Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiga belia main peranan duta warisan budaya sempena Hari Warisan

Jan 09, 2023 | 05:30 AM



SEORANG pemain gamelan, seorang mahasiswa sejarah dan seorang pengurus budaya telah dilantik sebagai Teman Warisan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) baru-baru ini.



Tiga belia itu dilantik untuk memainkan peranan sebagai duta warisan budaya sempena acara Hari Warisan anjuran MHF pada Disember lalu.



Antaranya ialah Cik Rosemainy Buang, 34 tahun, seorang pemuzik, pendidik dan penggubah lagu yang dilatih dalam gamelan Jawa dan Bali.



Beliau mula berkecimpung dalam permainan gamelan sejak beliau menyertai kumpulan minat alat muzik tradisional itu di Politeknik Republik.



"Bagi saya, pelantikan sebagai Teman Warisan ini menjadikan saya duta kepada belia yang ingin tahu lebih lanjut tentang proses di balik tabir - daripada mencipta karya, membuat persembahan dan menjalankan kehidupan seharian sebagai pengamal seni.



"Saya juga percaya terdapat manfaat dalam kerjasama dan penghasilan karya. (Pelantikan) ini membolehkan saya menemui individu lain yang mengamalkan seni mereka," ujar Cik Rosemainy, yang turut dilatih sebagai vokalis, atau pesindhen, serta pemain gendang dalam kumpulan gamelan.



Selain itu, beliau giat menghasilkan karya yang menggabungkan gamelan dengan alat muzik Barat serta muzik band alternatif, dan pernah membuat persembahan di Arts House, Esplanade serta di Jakarta, Indonesia.



Seorang lagi individu yang dilantik sebagai Teman Warisan ialah mahasiswa bidang sejarah daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Ahmad Hasif Mohammad Amran, 24 tahun.



Beliau giat mempromosikan warisan dan budaya menerusi penglibatannya sebagai Presiden kelab sejarah di NTU dan anggota panel belia Lembaga Warisan Negara (NHB).



"Daripada pengalaman saya dalam bidang warisan, saya sedar ramai individu dan pihak berkepentingan yang mahu mendekati orang awam untuk memupuk minat dalam warisan kita.



"Melihat orang seperti ini, benar-benar mencetus inspirasi kepada saya untuk bekerja lebih keras.



"Harapan saya bagi warisan Melayu di Singapura adalah agar lebih ramai orang tidak kira kaum dan usia akan berminat atau sekurang-kurangnya bersikap ingin tahu terhadap warisan Melayu," ujar Encik Hasif, yang sedang mengkaji perubatan tradisional Melayu bagi projek akhir tahunnya.



Teman Warisan ketiga yang dilantik tahun lalu ialah Cik Nur Shireen Marican, 27 tahun, yang merupakan seorang pengurus budaya dan pendidik.



Beliau merupakan sekutu di Desires Lines, syarikat perundingan strategi bagi kesan sosial, sekitaran dan budaya. Beliau juga seorang pensyarah adjung di Maktab Seni Lasalle.



"Saya berharap pejuang dan pengamal warisan Melayu dapat melabur masa untuk meluahkan hikmah, falsafah, amalan budaya serta ilmu pengetahuan tentang tradisi Melayu dalam konteks berbilang disiplin yang boleh dimanfaatkan masyarakat budaya lebih luas untuk mempelajarinya dan menggunakannya bagi menghuraikan cabaran global," ujar Cik Shireen.



Selain penglibatannya dalam tugas harian, beliau juga meluangkan masa lapang dengan melakar dan mengatur program yang memberi tumpuan kepada isu global, seni dan budaya.



Pengurus besar MHF Cik Julina Khusaini berkata:



"Sebagai Teman Warisan 2022 yang dilantik, saya percaya mereka memiliki ciri-ciri penting yang boleh dihormati dan diteladani dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Teman Warisan.



"Saya berharap jantung industri seni, budaya dan warisan akan terus berdenyut."



Pelantikan tiga Teman Warisan itu ialah tambahan kepada tiga Teman Warisan yang dilantik pada 2021 apabila Hari Warisan kali pertama dianjurkan.



Tiga individu yang dilantik pada 2021 ialah aktivis kebudayaan, Cik Anis Qurratu'aini Azman; sukarelawan warisan, Encik Muhammad Hafiz Rashid; dan penyokong sastera Melayu, Cik Liyana Nasyita Shukarman.




"Sebagai Teman Warisan 2022 yang dilantik, saya percaya mereka memiliki ciri-ciri penting yang boleh dihormati dan diteladani dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Teman Warisan. Saya berharap jantung industri seni, budaya dan warisan akan terus berdenyut."



- Pengurus besar MHF Cik Julina Khusaini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >