Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Tangani kemurungan, lumpuh untuk jadi pereka grafik

Dec 01, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS diberitahu oleh doktor bahawa beliau akan lumpuh dari bahagian dada ke bawah, Encik Jamirul Syafiq Zaini mengalami kemurungan dan berasa hidupnya tidak bermakna.



Kini, Encik Jamirul, 27 tahun, adalah seorang pereka bebas yang mencari erti kehidupan dalam mencipta karya seni untuk pelanggannya.



Encik Jamirul berusia 19 tahun ketika beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2014 yang mengakibatkan kecederaan saraf tunjang quadriplegic, menyebabkan beliau hilang fungsi kaki dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.



"Apabila tersedar selepas jalani pembedahan, orang pertama yang saya lihat adalah ibu saya. Saya putus asa apabila doktor beritahu saya akan lumpuh dari bahagian dada ke bawah," kata Encik Jamirul.



Walaupun lengannya lemah, beliau masih boleh menggerakkannya.



Encik Jamirul tidak boleh menggerakkan jari pada lengan kanannya, tetapi beliau boleh menggerakkan jari pada lengan kiri, walaupun pergerakannya terbatas.



Dahulu, Encik Jamirul menggunakan tangan kanan tetapi beliau perlu belajar menyesuaikan diri dan mengajar dirinya untuk menjadi kidal.



"Ketika saya melakukan salah satu sesi terapi di Persatuan Orang Kurang Upaya (SPD), saya dijemput oleh salah seorang kakitangan untuk menyertai mereka untuk sesi seni," kata bekas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej East itu yang pernah belajar Animasi Digital.



Dengan tangan kanan lumpuh dan sekitar 20-30 peratus kawalan di kiri, Encik Jamirul menggenggam pen dengan jari dan menggunakan bahu kirinya untuk menggerakkan pen semasa melukis.



"Memang pada mulanya sukar tetapi apabila saya mula lebih banyak melukis, saya mula dapatkan semula kemahiran dan menghidupkan semula minat saya dalam seni," jelas Encik Jamirul.



Dalam tempoh beberapa bulan, Encik Jamirul semakin yakin dengan kemahirannya dan ditawarkan peluang mereka bentuk kad ucapan perayaan untuk SPD.



Beliau menerima banyak pujian dan penghargaan untuk reka bentuknya yang memberikannya rasa kejayaan dan memberi inspirasi kepadanya untuk meneruskan pengajian dalam Animasi Digital, dengan tumpuan kepada seni digital.



Pengalaman ini yang membawa kepada tugasnya hari ini sebagai pereka grafik bebas untuk SPD, terlibat dalam projek dengan pelbagai pelanggan.



Bekerja dengan pelanggan memberi motivasi kepada Encik Jamirul kerana ia memberinya kepuasan.



Beliau dapat berkhidmat untuk pelanggan dengan mereka bentuk karya seni mengikut permintaan khusus pelanggan.



"Setiap pelanggan mempunyai permintaan atau gaya yang berbeza. Saya suka cabaran untuk menyesuaikan diri dengan keperluan mereka yang berbeza," kata Encik Jamirul sambil tersenyum lebar.



Selain memupuk semangatnya, bekerja dengan pelanggan juga membolehkan Encik Jamirul berkembang sebagai seorang artis.



"Pelanggan yang mendapatkan khidmat saya biasanya mempunyai pereka sendiri.



"Saya banyak belajar daripada mereka kerana kami sentiasa berbincang tentang idea," katanya.



Apabila tidak bekerja dengan pelanggan, Encik Jamirul membuat seni sendiri pada masa lapang.



Beberapa karya seninya baru-baru ini dipamerkan di Shaping Hearts - festival seni inklusif terbesar di Singapura - yang diadakan antara 12 November dan 27 November lalu.



Shaping Hearts, yang berakhir minggu lalu, dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East untuk memberi orang kurang upaya platform mempamerkan seni kreatif mereka melalui pameran dan persembahan secara langsung.



"Apabila saya berada di khalayak ramai, kadang-kadang ada orang yang bertanya tentang keadaan saya. Mereka akan menasihati saya untuk menguatkan kaki saya dengan melakukan senaman.



"Saya akan menjelaskan kepada mereka bahawa saya tidak boleh bersenam kerana lumpuh. Walaupun saya gembira berkongsi keadaan saya dengan orang lain, saya fikir lebih banyak boleh dilakukan untuk mendidik orang ramai tentang keadaan serupa.



"Sebab itu saya berterima kasih kepada Shaping Hearts kerana ia bukan sahaja mempromosikan artis seperti saya, tetapi yang lebih penting, ia membantu meningkatkan kesedaran tentang ketidakupayaan kami," kongsi Encik Jamirul.



Mereka yang ingin menyokong Encik Jamirul dan artis lain yang serupa boleh membuat sumbangan atau membeli karya seni di laman web Shaping Hearts (https://shapinghearts.sg/) sehingga 31 Disember ini.




“Ketika saya melakukan salah satu sesi terapi di Persatuan Orang Kurang Upaya (SPD), saya dijemput oleh salah seorang kakitangan untuk menyertai mereka untuk sesi seni... Memang pada mulanya sukar (dengan tangan kanan lumpuh dan sekitar 20-30 peratus kawalan di kiri) tetapi apabila saya mula lebih banyak melukis, saya mula dapatkan semula kemahiran dan menghidupkan semula minat saya dalam seni.”
- Encik Jamirul Syafiq Zaini, 27 tahun, pereka grafik dengan SPD.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >