Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha pastikan lebih ramai warga tua dapatkan vaksinasi

Sekitar 13 peratus warga tua berusia 70 tahun ke atas belum divaksin
Sep 01, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA kini antara negara yang telah mencapai kadar vaksinasi tertinggi di dunia, dengan 80 peratus penduduknya divaksin sepenuhnya.



Namun bilangan warga tua yang belum divaksin mencetus keprihatinan.



Sehingga 31 Ogos, 13 peratus warga tua berusia 70 tahun dan ke atas belum divaksin. Sebanyak 84 peratus telah divaksin sepenuhnya, sementara 87 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.



Jumlah individu dalam lingkungan usia ini yang memerlukan alat banuan pernafasan oksigen pula adalah empat orang, sehingga 30 Ogos. Dua warga berusia sekurang-kurangnya 70 tahun pula berada di pusat jagaan rapi (ICU) di hospital.



Bagi warga tua berusia antara 60 tahun dengan 69 tahun pula, 8 peratus belum divaksin.



Sebanyak 90 peratus telah divaksin sepenuhnya, dengan 92 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.



Sehingga 30 Ogos, tujuh orang dalam kumpulan ini memerlukan alat bantuan oksigen. Dua orang pula sedang dirawat di ICU.



Menyentuh mengenai pemvaksinan warga tua dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2021 Ahad lalu, Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata warga tua yang belum divaksin boleh mengalami jangkitan Covid-19 yang membahayakan.



Menurut beliau, dengan Covid-19 menjadi endemik atau penyakit yang biasa berlaku, setiap orang akan 'bertemu' virus itu.



Golongan yang telah divaksin mungkin tidak dijangkiti, tetapi golongan yang tidak divaksin besar kemungkinan akan dijangkiti, dengan sebahagiannya menjadi amat sakit.



Justeru Encik Lee menggesa warga Singapura, terutama yang lebih tua supaya mendapatkan vaksinasi secepat mungkin.



Beliau mencadangkan agar golongan tua yang tidak dapat meninggalkan rumah supaya menggunakan khidmat pasukan vaksinasi bergerak yang memasuki kejiranan HDB untuk mendapatkan vaksinasi masing-masing, atau melalui khidmat dari rumah ke rumah yang ditawarkan pasukan relawan.



Mengulas mengenai perkara ini baru-baru ini, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata usaha memvaksin orang di rumah sedang dijalankan dengan gigih.



Buat masa ini, lebih 4,300 individu yang tidak dapat keluar dari rumah telah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diberikan oleh pasukan vaksinasi dari rumah ke rumah.



Menurut Encik Ong, pihaknya bercadang menggandakan bilangan pasukan vaksinasi rumah ke rumah daripada 11 kepada 33 pasukan untuk memenuhi permintaan awam.



Setiap minggu, pihaknya menerima sekitar 700 permintaan untuk pemvaksinan di rumah.



Pasukan yang ditambah itu melibatkan 200 tenaga kerja relawan termasuk doktor dan jururawat serta kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kata Encik Ong.



Ini membolehkan pasukannya mengurangkan tempoh menunggu untuk mendapatkan vaksinasi di rumah daripada lapan minggu kepada empat minggu.



"Kami menetapkan sasaran untuk melengkapkan semua vaksinasi di rumah menjelang akhir September.



"Itu adalah satu lagi langkah ke hadapan yang penting," kata Encik Ong.



Selain bergantung pada khidmat vaksinasi bergerak, warga emas juga boleh mendapatkan vaksinasi di sebarang pusat vaksinasi, poliklinik, pondok vaksinasi bergerak dan klinik keluarga yang disenarai sebagai Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).



Malah bilangan klinik PHPC akan ditambah daripada 65 klinik kepada lebih daripada 80 klinik pada bulan ini.



Dalam pada itu, setiap isi rumah di Singapura akan menerima enam kit uji sendiri ujian pantas antigen (ART) menerusi pos.



Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mengagihkan kit ujian itu menerusi SingPost hingga 27 September, sebahagian usaha mengalak pihak awam memain peranan peribadi dalam usaha negara mengekang pandemik ini.



"Dengan Singapura beralih secara berperingkat menjadi negara yang teguh menghadapi Covid-19, masyarakat akan memainkan peranan lebih penting untuk menguruskan pandemik ini," kata MOH dalam kenyataannya baru-baru ini.



"Satu aspek penting adalah untuk mengamalkan tanggungjawab peribadi iaitu menguji diri sendiri dan memantau kesihatan diri sendiri."



Dari pertengahan bulan ini pula, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) akan mengagihkan kit ART kepada semua pelajar dan kakitangan di prasekolah yang berdaftar dengan Ecda, tadika MOE, pusat intervensi awal, sekolah rendah dan di peringkat rendah atau junior di sekolah khas.



Setiap pelajar atau anggota staf akan menerima tiga kit ujian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >