Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERJUMPAAN HARI RAYA MENTERI

Usaha bina keluarga mandiri, mantap dan maju sebagai tunjang Masyarakat Gemilang

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengupas tentang kepentingan menjaga kesihatan, membina aset masyarakat serta melanjutkan semangat saling membantu dalam ucapannya di Perjumpaan Hari Raya Menteri pada Jumaat. Berikut sedutan ucapannya.
Apr 29, 2023 | 05:30 AM



TAHUN ini, kita menyambut Syawal dengan penuh kemeriahan bersama sahabat-handai dan keluarga yang dikasihi.



Nilai-nilai Masyarakat Gemilang: Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan yang ditampilkan masyarakat kita sepanjang tiga tahun lalu, membantu kita semua keluar daripada krisis pandemik.



Nilai-nilai ini pula dilestarikan melalui ikatan keluarga yang kukuh pasca Covid-19.



Sememangnya, ikatan keluarga menjadi teras kehidupan bermasyarakat di mana sifat keikhlasan dan rasa tanggungjawab antara satu sama lain, dipupuk bak melentur buluh dari rebungnya.



Lantas, kita mahu membina keluarga-keluarga yang Mandiri, Mantap dan Maju sebagai tunjang Masyarakat Gemilang.



Usaha ini memerlukan komitmen kita semua untuk terus memperbaiki diri, menyumbang kepada masyarakat dan negara.



Pertama, sebagai individu, kita perlu Mandiri, dan bertanggungjawab menjaga diri sendiri.



Terpenting, mengamalkan gaya hidup sihat dan memelihara kesihatan kita.



Kedua, sebagai anggota masyarakat, kita perlu berikhtiar mencapai kemantapan hidup yang membolehkan kita membina aset, untuk diri sendiri dengan niat beramal kepada masyarakat dan generasi seterusnya.



Ketiga, kita perlu melanjutkan semangat saling membantu kepada masyarakat lain juga, supaya terus maju sebagai satu "Masyarakat Penyumbang, yang memperkukuh Negara."



MENJAGA KESIHATAN DEMI BELAKANG HARI



Di perjumpaan Hari Raya tahun lalu, saya berkongsi perjalanan peribadi memperbaiki kesihatan diri.



Saya mengakhiri ucapan saya dengan mengajak kita semua, para pemimpin masyarakat, menjadi teladan bagi menjaga kesihatan.



Saya harap lebih ramai daripada kita tahun ini berada dalam keadaan lebih sihat.



Kalau tahun lalu saya memetik lirik "Tiru Macam Saya" dendangan Saloma, hari ini, saya merujuk lagu kempen Kementerian Kesihatan (MOH) nyanyian Rahimah Rahim pula.



"Kak Gerl" mengingatkan kita supaya mengurangkan garam dalam masakan.



Sebenarnya, terdapat banyak pilihan alternatif lebih sihat untuk gantikan bahan masakan kita.



Maka itu, ayuh kita "swap it away" dan hidangkan jamuan lebih berkhasiat Hari Raya ini.



Malah, kita juga harus "swap away" kandungan minyak, gula dan karbohidrat yang berlebihan.



Tidak dapat disangkal, pentingnya tubuh yang sihat dalam kehidupan seharian.



Ini juga sebahagian daripada tuntutan agama dan tanggungjawab kita kepada diri sendiri dan keluarga.



Kesihatan itu adalah satu rahmah yang diberi dan menjadi amanah kita untuk menjaganya.



Ia sangat kritikal dalam membentuk insan mandiri.



Pasti, hanya kalau kita sihat, dapat kita menyumbang secara aktif kepada pembangunan masyarakat dan negara.



Saya rasa bertanggungjawab untuk memastikan anggota masyarakat kita mengambil berat hal kesihatan, sepertimana kita mengambil berat hal pendidikan.



Justeru, saya telah mengumumkan bidang tumpuan kelima M3, di majlis pelancaran Pesta Saham Kesihatan M3, bulan lalu, supaya ia dijadikan keutamaan masyarakat kita.



Saya gembira agensi-agensi M3 sudahpun giat bekerjasama dengan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), untuk memperkenalkan usaha-usaha tertumpu, bagi menggalak masyarakat menjaga kesihatan mereka.



Antara petanda baik adalah:



Rangkaian Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU) yang terdiri daripada masjid-masjid dan badan-badan Melayu/Islam (MMO), sudahpun mendampingi 32,000 penduduk dalam tempoh hanya empat bulan lalu.



Masyarakat Melayu kita juga mencatat kemajuan dalam beberapa indeks kesihatan.



Jumlah pesakit Melayu dengan tahap kolesterol darah tinggi kian berkurangan.



Sekitar 39 peratus dicatat antara 2019 dan 2020, berbanding 41 peratus pada 2017.



Lebih ramai wanita Melayu menjalani saringan barah payudara, mencapai 19 peratus pada 2021, iaitu naik hampir 10 peratus berbanding 2017.



Jumlah ini bagaimanapun masih rendah berbanding purata negara iaitu 31 peratus.



Dalam pada itu, lebih ramai individu Melayu kian menghidapi tekanan darah tinggi - naik sekitar 15 peratus kepada 37.5 peratus, antara 2019 dan 2020 berbanding sekitar 23 peratus pada 2017.



Kadar kegemukan masyarakat kita pula adalah yang tertinggi, berbanding masyarakat lain, iaitu hampir 24 peratus, juga antara 2019 dan 2020.



Turut mencatat jumlah tertinggi adalah perokok dalam kalangan masyarakat kita, iaitu sekitar 21 peratus pada 2021.



Oleh itu, kita masih perlu melipatgandakan usaha untuk menjaga kesihatan masyarakat kita.



Bidang tumpuan baru M3 ini sekaligus menggerakkan masyarakat kita untuk siap mengikuti program negara "SG Yang Lebih Sihat" atau 'Healthier SG'.



Ia menekankan pentingnya pencegahan penyakit dari awal lagi, berbanding mendapatkan rawatan, apabila sudah jatuh sakit - bak kata peribahasa "Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis".



Program Saham Kesihatan M3 selari dengan matlamat Healthier SG untuk menjadikan pencegahan penyakit, sebagai komitmen peribadi, melalui tiga usaha: saringan kesihatan yang kerap, gaya hidup aktif dan pemakanan yang baik.



Inilah cara terbaik mengelak penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung, supaya kita dapat menjalani mutu kehidupan yang lebih baik.



Ramai peserta program rintis Saham Kesihatan di M3@Bandar Jurong dan Tampines tahun lalu, terus mengamalkan gaya hidup sihat, malah sesetengah mereka hilang berat badan sehingga dua kilogram susuli program itu.



Syabas! Kini, 11 lagi M3@Bandar, Mendaki dan Muis sedang membangunkan program-program Saham Kesihatan mereka sendiri pula, dengan sasaran mencapai 3,000 peserta menjelang hujung tahun ini.



MEMBINA HARTA WARISAN MASA DEPAN



Apabila kita sihat lagi mandiri, kita bukan setakat mampu menanggung keperluan sendiri, malah boleh menyumbang kepada kemantapan masyarakat dan negara.



Bahkan apabila kita mengumpul harta untuk memanfaatkan generasi selanjutnya, kita menjadi insan mulia.



Sesungguhnya Masyarakat Gemilang, adalah masyarakat yang mantap.



Bak pepatah Melayu:



"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama", amalan menabur budi dan meninggalkan harta warisan sudah sebati dalam tradisi kita.



Menyumbang sedekah jariah kepada generasi pelapis adalah suatu amalan yang biasa dilakukan oleh nenek moyang kita.



Wakaf terawal yang dicatatkan di Singapura adalah pada awal abad ke-19.



Para dermawan tempatan kita mewakafkan tanah dan hartanah mereka demi memanfaatkan masyarakat am, sekaligus menyemai benih bagi membina dana jangka panjang, untuk institusi-institusi agama dan golongan kurang bernasib baik.



Mereka cukup yakin bahawa mereka bukan sekadar mendermakan aset, tetapi sebenar-benarnya meninggalkan harta yang akan terus membantu orang lain walaupun setelah mereka meninggal dunia dan mendapat pahala berkekalan hingga ke akhirat.



Sayangnya, wakaf terakhir yang dicatat di Singapura, adalah beberapa dekad lalu pada tahun 1978, oleh Shaikh Taha Abubakar Mattar, bagi tapak Masjid Sallim Mattar.



Demi menyemarakkan semula semangat berwakaf, saya mengumumkan hasrat menubuhkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), di perjumpaan Hari Raya ini, tiga tahun lalu.



WMS bertujuan menampung pendanaan jangka panjang, khususnya untuk institusi-institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program-program masyarakat kita.



WMS ditubuhkan untuk membolehkan lebih ramai lagi individu meninggalkan harta, buat generasi seterusnya, agar masyarakat kekal mandiri dan menjadi lebih mantap.



Saya berbesar hati Muis hampir selesai menubuhkan WMS, bahkan sudahpun mendampingi masyarakat untuk meningkatkan kesedaran tentang wakaf dan alat-alat perancangan harta peninggalan.



Maklum balas masyarakat terhadap WMS amat menggalakkan.



Saya sangat gembira ramai menyokong visi wakaf untuk menampung keperluan keagamaan masa depan masyarakat Islam kita dan institusi-institusinya.



Pokok dana ini akan dikekalkan dan dilaburkan sepenuhnya.



Ia akan menjana pendapatan yang akan disalurkan kepada penerima WMS.



Muis sedang berusaha memastikan struktur undang-undang lengkap untuk tadbir urus wakaf ini.



Pada masa yang sama, sukacita saya mengumumkan bahawa beberapa individu telah tampil untuk berikrar kepada WMS.



Ini adalah langkah penting dalam memastikan masyarakat kita mantap, lantas mampu menampung keperluan jangka panjang kita.



Alhamdulillah. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang telah membuat ikrar bagi membina asas penubuhan WMS.



Beberapa daripada mereka hadir bersama kita hari ini.



Antaranya, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Salleh Marican, yang berikrar akan menderma $2,222,222.



Encik Salleh percaya bahawa golongan yang lebih berkemampuan harus tampil menyumbang dan menyokong keperluan masyarakat.



Justeru, apabila mendapat tahu tentang WMS, beliau tidak teragak-agak untuk mengetepikan sebahagian asetnya, demi membantu merealisasikan visi jangka panjang wakaf ini.



Seorang lagi adalah warga pesara kita, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Kasmani, 72 tahun.



Beliau dan keluarganya telah bersepakat untuk menyumbang sebahagian daripada simpanan CPFnya kepada WMS.



Mereka mahu aset yang telah dikumpulkan Encik Kasmani semasa beliau sihat dahulu, digunakan bagi tujuan amal di dunia dan juga sebagai saham akhirat, yang akan terus mengalir untuk manfaat masyarakat.



Sama-sama kita mendoakan agar urusan Encik Kasmani sekeluarga dipermudahkan.



Sekali lagi, sekalung budi kepada para pengikrar WMS.



Bagi mereka yang berminat untuk turut membuat ikrar kepada WMS, atau mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web OurWakaf.sg atau menghubungi Muis secara langsung.



Mari kita menghidupkan semula semangat berwakaf dengan menyumbang kepada WMS.



Semoga niat kita ini membawa pahala berkekalan hingga ke akhirat.




MANDIRI, MANTAP, MAJU



“Sememangnya ikatan keluarga menjadi teras kehidupan bermasyarakat di mana sifat keikhlasan dan rasa tanggungjawab antara satu sama lain dipupuk bak melentur buluh dari rebungnya. Lantas, kita mahu membina keluarga-keluarga yang Mandiri, Mantap dan Maju sebagai tunjang Masyarakat Gemilang.”



KESIHATAN MASYARAKAT



“Kesihatan itu adalah satu rahmah yang diberi dan menjadi amanah kita untuk menjaganya. Ia sangat kritikal dalam membentuk insan mandiri. Pasti, hanya kalau kita sihat dapat kita menyumbang secara aktif kepada pembangunan masyarakat dan negara.”



– Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >