Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA HARIAN: SAJIAN KHAS HARI INI: INFOGRAFIK

Usaha memulihara Ubin

NParks rancang dua projek perlindungan pantai dengan memulihkan kawasan yang terhakis dan melindunginya daripada kenaikan permukaan laut
Oct 06, 2021 | 05:30 AM



PULAU Ubin terkenal dengan kepelbagaian biologinya.



Namun kini terdapat rancangan untuk memastikan alam semula jadinya terus berkembang di pulau yang terletak di timur laut negara ini, dan tidak terancam oleh hakisan pantai atau kenaikan permukaan laut.



Mulai tahun depan, Lembaga Taman Negara (NParks) akan memulakan dua projek perlindungan pantai berasaskan alam semula jadi untuk melindungi garis pantai utara dan selatan Ubin dengan memulihkan kawasan yang terhakis dan melindunginya daripada kenaikan permukaan laut pada masa depan.



Usaha itu menyusuli langkah lain yang berjaya dilakukan NParks, di Pulau Tekong dan di Kranji.



Inisiatif Ubin itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee baru-baru ini di Festival Tahunan Kepelbagaian Biologi, yang meraikan kehidupan semula jadi di negara ini.



Tahun ini adalah edisi ke-10 acara tersebut.



"Kami akan memulakan dua projek perlindungan tepi pantai yang baru dan lebih luas di Pulau Ubin.



"Ini akan dilakukan dengan kerjasama masyarakat: satu di garis pantai utara, dan satu lagi di selatan, di Sungei Durian," kata Encik Lee pada acara di Taman Bunga Singapura itu.



"Ia akan memulihkan garis pantai pulau itu dan habitat bakau, dan mengembalikan lebih banyak kepelbagaian biologi pulau itu yang kaya di samping menangani hakisan pantai dan kehilangan habitat yang berterusan."



Pantai utara Ubin kini menghadapi hakisan, disebabkan oleh perubahan penggunaan tanah di pulau itu selain kesan gelombang dan laluan kapal.



Pulau itu pernah digunakan bagi perlombongan granit pada abad ke-19, dan kemudian bagi tujuan akuakultur.



Kerja pemulihan di sepanjang 2.2 kilometer garis pantai itu dijangka bermula tahun depan - menggunakan gabungan prasarana semula jadi dan buatan manusia.



Ini termasuk pemasangan batu perisai untuk membentuk struktur seperti tebing, atau tanjung tinggi, yang jaraknya 200 meter dan ditambah pasir di antaranya, kata NParks.



Ini akan mewujudkan bentuk pantai yang tidak teratur yang akan membantu memanjangkan garis pantai lebih jauh dari tempatnya sekarang.



Untuk 'mencantikkan' tanjung tinggi itu dan meningkatkan habitat hidupan liar, kolam batu pasang surut selain tanaman toleran semburan garam akan diletakkan di situ.



Hakisan juga sedang menjejas bakau yang tumbuh di sepanjang pantai utara Ubin.



NParks merancang mencegah kehilangan lebih lanjut pohon bakau di sana dengan membina struktur landai yang dibuat daripada batu di sepanjang garis pantai untuk bertindak sebagai penghalang antara laut dengan pasir.



Tanah diletakkan di dalam sabut beg galas yang boleh terurai secara biodegradasi untuk memudahkan pertumbuhan semula jadi pokok bakau di sepanjang struktur batu itu.



Mengenai pantai selatan Ubin, NParks berkata pihaknya akan bekerjasama dengan saintis, sukarelawan dan kumpulan pemuliharaan laut untuk menilai bagaimana kolam akuakultur yang terbengkalai di situ dapat dijadikan habitat bakau yang lebih kaya.



Walaupun kolam-kolam di situ telah bertahun-tahun terbiar, bakau telah tumbuh semula di bahagian cetek kolam, yang dapat mencapai kedalaman 5 meter.



NParks menyatakan antara strategi yang boleh diambil termasuk meningkatkan ketinggian dasar kolam dan memperbaiki aliran air untuk membolehkan penyebaran paya bakau yang berterusan yang dapat memperbaiki keadaan.



"Ini akan membantu mewujudkan ekosistem yang dapat bertahan sendiri," kata NParks.



Penilaian teknikal lebih lanjut, perancangan dan reka bentuk terperinci sedang diusahakan, dengan rancangan untuk memulakan kerja pada 2023.



Encik Lee berkata menanam pokok dan pokok renek, serta meningkatkan dan memulihkan bakau di sepanjang pantai Singapura dapat membantu mempertahankan negara ini daripada kenaikan permukaan laut, sambil menyediakan habitat utama bagi spesies laut dan tepi pantai untuk terus hidup dan berkembang.



Strategi berasaskan alam semula jadi seperti itu kali pertama diuji di Pulau Tekong pada 2010, apabila NParks menggunakan gabungan struktur buatan dan alam semula jadi untuk mengurangi hakisan pantai.



Projek itu berjaya menghentikan hakisan pantai dan mencegah kehilangan bakau di kawasan itu sejak sedekad lalu, kata NParks. - ST.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >