Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Undang-undang pastikan cas kenderaan elektrik selamat

Dec 01, 2022 | 05:30 AM



PARLIMEN semalam meluluskan Rang Undang-Undang Pengecasan Kenderaan Elektrik untuk menggalak penggunaan kenderaan elektrik di Singapura dalam usaha negara ini mencapai matlamat pengeluaran karbon sifar bersih menjelang 2050.



Ini sedang pendaftaran kenderaan elektrik naik 30 kali ganda, dengan lebih 10 peratus pendaftaran kenderaan ringan baru tahun ini merupakan kenderaan elektrik berbanding 0.3 peratus pada 2020.



Sekitar separuh daripada kenderaan elektrik itu didaftar oleh penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kondominium.



Buat masa ini, sektor pengangkutan darat membentuk sekitar 15 peratus pengeluaran karbon.



Singapura menyasarkan untuk semua kenderaannya menggunakan tenaga lebih bersih menjelang 2040.



"Menggunakan tenaga elektrik bagi populasi kenderaan kita adalah kunci kepada usaha ini. Pelepasan karbon kereta elektrik adalah sekitar separuh daripada kereta enjin pembakaran dalaman, dan ini akan bertambah baik sedang teknologi semakin maju dan lebih banyak sumber boleh diperbaharui memasuki campuran tenaga kita," kata Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, dalam ucapan pembukaannya di bacaan kedua rang itu di Parlimen semalam.



Undang-undang itu mempunyai tiga matlamat iaitu mengawal selia pengecasan kenderaan elektrik yang selamat, memastikan kebolehpercayaan rangkaian dan perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik, serta mendorong akses kepada rangkaian pengecasan kenderaan elektrik di Singapura.



Ia juga memberi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kuasa berkanun baru untuk untuk mentadbir dan menguatkuasakan rejim kawal selia yang menyeluruh.



Lebih 10 Anggota Parlimen (AP) membahaskan Rang Undang-Undang itu semalam dan menimbulkan pelbagai keprihatinan daripada kemampuan kenderaan elektrik kepada kebakaran yang boleh disebabkan oleh pengecasan kenderaan elektrik dan usaha meningkatkan akses kepada pengecas kenderaan elektrik.



Dalam ucapan penutupnya, Encik Iswaran berkata LTA telah bekerjasama dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mengemas kini Kod Kebakaran tahun lalu yang kini menghendaki pengecas kenderaan elektrik untuk mempunyai suis pengasingan bagi memutuskan bekalan elektrik kepada pengecas untuk memudahkan tindak balas kecemasan.



Ini adalah tambahan kepada keperluan reka bentuk pengecas lain dalam Rujukan Teknikal 25 (TR25), seperti pemutus litar elektrik, yang mengurangkan risiko renjatan elektrik dan kebakaran elektrik, termasuk sekiranya berlaku banjir.



Mengenai memastikan terdapat tempat mengecas kenderaan elektrik yang mencukupi, Encik Iswaran berkata pemerintah sedang membuat perancangan bagi permintaan pengecasan untuk populasi kenderaan ringan yang sebahagian besarnya menggunakan tenaga elektrik, dengan mengambil kira perbatuan purata pemandu kereta di Singapura, dan jarak berkesan kenderaan elektrik biasa.



"Saya ingin menekankan bahawa kita sedang berhadapan dengan ruang yang berkembang. Teknologi sedang berkembang, kadar penggunaan dan oleh itu permintaan juga berubah. Dan corak penggunaan, saya rasa dari segi tabiat memandu tetapi juga dari segi tabiat mengecas, masih belum normal. Jadi kita perlukan masa untuk memantau dan menilai corak ini.



"Tetapi kita tidak boleh menunggu semuanya stabil sebelum mengambil tindakan. Ia adalah situasi yang dinamik tetapi ia adalah situasi yang memerlukan tindak balas dan itulah sebabnya kami memberi tumpuan kepada pengerahan 12,000 tempat pengecasan ini," katanya, merujuk kepada bilangan tempat pengecasan yang ditambah merentas semua tempat letak kereta HDB.



Encik Iswaran juga berkata kemudahan akses dalam rangkaian kenderaan elektrik melangkaui infrastruktur fizikal dan termasuk pengalaman pengguna.



"Aplikasi MyTransport LTA membolehkan pengguna kenderaan elektrik mencari dan mengakses tempat pengecasan awam yang ditawarkan oleh pelbagai Pengendali Pengecasan kenderaan elektrik. LTA baru sahaja melancarkan fungsi beta yang memaparkan ketersediaan pengecasan masa nyata di aplikasi itu, yang akan disumbangkan oleh lebih banyak pengendali," katanya.



Mengenai kemampuan kenderaan elektrik, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) menyarankan "insentif sementara" yang akan mendorong peralihan ke kenderaan elektrik, seperti potongan harga 10 peratus bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) untuk kenderaan elektrik.



Encik Don Wee (GRC Choa Chu Kang) pula bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan rebat atau insentif seperti pengecualian Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) dan cukai jalan, untuk menarik pembeli kenderaan elektrik.



Encik Iswaran berkata objektif teras sistem COE adalah untuk mengehadkan populasi kenderaan dan untuk mempunyai mekanisme yang cekap untuk memperuntukkan kuota.



"Ini adalah keadaannya bagi semua kenderaan, dan kenderaan elektrik adalah sebuah kenderaan. Juga bukan dasar yang baik untuk meletakkan terlalu banyak objektif pada satu alat dasar. Jadi saya meminta pertimbangan anggota bahawa untuk menggunakan COE bagi pelbagai objektif bukanlah pembentukan dasar yang sesuai atau berpatutan," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >