SINGAPURA muncul sebagai destinasi pelancongan bukan negara Islam yang utama bagi para pelancong Muslim, kata satu tinjauan pakar pelancongan Islam Crescentrating dan firma kad kredit MasterCard.
Ini diikuti Thailand, Taiwan dan Jepun, manakala Malaysia merupakan destinasi global utama bagi pasaran pelancongan Muslim yang kian berkembang itu.
Pasaran tersebut dianggar bernilai $145 bilion tahun lalu dan $200 bilion menjelang 2020.
Menurut ketua eksekutif Crescentrating, Encik Fazal Bahardeen, Singapura mempunyai "antara sekitaran makanan halal yang terbaik," sementara Thailand, Jepun dan Taiwan telah mengambil langkah besar untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim.
"Pengguna Muslim lazimnya lebih muda, berpendidikan dan mempunyai wang perbelanjaan lebih besar yang mendorong mereka untuk melancong," kata laporan tinjauan itu.
Mengenai Malaysia pula, ia berkata negara itu menjadi destinasi global utama bagi pasaran pelancong Muslim, meskipun ia dilanda dua bencana udara melibatkan pesawat penerbangan negara Malaysia Airlines System.
Ini diikuti Turkey, Amiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Qatar dan Indonesia.
Laporan itu menilai negara-negara dari segi cara memberi perhatian kepada keperluan pelancong Muslim, termasuk adanya dan mudahnya mendapatkan restoran halal dengan makanan disediakan menurut cara Islam, selain adanya kemudahan tempat solat di lapangan terbang, pusat beli-belah dan hotel.
Perkara ini dan ciri-ciri lain dinilai dalam Indeks Pelancongan Muslim Global dengan Malaysia yang majoriti penduduknya Muslim mendapat markah 83.8, diikuti Turkey (73.8), UAE (72.1), Arab Saudi (71.3), Qatar (68.2) dan Indonesia (67.5). - AFP