Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tidak sesia peluang kedua ikuti bidang seni bina

May 21, 2019 | 05:30 AM



Politeknik Singapura (SP) meraikan 5,621 lulusan dalam upacara tamat pengajian tahun ini yang berlangsung dari 2 hingga 9 Mei lalu. Lulusan itu menerima diploma, diploma lanjutan, diploma pakar dan sijil mereka. Antara mereka termasuk tiga pelajar Melayu yang tampil sebagai pelajar terbaik dalam kursus masing-masing. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) melaporkan.



MINATNYA pada seni bina sejak di sekolah menengah mendorong Encik Izwan Shah Mohamed Ismail menyertai kursus dalam bidang itu di politeknik.



Namun, permohonannya menyertai kursus diploma dalam jurusan seni bina di Politeknik Singapura (SP) gagal disebabkan keputusan GCE Peringkat 'O' beliau yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.



Bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat bekas pelajar aliran Normal (Akademik) Sekolah Menengah Hua Yi yang berusia 20 tahun itu yang terus mengemukakan rayuan kepada politeknik tersebut bagi menyertai kursus serupa.



Berkat doa dan sokongan ibu bapanya yang turut memberinya galakan, Encik Izwan berjaya mendapat tempat dalam kursus seni bina landskap di politeknik tersebut sekitar tiga tahun lalu.



Tahun ini, beliau selesai pengajiannya di SP dan tampil sebagai pelajar terbaik kursusnya dengan Gred Purata Mata (GPA) 3.87.



"Apabila saya berjaya tersenarai dalam Senarai Pengarah pada tahun pertama, saya tahu saya perlu berusaha yang terbaik dan tetapkan sasaran tinggi memandangkan saya telah diberi peluang kedua ini," ujar anak pertama dalam keluarga dua beradik itu.



Kalau dahulu beliau menyifatkan dirinya sebagai pelajar biasa di sekolah menengah, Encik Izwan berkata beliau terdorong menjadi antara pelajar terbaik di politeknik.



Ini antara lain disebabkan teman sekursusnya yang juga bermotivasi tinggi.



Tambahnya, beliau juga mendapati bahawa pengurusan masa yang baik amat penting, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelbagai projek dan tarikh akhir yang ketat.



Antara projek yang dijalankannya termasuk mengusulkan idea bagi seni bina landskap di kawasan Jurong sebagai projek tahun akhirnya.



"Saya rasa ini peluang baik dengan mengusulkan idea kami bagi tapak tersebut memandangkan kawasan itu bakal dibangunkan sebagai kawasan pusat bandar (CBD) kedua di Singapura.



"Kumpulan saya misalnya, mengusulkan idea bagi sebuah taman masyarakat dan ruang bagi menggalak keusahawanan.



"Saya juga diberi peluang membentangkan idea saya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab," ujarnya yang telah menerima tawaran mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bidang seni bina di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Menurut Encik Izwan, beliau yakin bidang seni bina landskap akan terus berkembang di Singapura, dengan pelbagai daya usaha dijalankan demi menggalak kehijauan di hampir setiap penjuru negara ini.



Ini juga mendorong anak muda itu terus menceburi bidang ini pada masa akan datang dan bercita-cita menubuhkan syarikatnya sendiri satu hari nanti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >