Kebapaan tahun ini yang merupakan daya usaha Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH). Ia diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat dan dihadiri sekitar 50 bapa.



Forum itu juga menampilkan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan; pakar psikologi klinikal, Encik Md Haikal Jamil; pendidik, Encik Jailani Abu Talib; serta personaliti media sosial, Encik Sofian Roslan.



Dr Maliki berkata, baginya, anak yang berjaya adalah anak yang membesar dengan gembira, berkeyakinan diri dan berasa yakin dengan kekuatan atau kelemahannya.



"Bukan sama ada anak itu mempunyai ijazah universiti atau sama ada anak itu mempunyai kerjaya yang dibanggakan. Tetapi ini lebih mudah dinyatakan daripada dilakukan.



"Realitinya adalah kita hidup dalam masyarakat di mana definisi kejayaan telah terukir sejak bertahun-tahun lama, dan definisi kejayaan itu sering kali dalam bentuk akademik dan ekonomi. Kita sedang cuba bergerak daripada itu tetapi itu realitinya.



"Realiti kedua adalah kita berada dalam masyarakat yang mempunyai keluarga kecil dan oleh itu ibu bapa melaburkan begitu banyak dalam anak-anak mereka.



"Dan ibu bapa itu membesar dalam generasi di mana kejayaan didefinisikan oleh keupayaan pendidikan dan ekonomi. Apabila mereka tidak dapat mencapainya, mereka mengalihkan keinginan itu untuk anak mereka berjaya bagi pihak mereka," kata Dr Maliki, bapa dua anak.



Beliau berkata definisi kejayaan itu perlu ditakrif semula demi berlaku adil kepada semua orang, dan daripada segi dasar, pemerintah sedang cuba menghapuskan tanggapan bahawa kejayaan ditakrifkan oleh faktor akademik dan ekonomi tetapi sering mendapat tentangan.



Di forum itu, Ustaz Dr Mohammad Hannan berkongsi bagaimana bapanya, seorang pemimpin masyarakat, telah berusaha meluangkan masa bersamanya walaupun itu bermakna membawanya yang masih remaja ke tempat 'kerja'.



Sebagai contoh, bapanya telah membawanya ke pertemuan dengan pembesar-pembesar negara, seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 1980-an.



"Bapa perlu hadir. Sama ada kita hadir pada masa mereka atau kita bawa mereka ke masa kita," kata bapa enam anak itu.



"Bapa juga perlu mengakui kelemahan mereka dan kemudian dapatkan sokongan daripada orang di sekeliling.



"Kadangkala saya takut dengan perkataan role model kerana ada jangkaan yang tinggi yang dikaitkan dengannya.



"Role model mesti bagus, tidak boleh buat kesilapan. Bagi saya, sebagai role model, walaupun kita membuat silap, kita akui yang kita buat silap dan kita belajar daripada kesilapan itu.



"Ia bukan tentang menjadi sempurna, tetapi tentang mengakui kelemahan kita," katanya.




"Realitinya adalah kita hidup dalam masyarakat di mana definisi kejayaan telah terukir sejak bertahun-tahun lama, dan definisi kejayaan itu sering kali dalam bentuk akademik dan ekonomi. Kita sedang cuba bergerak daripada itu tetapi itu realitinya...



Dan ibu bapa itu membesar dalam generasi di mana kejayaan didefinisikan oleh keupayaan pendidikan dan ekonomi. Apabila mereka tidak dapat mencapainya, mereka mengalihkan keinginan itu untuk anak mereka berjaya bagi pihak mereka."



- Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >