Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usahakan 'bak kwa' halal buat menantu mualaf

Feb 01, 2022 | 05:30 AM



KASIH sayang seorang bapa mentua buat anak menantu lelakinya amat terserlah dan melangkaui batasan budaya dengan tindakannya belajar membuat bak kwa (dendeng) halal untuk menantunya yang mualaf itu.



Sejak menantunya, yang dikenali sebagai Encik Rehan Sng sahaja, memeluk agama Islam, beliau terpaksa berhenti makan makanan yang tidak halal antaranya dumpling dan mi daging lembu.



Namun, Encik Ismail Yasir, 71 tahun, mendapati di Singapura terdapat banyak pilihan masakan Cina yang halal kecuali bak kwa.



"Setiap tahun apabila kami sekeluarga ke Chinatown, kami sering melihat barisan panjang orang beratur ingin membeli bak kwa. Dari situ, tercetus idea mahu mendalami cara membuatnya," cerita bapa dua anak itu.



Apa yang bermula untuk mencari resipi yang sempurna menjadi suatu perjalanan yang kemudian menggerakkan hati Encik Ismail membuka perniagaan dari rumah walaupun telah berusia 69 tahun ketika itu.



Ini juga merupakan kali pertama beliau menceburi bidang perniagaan, justeru tidak mempunyai sebarang pengalaman, namun ghairah dan berkobar-kobar mahu mencubanya.



Terbukti kasih sayang sesama keluarga tiada batasan ataupun usia.



Antara tujuan utama membuka perniagaan itu adalah kerana menyedari akan jurang dalam bekalan masakan bak kwa halal dalam masyarakat Islam di Singapura.



Dalam pada itu, beliau juga ingin mengongsi dan memberi kesempatan mualaf lain menikmati bak kwa yang lebih mirip tekstur dan rasanya dengan bak kwa yang mereka biasa makan sebelum ini.



Perjalanan perniagaannya bermula pada April 2020 dan setelah banyak percubaan untuk mendapatkan resipi terbaik, Encik Ismail mula mengambil pesanan bermula Julai 2020.



Datuk tiga cucu itu akur bahawa terdapat banyak cabaran sebelum membuka perniagaannya itu.



Beliau berkata perjalanan untuk mendapatkan resipi yang sempurna amat sukar dan mengambil sekitar empat bulan .



Terdapat beberapa bahan yang kami tidak dapat gantikan seperti wain masak Shaoxing, tauhu merah yang diperam dan nasi yis merah kerana sukar mendapatkan daripada sumber halal," singkapnya yang sering ke pasar bersama isterinya, Cik Noraini Mohamed Noor, juga 71 tahun.



Selain itu, Encik Ismail juga mengkaji cara terbaik membakar bak kwa itu selain menggunakan ketuhar industrial.



Encik Rehan dan Encik Ismail mengunjungi beberapa kedai bak kwa terkenal di Singapura dan memerhatikan proses membakarnya.



"Kami gembira kerana dapat menyesuaikan proses membakar bak kwa dengan ketuhar biasa dan dulang aluminium," kata Encik Ismail.



Modal perniagaannya sekitar $1,000 dan ini termasuk dua ketuhar biasa yang dibeli khas untuk membakar bak kwa itu.



Justeru, terdapat banyak penyesuaian yang terpaksa dilakukan bagi mendapatkan resipi bak kwa yang baik, katanya.



"Rehan banyak bantu saya merasa bak kwa yang telah masak dan berikan maklum balas memandangkan dia seorang boleh beri komen jika bak kwa itu rasa 'asli' atau tidak," usik pesara itu yang dahulu bekerja dalam bidang minyak.



Menjelang Tahun Baru Cina ini, Encik Ismail turut gembira kerana mendapat tempahan yang sangat memberangsangkan.



Hingga ditemu ramah, Mr Bakkwa Delights penuh ditempah hingga 5 Mac ini.



"Oleh sebab kami HBB, kami tidak mempunyai kemampuan menyiapkan jumlah bak kwa yang banyak.



"Kemampuan maksimum kami ialah 25 kilogram setiap minggu," jelas pemilik HBB (perniagaan dari rumah) itu.



Dek perniagaan bak kwa itu, Encik Ismail melahirkan rasa terima kasih kepada keluarganya yang sangat menyokong dan terus memberikan motivasi kepadanya supaya meneruskan perniagaan tersebut.



"Oleh sebab mereka sokong saya 100 peratus, mereka juga sering membantu saya dalam menyiapkan pesanan. Dan ini juga menjadi salah satu kegiatan keluarga yang kami lakukan bersama," ujarnya.



Encik Ismail tersentuh kerana ramai juga pelanggan yang menyokongnya dan beliau berharap sokongan itu berterusan.



"Mudah-mudahan jika perniagaan bertambah lebih baik, kami juga boleh mula merancang mengembangkan perniagaan, insya-Allah," harapnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >