Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tiga kembar ambil PSLE serentak tahun ini

Jan 04, 2022 | 05:30 AM



SEDANG pasangan lain mungkin menghabiskan malam mereka dengan berehat sambil menonton televisyen selepas anak-anak semua masuk tidur, pasangan suami isteri, Encik Muhammad Alif Ismail dan Cik Zunur Huda Mohd Ali sebaliknya sibuk menelaah buku.



Namun bukan buku mereka sendiri tetapi buku penilaian Matematik anak-anak mereka.



"Soalan Matematik sekarang agak sukar jadi saya dan suami akan buat latihan sendiri dahulu dengan menggunakan buku penilaian yang diberikan orang lain sebelum anak kami bertanyakan bagaimana untuk menjawab soalan tersebut," kata Cik Huda, 34 tahun.



Inilah antara pengorbanan yang dilakukan pasangan ini bagi anak-anak tersayang - bukan satu, atau dua tetapi tiga anak kembarnya- yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini. (2022)



Kembar tiganya - Misha Arianna, Zuhaily Hazi, dan Zuhaily Hazwan - yang dilahirkan selang seminit antara satu sama lain, merupakan murid 12 tahun di Sekolah Rendah Junyuan.



Pasangan ini mempunyai seorang lagi anak, Zuhaily Hazmi, sembilan tahun, yang kini merupakan murid darjah tiga di sekolah yang sama.



Menurutnya, memandangkan tahun ini merupakan tahun yang agak penting, sebagai ibu bapa, mereka juga perlu membuat persiapan dengan melengkapkan diri dengan kemahiran terkini terutama berhubung cara menjawab soalan Matematik yang kian mencabar.



Cik Huda, yang bekerja sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam berkata, seperti setiap anak, ketiga-tiga anak kembarnya juga mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza-beza.



"Ada yang lemah dalam Bahasa Melayu, ada pula dalam Matematik.



"Jadi saya perlu memastikan saya dapat membantu mereka seberapa yang boleh dengan masa terhad yang ada," katanya.



Namun beliau tidak mahu memberikan tekanan yang berlebihan kepada anak-anaknya kerana prihatin terhadap kesejahteraan mereka.



"Kadangkala biasalah adik-beradik ada persaingan tetapi persaingan yang sihat, seorang akan mempersoal mengapa yang seorang lain lebih bagus daripadanya dalam sesebuah subjek.



"Tetapi, saya sering menasihati mereka bahawa setiap seorang daripada mereka mempunyai kekuatan masing-masing. Justeru saya tidak mahu memberikan tekanan kepada mereka," katanya.



Ketiga-tiga anaknya merupakan penerima Skim Bantuan Kewangan (FAS) daripada sekolah, yang boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan buku dan baju seragam sekolah serta subsidi makanan di sekolah.



Mereka juga tidak mengikuti sebarang kelas tuisyen buat masa ini.



Dengan pandemik yang melanda sejak dua tahun ini juga, Encik Muhammad Alif, yang juga seorang pegawai perkhidmatan awam yang bekerja syif, berharap tahun ini pembelajaran akan lebih teratur bagi para pelajar.



Ini kerana pelajar sekarang sudah semakin sebati dengan pembelajaran daripada rumah atau dalam talian.



"Walau bagaimanapun, belajar di rumah tidak sama seperti di sekolah. Kalau di sekolah sekiranya mereka tidak faham dan malu bertanya, mereka boleh tanyakan teman sekelas.



"Lagipun mudah untuk guru menganalisa sama ada seseorang pelajar itu faham akan pelajaran yang diketengahkan berbanding jika pelajar itu belajar di depan skrin," kata ayah 37 tahun ini.



Anak-anaknya menggunakan tablet yang dipinjam oleh mak cik mereka kerana kekurangan komputer riba di rumah.



Berhubung vaksinasi, Cik Huda berkata beliau akan menunggu sehingga kesemua anaknya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Kementerian Pendidikan (MOE) sebelum melakukan vaksinasi sekaligus untuk semua.



Ini bagi memudahkannya mengambil cuti bagi menjaga kesemua anaknya jika ada di antara mereka mengalami sebarang kesan sampingan akibat vaksinasi.



Ditanya tentang harapan untuk anak-anak, Cik Huda berkata beliau hanya mahukan yang terbaik untuk mereka.



"Harap-harap mereka semua dapat menjalani peperiksaan dengan baik tahun ini dan moga-moga mereka dapat ke sekolah menengah yang sama nanti.



"Agak sedih juga kalau mereka terpaksa berpisah maklumlah sekarang mereka agak rapat di sekolah.



"Bayangkan semasa waktu rehat, yang dua-dua adik lelaki akan duduk bersama kawan kakak dan apabila adik-adik lelaki bermain bola di padang, kakak akan duduk di tepi dan menemani mereka.



"Jadi harap mereka dapat ke sekolah menengah yang sama kelak," ujarnya lagi. - SHAHIDA SARHID




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >