Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Taman Warisan Melayu anjur pameran 'Urang Banjar'

Nov 28, 2020 | 05:30 AM



DI tengah-tengah kawasan Kampong Gelam suatu masa dahulu, terdapat sebuah kampung yang dikenali sebagai 'Kampong Intan'.



Kampung itu mendapat namanya kerana kehadiran orang yang mahir dalam pemotongan dan perniagaan berlian.



Kebanyakan orang kampung di sana berasal daripada masyarakat Banjar - antara kumpulan suku kaum Melayu terkecil di Singapura.



Sempena acara Pesta Budaya Melayu tahun ini, Taman Warisan Melayu (TWM) mengundang pengunjung untuk meneroka kisah dan warisan mengenai masyarakat yang kurang dikenali, di pameran khasnya yang berjudul 'Urang Banjar: Warisan dan Budaya Banjar di Singapura' sempena acara Pesta Budaya Melayu tahun ini.



Diperkaya dengan sumbangan masyarakat Banjar yang kecil di Singapura sekarang ini, pameran tersebut menjejaki sejarah penghijrahan Banjar ke Singapura.



Pameran itu menonjolkan sumbangan mereka kepada masyarakat Melayu dan masyarakat Singapura yang lebih luas, serta menjelaskan warisan budaya mereka seperti tradisi, kemahiran dan amalan.



Pameran itu, yang berlangsung bermula semalam hingga 25 Julai tahun depan, akan diadakan secara hibrid.



TWM telah menyediakan laman interaktif selama dua minggu supaya orang ramai dapat 'mengunjungi' pameran itu secara dalam talian.



Dalam pada itu, TWM menyediakan aktiviti yang diadakan secara fizikal di lokasi tersebut.



Apabila ditemui oleh Berita Harian, Pengurus Besar TWM Cik Asmah Alias mengatakan bahawa penganjuran acara tersebut kali ini merupakan satu perkara yang baru bagi pasukan perancangan pameran beliau yang berjumlah 10 orang sahaja.



"Disebabkan wabak Covid-19, kami juga telah merancang untuk mengadakan laman interaktif dalam talian. Ini juga dengan harapan kami dapat menjangkau penonton di luar nusantara hingga ke peringkat antarabangsa kerana pendigitalan tiada batasannya. Itu adalah satu aspek yang positif bagi saya dan juga usaha pasukan saya," kata Cik Asmah yang melahirkan harapannya itu.



Untuk memahami lebih lanjut mengenai budaya dan warisan Urang Banjar, salah seorang kurator TWM, Encik Nasri Shah, 30 tahun, telah melawat Banjarmasin di Selatan Kalimantan Indonesia untuk menyaksikan kehidupan masyarakat di sana.



"Perancangan untuk pameran itu bermula Disember tahun lepas. Mujur sebelum wabak ini melanda Singapura, saya sempat mengunjung Banjarmasin untuk mempelajari lebih lanjut mengenai budaya dan warisan Banjar.



"Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mencari artifak yang berpotensi untuk dipamerkan dan juga menyaksikan cara kehidupan mereka di sana serta perbandingan dengan bagaimana kami memahami akan budaya mereka," jelas Encik Nasri yang sudah lima tahun bekerja sebagai kurator bersama TWM.



Seorang lagi kurator yang telah bersama TWM selama sembilan tahun, Cik Suhaili Osman, berkata salah satu cabaran dalam perancangan pameran ini adalah ketiadaan akses secara fizikal ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat, disebabkan penutupannya semasa Covid-19.



"Oleh itu, kami harus bergantung lebih kepada masyarakat Banjar di Singapura untuk membantu mengisi jurang dalam kajian kami," ujar kurator berusia 41 tahun itu.



"Selain itu, saya rasa pameran ini sangat bermakna kerana ia memberikan tumpuan pendidikan yang kuat. Oleh itu kita dapat mempelajari lebih tentang latar belakang masyarakat kita, dan asal usul kita sebenarnya."



Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong menghadiri pelancaran Pesta Budaya Melayu dan pameran Urang Banjar semalam.



Berucap di majlis pelancaran itu, beliau merujuk kepada pepatah dalam bahasa Banjar berbunyi "haram menyarah waja sampai kaputing" atau 'usah biarkan bilah keluli berhenti sebelum sampai ke hujungnya'.



"Ia satu gesaan bagi seorang Banjar untuk berusaha gigih, dan tidak berputus asa hingga mencapai semua matlamatnya.



"Menerusi azam yang kukuh inilah masyarakat Banjar dan Taman Warisan Melayu telah berjaya menyampaikan (pameran) 'Urang Banjar' dan Pesta Budaya Melayu 2020 kepada kita, di tengah-tengah pandemik ini," ujarnya Encik Tong.




"Ada pepatah dalam basa Banjar (bahasa Banjar) - haram menyarah waja sampai kaputing - atau 'usah biarkan bilah keluli berhenti sebelum sampai ke hujungnya'. Ia satu gesaan bagi seorang Banjar untuk berusaha gigih, dan tidak berputus asa hingga mencapai semua matlamatnya. Menerusi azam yang kukuh inilah masyarakat Banjar dan Taman Warisan Melayu telah berjaya menyampaikan (pameran) 'Urang Banjar' dan Pesta Budaya Melayu 2020 kepada kita, di tengah-tengah pandemik ini."
- Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong semasa berucap di pelancaran Pesta Budaya Melayu dan pameran Urang Banjar




SEKILAS ACARA



Sila ke laman go.gov.sg/mcf2020 untuk meneroka warisan dan budaya masyarakat Banjar di Singapura dari 27 November ke 13 Disember.



27 November: Pelancaran Acara Budaya Melayu 2020



28 November: Sesi bercerita dengan aktiviti kraf, siri kuliah, tarian nyanyian bersama Lintas Nusantara IX



29 November: Tarian nyanyian bersama Lintas Nusantara IX



4 Disember: Persembahan muzikal dalam talian



5 Disember: Penceritaan secara dramatik, siri kuliah, persembahan muzikal secara langsung



6 Disember: Demo memasak Talam Banjar



11 Disember: Persembahan muzikal dalam talian



12 Disember: Sesi bercerita (di Taman Warisan Melayu), aktiviti interaktif bagi kanak-kanak (di Taman Warisan Melayu), siri kuliah, persembahan Wayang Banjar



13 Disember: Demo memasak Bingka Ubi



Pameran Urang Banjar: Warisan dan Budaya Masyarakat Banjar di Singapura akan berlangsung di Taman Warisan Melayu dari 28 November hingga 25 Julai 2021.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >