Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha agar generasi seterusnya punya ikatan sosial lebih baik

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menyentuh mengenai peri penting keharmonian kaum dan agama di Singapura dan betapa pentingnya memelihara keharmonian yang telah dibina itu semasa berucap di pelancaran edisi bahasa Inggeris buku 'Singapore Tamil Muslims' Sabtu lalu. Buku yang ditulis bersama oleh Encik A. R. Mashuthoo dan Encik Raja Mohamad itu diterbitkan sempena ulang tahun ke-80 Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) tahun ini. Berikut petikan ucapan Encik Chan.
Jan 19, 2022 | 05:30 AM



SAYA gembira menyertai anda petang ini bagi pelancaran edisi bahasa Inggeris buku 'Singapore Tamil Muslims', yang ditulis bersama oleh Encik (A.R.) Mashuthoo dan Encik Raja Mohamad.



Buku ini diterbitkan sempena memperingati ulang tahun ke-80 Liga Muslim Kadayanallur Singapura (SKML) tahun ini.



Tetapi asal usul SKML lebih panjang daripada perkhidmatan dan pencapaiannya selama 80 tahun ini.



Malah, perjalanan masyarakat Tamil Muslim kita mencerminkan pertumbuhan Singapura selama beberapa dekad.



Pada abad ke-19, penduduk di Tamil Nadu menghadapi kemarau, kebuluran dan penyakit teruk. Pada masa itu, ramai orang Tamil Muslim, yang bekerja sebagai penenun, juga kehilangan pekerjaan ekoran langkah perlindungan British melarang import tekstil India.



Oleh itu, kumpulan awal Tamil Muslim ini meninggalkan pelbagai daerah di Tamil Nadu untuk mencari kehidupan lebih baik.



Ada pergi ke Pulau Pinang dan Melaka. Yang lain datang ke Singapura rata-rata sehelai sepinggang.



Di sebalik kesukaran yang mereka hadapi, diaspora Tamil Muslim di Singapura bukan bekerja keras untuk menyara hidup mereka sahaja, malah bekerjasama untuk memartabatkan masyarakat mereka, dan mencipta peluang untuk generasi akan datang melalui pendidikan dan khidmat sosial.



Ambil contoh bagaimana pendatang Tamil Muslim di Singapura berkumpul untuk meningkatkan kebajikan golongan kurang bernasib baik dan mengukuhkan ikatan masyarakat.



Mereka menubuhkan persatuan berdasarkan asal usul nenek moyang mereka, yang banyak mendahului kemerdekaan Singapura, untuk mempromosikan matlamat mengendalikan badan amal dan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.



Contoh lain ialah bagaimana masyarakat Tamil Muslim mendedikasikan sebahagian daripada gaji mereka yang sederhana untuk membantu SKML memulakan Sekolah Tamil Umar Pulavar pada 1946.



Ia, pada masa itu, merupakan sekolah menengah bahasa Tamil pertama di Asia Tenggara, dan ia memainkan peranan penting dalam memajukan dan membentuk pendidikan bahasa Tamil di Singapura.



Ramai daripada lulusannya telah mengambil alih dan menjadi guru bahasa Tamil hari ini.



Walaupun sekolah itu ditutup 40 tahun lalu, namanya kekal di Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar hari ini, yang meneruskan misi penting menyampaikan bahasa dan budaya Tamil kepada generasi seterusnya.



Semangat ketabahan, ketahanan dan khidmat kepada masyarakat ini bersinar terang dalam kalangan masyarakat Tamil Muslim Singapura.



Hari ini, keturunan perintis Tamil Muslim bersemangat kemasyarakatan ini telah menjadikan Singapura rumah mereka selama tiga generasi dan lebih.



Ramai telah menjadi karyawan dan pemimpin masyarakat berjaya. Tetapi mereka semua telah menyerap semangat perkhidmatan, dan terus memberikannya kepada masyarakat dan negara kita.



Yang penting, usaha kolektif masyarakat anda ini juga telah mengukuhkan kompak sosial Singapura - di mana kita membantu golongan muda untuk mempunyai permulaan baik dalam hidup, memberi lebih kepada mereka yang mempunyai kurang, dan membolehkan rakyat kita bangkit daripada kesusahan.



Masyarakat Tamil Islam juga telah menyumbang kepada keharmonian berbilang kaum dan agama di Singapura.



Ini termasuk usaha memperluas ruang bersama kita.



Encik Mashuthoo dan Encik Raja memaparkan satu contoh ruang bersama fizikal dalam buku mereka.



Masjid Moulana Mohamad Ali dibina pada 1950-an, di sekitar Raffles Place dan Market Street.



Setelah UOB memperoleh tanah di tapak masjid itu, masjid itu berpindah ke besmen bank tersebut.



Encik Mashuthoo dan Encik Raja menyatakan bahawa "lokasi masjid di besmen sebuah bank Cina tempatan yang tidak disangka itu sering mencetus perbualan menarik antara orang Islam dengan orang bukan Islam".



Tempatnya tidak disangka kerana secara intuitif, kita tahu bahawa keharmonian antara kaum bukan perkara semula jadi, bukan di Singapura sahaja, bahkan banyak negara lain.



Namun bagi kita di Singapura, ia adalah hasil kerja keras selama bertahun-tahun oleh semua masyarakat kita, yang telah bersungguh-sungguh berusaha menggalak persefahaman dan kehidupan bersama, supaya kita boleh hidup sebagai satu rakyat, satu Singapura.



Lihatlah bagaimana kita berkumpul di sini hari ini, dalam sebuah kelab Teochew Cina yang berusia 177 tahun, memperingati pencapaian masyarakat Tamil Islam kita, dan bercakap dengan satu sama lain menggunakan bahasa yang saling difahami.



Ia adalah bukti kemajuan yang kita capai dalam usaha ke arah keharmonian berbilang kaum dan agama, tetapi ia bukanlah sesuatu yang kita ambil mudah.



Ini lebih-lebih lagi berharga terutamanya sedang masyarakat di negara lain mengalami ketegangan dari segi kaum, bahasa dan agama.



Oleh itu, kita harus berterima kasih kepada nenek moyang kita serta generasi pemimpin sekarang dan mereka yang telah bekerja keras untuk mewujudkan keharmonian ini.



Dan generasi kita harus meneruskan kerja baik nenek moyang kita supaya generasi akan datang akan mempunyai kompak sosial lebih erat berbanding apa yang kita nikmati dalam generasi ini.



Adalah diharapkan agar setiap generasi warga Singapura dapat memperkasa generasi akan datang untuk melakukan lebih baik daripada kita. Inilah yang membezakan kita sebagai rakyat Singapura.



Walaupun kita mempunyai asal usul berbeza, kita semua bersatu dengan satu visi sama.



Boleh dikatakan kita mengambil jalan lebih sukar. Kita tidak mengambil jalan melupakan asal usul dan sejarah kita.



Kita juga tidak mengambil jalan di mana setiap masyarakat diasingkan daripada yang lain disebabkan keturunan berbeza.



Sebaliknya, kita memilih jalan lebih sukar tetapi juga lebih baik untuk membina asas kita yang pelbagai dan berusaha mencapai matlamat sama, dengan nilai dan idea sama.



Walaupun sejarah kita tidak panjang, tentunya kita boleh disatukan oleh nilai sama. Dan ini adalah lebih baik.



Ia membolehkan kita menikmati kedua-dua kebaikan - asas kukuh dalam warisan kita yang pelbagai dan rakyat padu dengan nilai sama.



Seperti kata Presiden Halimah (Yacob) dalam kata pendahuluan yang ditulisnya (dalam buku itu):



"Warisan kita merupakan sebuah dewangga yang terbentuk daripada kisah menarik dan merupakan sumber inspirasi bagi kerja keras, daya tahan dan ketabahan."



Saya harap buku ini akan menjadi satu peringatan - bukan bagi masyarakat Tamil Islam sahaja, bahkan penduduk Singapura yang lebih luas - bahawa kita harus menghormati dan melindungi apa yang kita ada, dan menjadi sumber inspirasi bagi generasi warga Singapura akan datang untuk terus menyumbang semula kepada masyarakat.



Pada masa akan datang, mereka akan menulis babak seterusnya kisah Singapura bersama dan saya yakin bahawa ia akan menjadi sebuah kisah harapan, keyakinan dan kejayaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >