Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tidak perlu pergi jauh bagi ujian swab Covid-19

Penduduk sekitar pasar Bukit Merah View boleh jalani ujian di pusat pemeriksaan sementara di kawasan itu
Jun 16, 2021 | 05:30 AM



PENDUDUK di Bukit Merah View beratur panjang di Blok 125A untuk menjalani ujian Covid-19 percuma yang disediakan pemerintah setelah sebuah kelompok jangkitan muncul di pasar dekat kawasan itu.



Ada meluahkan keprihatinan apakah mereka telah dijangkiti Covid-19, dan mengalu-alukan usaha pemerintah menyediakan pusat pemeriksaan sementara di kawasan itu bagi penduduk.



Sepasang suami isteri yang tinggal di situ yang dihubungi Berita Harian (BH), Encik Ahmad Abu, 80 tahun, dan Cik Alijah Mat Said, 74 tahun, diberi Perintah Kuarantin dari 13 hingga 25 Jun dan menjalani ujian swab Covid-19 di rumah oleh pegawai kesihatan kelmarin.



Menurut satu kiriman teks yang dilihat oleh BH, Cik Alijah dikesan sebagai kontak rapat kes jangkitan Covid-19 berpunca dari Pasar dan Pusat Penjaja Blok 115 dan Blok 116 Bukit Merah View.



Memandangkan pasangan itu sudah lanjut usia, pegawai kesihatan menjalankan ujian swab di flat tiga bilik mereka di Blok 130, hanya sekitar lima minit berjalan kaki dari pasar itu.



Encik Ahmad, mantan bendahari Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, berkata: "Isteri saya memang selalu pergi ke pasar itu untuk beli barang rumah, jadi dia pergi ke situ Sabtu lalu. Kemudian kami menerima mesej daripada Kementerian Kesihatan (MOH). Pasar itu dah jadi kelompok Covid-19, dan kami diminta menjalani swab."



"Semalam (kelmarin) mereka datang ke rumah kami untuk melakukan ujian itu dan kemudian kami diberi surat kuarantin. Mereka berkata kami boleh menjalani kuarantin di hotel tapi kami memutuskan duduk di rumah sahajalah.



"Kami memang bimbanglah. Dalam beberapa hari ini, mungkin esok, kami akan menerima keputusan swab kami," ujar bapa tiga anak itu.



Beliau dan isterinya telah menerima kededua dos suntikan vaksin Covid-19.



Menurut tinjauan akhbar The Straits Times (ST) semalam, penduduk kelihatan beratur panjang di kawasan pusat pemeriksaan sementara Blok 125A Bukit Merah View namun keadaan teratur dan terkawal.



Pusat pemeriksaan itu dibuka kepada penduduk hingga esok selepas Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Cik Joan Pereira, membuat permohonan kepada MOH.



Sebelum ini, pusat itu disediakan hanya bagi sekitar 85 pengendali gerai di pasar dan pusat penjaja Blok 115 dan kedai di Blok 116.



Dua barisan dibentuk di pusat pemeriksaan itu, satu bagi penduduk yang telah menempah janji temu dan satu lagi bagi mereka yang ke sana langsung untuk menjalani ujian.



Lebih 100 penduduk, kebanyakan warga emas, beratur panjang di barisan kedua itu sekitar 10 pagi. Rata-rata waktu menunggu giliran mereka adalah satu hingga dua jam.



Cik Pereira memberitahu ST beliau telah menjangka ramai penduduk warga emas tidak tahu cara menempah slot janji temu dalam talian dan akan pergi ke pusat pemeriksaan itu secara langsung.



"Sebab itu MOH mengerahkan duta jarak selamat ke kawasan itu untuk memastikan jarak selamat dipatuhi... Saya juga telah menyeru kepada penduduk supaya membantu ahli keluarga mereka yang sudah tua menempah slot janji temu dalam talian untuk mengurangkan bilangan orang berhimpun di situ," katanya.



Seorang penduduk, Cik Shanthi Nadesan, 58 tahun, mengalu-alukan usaha mengadakan pemeriksaan itu kerana sebelum ini beliau menempah janji temu di Raffles Medical.



"Saya telah merujuk kepada AP Cik Joan Pereira. Beliau berkata saya tidak perlu pergi jauh dan saya boleh menjalani pemeriksaan di sini. Cuma saya tak menjangka perlu tunggu lama begini," kata mantan pustakawan sekolah itu.



Sementara itu, ada klinik di kawasan itu yang menawarkan ujian swab kini kesibukan.



"Kami menerima beberapa pesakit yang telah berkunjung ke pasar itu dan diperlukan menjalani swab baru-baru ini," kata Cik Syuhaidah Shifa, 24 tahun, yang bekerja di sebuah klinik di situ, yang memberi surat rujukan kepada pesakit yang perlu menjalani swab.



"Sekarang, klinik yang melakukan ujian swab amat sibuk kerana terdapat ramai pesakit. Tapi klinik kami, meskipun terletak berdekatan kelompok jangkitan itu, amat sepi, mungkin sebab orang ramai elakkan keluar dari rumah sekarang."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >