Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA BERSAMA

Tubuh yayasan Islam demi manfaat Muslim Nusantara di Eropah

Oct 02, 2023 | 05:30 AM



Ketika beliau mula mengajar di United Kingdom (UK), khususnya di London, Ustaz Zaki Ismail mendapati terdapat kelompangan terutamanya dari segi pengamalan serta pengajaran agama, dalam kehidupan seharian masyarakat Muslim dari Nusantara ini yang bermastautin di sana.

Beliau menyedari tiada tempat atau saluran yang sesuai bagi golongan itu mendapat sokongan serta panduan tentang kesejahteraan agama, rohani dan sosial mereka.

Dalam masa yang sama, jumlah guru agama berbangsa Melayu juga terhad, menyukarkan lagi peluang mereka yang ingin menuntut ilmu agama. 

“Sebelum saya berpindah ke London, tidak ramai asatizah atau guru agama Melayu yang menetap di situ yang boleh mengajar tentang agama seperti mengaji Al-Quran dan sebagainya, secara sepenuh masa. 

“Jika adapun, mereka hanya menetap di London buat jangka masa yang pendek dan setelah tamat pengajian di sana, mereka akan pulang (ke tanah air).

“Disebabkan ini, ramai dalam kalangan masyarakat kita di sana kadangkala terpaksa mendapatkan bimbingan daripada guru agama yang berlainan bangsa dan mazhab.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk berhijrah ke sana pada 2011 setelah diminta pulang oleh keluarga isteri saya bagi membantu membimbing masyarakat Muslim Nusantara di London,” kata beliau dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH).


Sahut cabaran tuntutan fardu kifayah 

Ustaz Zaki, 40 tahun, yang dilahirkan di Singapura dan merupakan bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah sebelum melanjutkan pengajian Islam di Damsyik, Syria, mula bergiat aktif dengan mengajar kelas fardu ain bagi masyarakat Muslim dari rantau ini.

Mereka terdiri daripada penduduk asal Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei, di sana.

Memandangkan ketika itu tiada tempat khusus yang disediakan untuk beliau menjalankan kelas bimbingan agama, beliau antara lain, telah menyewa ruang di masjid setempat mahupun di rumah pelajarnya agar dapat mengendalikan kelas mingguan.

Selain di London, Ustaz Zaki juga akan membuat perjalanan jauh sebulan sekali agar dapat menjangkau penduduk Muslim Nusantara yang menetap di luar bandar London, seperti Luton dan Cardiff. 

“Sebagai satu-satunya Ustaz Melayu di UK, di London khususnya dan di Eropah secara amnya, saya menganggap ia sebagai satu tugas besar demi memenuhi tuntutan fardu kifayah,” jelas beliau. 

“Sepanjang saya bergiat secara persendirian, selain mengajar tentang agama, saya juga membantu masyarakat kita yang mana memerlukan bantuan dari sudut menguruskan jenazah serta proses pernikahan.

“Jika sebelum ini, masyarakat kita akan meminta bantuan daripada imam masjid-masjid bangsa lain yang terdapat di London, seperti contoh imam dari masjid masyarakat Somalia, Sudan dan Pakistan.”

Dari situ, berputiknya kesedaran bahawa beliau perlu melakukan sesuatu untuk merapatkan jurang tersebut dan memudahkan lagi proses menimba ilmu agama dalam kalangan masyarakat Muslim Nusantara di UK.

Tubuhkan institusi Islam bagi masyarakat Nusantara

Dalam masa lima tahun, dari 2011 hingga 2016, Ustaz Zaki berasa ia merupakan tempoh di mana beliau dapat mengenali masyarakat Nusantara di sana secara lebih dekat, selain membina asas sebelum menubuhkan sebuah badan Islam yang dapat memberi tumpuan khusus kepada keperluan masyarakat Muslim Nusantara.

Badan Islam itu dijadikan sebagai sebuah pusat sehenti di mana masyarakat Muslim Nusantara boleh mendapatkan bimbingan agama serta bantuan yang mereka lebih percayai dan rasa selesa.

Pertemuan Ustaz Zaki dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Sofa Education Group, Dato’ Haji Muhammad Fuad Kamaluddin, di London telah membuka pintu dan peluang kerjasama untuk menubuhkan sebuah badan yang bertauliah.

Dato’ Haji Muhammad Fuad telah memperuntukkan sejumlah dana yang boleh digunakan selama empat tahun untuk membiayai sewa sebuah bangunan yang akan digunakan bagi kelas dan program Yayasan Pendidikan Suffa yang baru ditubuhkan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan itu, kami dapat mula bergerak dengan serius bagi menubuhkan sebuah institusi di mana kita dapat terus mendekati masyarakat kita di sana,” ujar Ustaz Zaki. 

Dengan adanya yayasan ini, ia diharap dapat meningkatkan kehidupan serta ehwal kebajikan masyarakat Muslim Nusantara di UK dan Eropah menerusi khidmat yang ditawarkan. 

Ustaz Zaki turut berkongsi bahawa Yayasan Pendidikan Suffa juga merupakan organisasi amal pertama dan satu-satunya yang berjaya didaftarkan dan diluluskan di bawah Suruhanjaya Amal UK pada 2019.

Menurut beliau, program yang dikendalikan merentasi pelbagai peringkat usia. 

“Program yang dikendalikan oleh Yayasan Pendidikan Suffa amat menyeluruh, daripada seseorang itu lahir hingga beliau meninggal dunia. 

“Sebagai contoh, kami menawarkan khidmat tahnik dan cukur rambut bagi bayi baru lahir, dan apabila mereka meningkat usia, kita terapkan pendidikan Al-Quran serta fardu ain. 

“Pelbagai khidmat lain termasuk pernikahan, kutipan zakat dan pengagihan serta ibadah korban. 

“Selain itu, kami turut menawarkan khidmat urusan haji dan umrah selain menganjurkan program bulanan dan tahunan seperti khatam Al-Quran dan menyambut bulan Ramadan, di mana kami akan berkumpul bersama untuk meraikan bulan mulia itu.

“Alhamdulillah, sejak ditubuhkan banyak juga program baru yang dapat kami perkenalkan dan kembangkan bukan sahaja kepada mereka yang menetap di London, bahkan di negara Eropah lain seperti di Sepanyol, Perancis, Austria, Republik Czech, Belanda, Jerman, dan Denmark,” kongsi Ustaz Zaki yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Imam Eksekutif yayasan itu. 

Sejak penubuhannya, Yayasan Pendidikan Suffa telah menyokong ribuan umat Islam dari pelbagai latar belakang di seluruh UK dan Eropah.

Rancangan masa depan

Berkongsi tentang rancangan Yayasan Pendidikan Suffa pada masa depan, Ustaz Zaki berkata, mereka sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah sekolah yang akan melahirkan generasi pelapis baru bagi meneruskan usaha dakwah mereka itu.

“Kami telah menetapkan jangka masa sekitar lima tahun untuk menubuhkan sekolah ini, yang bukan hanya akan tertumpu pada pengajian duniawi, malah juga uhkrawi.

“Orang Melayu kita ini ada kelebihan, ada satu modal yang tidak ada pada masyarakat lain iaitu sifat lemah-lembut kita, rahmah mesra kita, senyum kita semuanya, itu adalah satu dakwah.

“Jadi itu merupakan sesuatu yang tidak ada pada orang lain, jadi kita nak teruskan sebarkan perkara ini, supaya masyarakat lain dapat juga belajar melalui pengamalan orang Islam dari Nusantara,” kata beliau. 

Dalam pada itu, Ustaz Zaki juga berharap lebih ramai masyarakat Melayu/Islam, dapat mengenali dan menyokong usaha murni yang dijalankan Yayasan Pendidikan Suffa menerusi sumbangan ikhlas yang boleh dibuat menerusi laman web https://thesuffafoundation.org/


“Rancangan jangka masa pendek kami adalah untuk meneruskan dakwah kepada masyarakat Muslim Nusantara di Eropah menerusi sumbangan, zakat ataupun wakaf, ataupun memberi hutang tanpa faedah, orang ramai. 

“Kami mahu menjadikan agama Islam ini satu budaya hidup bukan sahaja dalam urusan kerja, bahkan agama juga memainkan peranan penting untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

“Kejayaan ini adalah untuk diri kita, anak-anak kita serta masyarakat kita di sini,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >