Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CIKGU SURATMAN MARKASAN

Tidak boleh tidur fikirkan masa depan bahasa Melayu

Baru-baru ini, Yayasan Warisan Melayu (MHF) mengadakan acara terakhirnya di Taman Warisan Melayu sebelum pusat tersebut menutup pintunya sepenuhnya bagi kerja pembangunan semula sehingga 2025. Acara yang dinamakan Berbagi Warisan itu mengundang dan mengiktiraf tokoh, seniman, budayawan dan sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Taman Warisan Melayu yang kini menjadi lambang dan institusi masyarakat. Antara tokoh yang hadir ialah sasterawan perintis, Cikgu Suratman Markasan, yang berucap mengenai hala tuju dan masa depan bahasa dan sastera Melayu. Ikuti laporan BERITA MINGGU yang mewawancara Cikgu Suratman mengenai pandangannya.
Dec 04, 2022 | 05:30 AM



PADA usia 91 tahun, sasterawan Cikgu Suratman Markasan kadangkala sulit melelapkan mata memikirkan tentang masa depan bahasa Melayu di Singapura.



Bagi Cikgu Suratman, orang Melayu di sini tidak boleh mengambil mudah bahawa bahasa ibunda mereka akan terus hidup, tanpa perubahan sikap dan cinta yang mendalam untuk menjunjung bahasa.



Meskipun masih menaruh harapan dan memanjatkan doa, beliau secara peribadi tidak yakin bahasa itu akan kekal hidup di sini dalam 20 tahun akan datang.



Penggunaan bahasa Melayu yang merosot di rumah, dalam kalangan orang Melayu sendiri dan pertubuhan Melayu, serta kurangnya minat terhadap sastera Melayu, merupakan antara tanda-tanda yang merisaukannya.



"Saya persoalkan kalau masih ada orang Melayu lagi dalam 20 tahun lagi.



"Iya, masih ada orang Melayu 20 tahun akan datang. Kulitnya sawo matang tapi kalau dia tak boleh cakap bahasa Melayu, bolehkah dia layak disebut orang Melayu?



"Saya tidak boleh tidur kadang-kadang memikirkan keadaan ini," ujar Cikgu Suratman.



Penerima Pingat Budaya dan Hadiah Sastera Singapura (SLP) itu baru-baru ini ditemui dalam satu wawancara dengan Berita Minggu (BM).



Beliau memberi contoh orang berketurunan Melayu di Sri Lanka dan Afrika Selatan yang kini tidak boleh cakap bahasa Melayu, serta sejarah orang kulit hitam dari Afrika yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat untuk dijadikan hamba ratusan tahun lalu.



Setelah beberapa keturunan, mereka menjadi warga Amerika dan kehilangan budaya dan bahasa Afrika mereka.



"Tetapi mereka kehilangan segalanya di negara asing, bukan di tanah air mereka di Afrika, sedangkan kita bangsa Melayu Singapura hilang bahasa, sastera dan budaya kita di negara sendiri iaitu di Singapura.



"Alangkah daif kita dibanding dengan mereka," kata Cikgu Suratman, yang pada usia 91 tahun masih giat menyampaikan ceramah dan memandu kereta.



Masa depan bahasa dan sastera Melayu menjadi satu topik ceramah yang disampaikannya di acara 'Berbagi Warisan' anjuran bersama Yayasan Warisan Melayu dan Taman Warisan Melayu baru-baru ini.



Acara itu bertujuan mengiktiraf tokoh-tokoh, seniman, budayawan dan sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Taman Warisan Melayu yang kini menjadi lambang dan institusi masyarakat.



Selain Cikgu Suratman, tokoh lain yang hadir termasuk perintis penari Melayu dan pengasas Sri Warisan, Cik Som Said; Setiausaha Agung, Majlis Pusat, Cik Isiah Majid, yang juga pakar silat; dan tokoh perintis teater Melayu Singapura Encik Nadiputra (Almahdi Al-Haj Ibrahim).



Perkembangan Bahasa Melayu dan golongan pejuang



Cikgu Suratman mengimbas ceramah yang diberikannya pada 2004 lalu mengenai masa depan bahasa dan sastera Melayu.



Waktu itu, beliau menyorot perkembangan bahasa Melayu dan golongan guru yang menjadi pejuang bahasa sejak tahun 1980-an hingga sekarang.



Dari 1987 hingga 1997, ramai guru lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) dan Maktab Perguruan Wanita Melayu (MWTC) sudah bersara, dan tidak lagi memainkan peranan sebagai tenaga pengajar, dan kurang berkhidmat di peringkat persatuan atau pertubuhan.



Dari 1997 hingga 2007 pula, generasi yang menerima pendidikan aliran Melayu, rata-rata juga semakin berumur dan kurang memainkan peranan aktif menegakkan bahasa Melayu.



Dalam ceramah pada 2004 itu, Cikgu Suratman menggambarkan ramai masyarakat Melayu di sini yang mungkin tidak lagi dapat bertutur bahasa Melayu dengan baik dalam dekad seterusnya dari 2007 hingga 2017.



"Itu yang sudah mula berlaku," ujar Cikgu Suratman.



Banci Penduduk pada 2020 menunjukkan 60.7 peratus penduduk Melayu berusia lima tahun ke atas paling kerap menggunakan bahasa Melayu di rumah dan 39 peratus paling kerap menggunakan bahasa Inggeris.



Ini berbanding 82.7 peratus yang paling kerap menggunakan bahasa Melayu d rumah pada 2010, dan 17 peratus bahasa Inggeris.



Sudahkah terlambat?



Ditanya adakah masyarakat Melayu sudah terlambat untuk cuba menyelamatkan bahasa, Cikgu Suratman berpendapat "sudah lebih daripada terlambat".



Dasar dwibahasa pemerintah sahaja tidak cukup untuk melestarikan bahasa Melayu di Singapura, katanya. Tanggungjawab itu harus dipikul pemimpin masyarakat, termasuk di lembaga masjid dan pertubuhan, dan juga ibu bapa.



Beliau menyarankan agar ibu bapa membahagikan penggunaan bahasa Melayu atau Inggeris di rumah dengan anak-anak; iaitu seorang menggunakan bahasa Melayu sahaja, dan seorang lagi yang menggunakan bahasa Inggeris.



Atau mereka boleh membahagikan penggunaannya dalam seminggu - empat hari bahasa Inggeris dan tiga hari bahasa Melayu.



"Sikap orang Melayu kita terhadap bahasa harus berubah.



"Orang Melayu harus mengekalkan bahasa Melayu kerana dia orang Melayu. Alangkah malunya kalau dia tak boleh cakap bahasa Melayu.



"Boleh kuasai bahasa lain, tetapi janganlah buang bahasa Melayu," ujar Cikgu Suratman.




MASIH ADAKAH 'ORANG MELAYU' 20 TAHUN LAGI?



"Saya persoalkan kalau masih ada orang Melayu lagi dalam 20 tahun lagi.
Iya, masih ada orang Melayu 20 tahun akan datang. Kulitnya sawo matang tapi kalau dia tak boleh cakap bahasa Melayu, bolehkah dia layak disebut orang Melayu?
Saya tidak boleh tidur kadang-kadang memikirkan keadaan ini."



WARGA AFRIKA HILANG BUDAYA DAN BAHASA MEREKA DI AMERIKA. MELAYU SINGAPURA...



"Tetapi mereka (pendatang Afrika ke Amerika Syarikat) kehilangan segalanya di negara asing, bukan di tanah air mereka di Afrika, sedangkan kita bangsa Melayu Singapura hilang bahasa, sastera dan budaya kita di negara sendiri iaitu di Singapura.Alangkah daif kita dibanding dengan mereka,"




BIODATA SURATMAN MARKASAN



Dilahirkan di Pasir Panjang pada 1930



PENDIDIKAN



Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim, Perak;



Universiti Nanyang pada 1971 dalam Pengajian Melayu.



KERJAYA



Setelah tamat pengajian, mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah di Singapura.



• Julai 1976:



Dilantik Inspektor Pakar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Kementerian Pelajaran Singapura.



• Januari 1980:



Dilantik Penolong Pengarah Pengajian Melayu dan Tamil di tempat yang sama.



• September 1981:



Menjadi pensyarah bahasa dan sastera Melayu di Institut Pendidikan Singapura sehingga bersara pada 1995.



ANUGERAH



Anugerah Tun Sri Lanang (1999);



Anugerah Sastera Nusantara (1999);



Anugerah Abdullah Munsyi (2010);



Anugerah Pingat Budaya (2010);



Anugerah Tokoh Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) (2014);



Hadiah Sastera Singapura (2022).



KARYA



Siri Karya 'Kembali Ke Akar Melayu Kembali Ke Akar Islam';



'Tiga Lelaki, Dunia Bukan Kita Punya';



'Perempuan Kerudung Hitam';



'Kembali Kepada Al-Quran';



'Dari Perang Datang Sampai Kamoe San Masuk Melayu (Kumpulan Cerpen)';



'Penghulu Yang Hilang Segala-Galanya' dan banyak lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >