Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Waktu kerja panjang, kes penganiayaan antara keprihatinan pegawai keselamatan: Tinjauan

Dec 23, 2022 | 05:30 AM



WAKTU kerja yang panjang dan kadar kes penganiayaan tinggi bagi pegawai keselamatan masih terus menjadi bidang keprihatinan bagi Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE) berdasarkan dapatan satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini.



Namun, tinjauan tersebut juga mendapati terdapat potensi baik bagi transformasi dilakukan di tapak kerja, memandangkan sebahagian besar pegawai keselamatan sudah pun memanfaatkan teknologi dalam tugas mereka untuk mempertingkat produktiviti.



Tinjauan tersebut, yang dijalankan dari April hingga Julai tahun ini dengan kerjasama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), bertujuan lebih memahami isu yang dihadapi pegawai keselamatan privet di tempat kerja dan mendapatkan pandangan lanjut untuk mempertingkat gaji, kebajikan dan prospek kerja mereka.



Sekitar 1,000 pegawai keselamatan mengambil bahagian dalam tinjauan itu.



Ini kali keempat tinjauan sedemikian dijalankan. Yang pertama dilakukan dari Januari hingga Februari 2020; yang kedua dari September hingga November 2020; dan yang ketiga dari Julai hingga September tahun lalu.



Kes aniaya terhadap pegawai keselamatan kekal tinggi



Dapatan tinjauan terkini itu menunjukkan bahawa kes penganiayaan terhadap pegawai keselamatan terus kekal tinggi pada 41 peratus - naik sedikit daripada 38.8 peratus dalam tinjauan ketiga yang dijalankan.



Sekitar 35.9 peratus pegawai menyatakan bahawa mereka mengalami penganiayaan secara lisan di tempat kerja, manakala 4.9 peratus mengalami kedua-dua penganiayaan secara lisan dan fizikal.



Dalam pada itu, 98 peratus pegawai ditinjau berkata mereka dapat menikmati sekurang-kurangnya satu hari rehat setiap minggu, dengan sebahagian besar mereka dapat mengambil hari rehat tanpa masalah.



USE, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa sebarang kes penganiayaan tidak boleh diterima, dan mereka mengulangi agar masyarakat memberi penghormatan sewajarnya kepada pegawai yang bekerja untuk menjaga keselamatan.



"Pegawai dan orang awam amat digalak melaporkan isu, termasuk penganiayaan melalui aplikasi telefon bimbit USE dan pusat perkhidmatan pengantaraan USE.



"Tapak kerja juga boleh direka dengan lebih baik sejajar dengan hasil keselamatan yang diinginkan, yang mengurangkan kemungkinan punca konflik yang boleh membawa kepada penganiayaan pegawai keselamatan," kata kesatuan itu.



Dari segi penggunaan teknologi, tinjauan menunjukkan sekitar 93 peratus pegawai keselamatan menggunakan huraian teknologi di tempat kerja, dan 59 peratus menyatakan teknologi telah menjadikan tugas mereka lebih mudah.



Sistem kamera litar tertutup (CCTV) merupakan teknologi yang paling banyak dimanfaatkan, dengan sebanyak 85.8 peratus responden menyatakan demikian.



Teknologi lain yang digunakan di tempat kerja termasuk teknologi boleh pakai seperti kamera dipakai pada badan (61.5 peratus), sistem pengurusan pengunjung (56.8 peratus), aplikasi rondaan mudah alih (39.2 peratus), dan analitik video (35 peratus).



USE berkata dapatan tersebut adalah menggalakkan dan menunjukkan terdapat peluang baik bagi transformasi dijalankan di tempat kerja.



"Penggunaan teknologi keselamatan disesuaikan mengikut keperluan keselamatan tapak. Sedang lebih banyak tapak diubah pada masa depan, pegawai harus disediakan dengan peluang latihan mencukupi dalam waktu bekerja mereka agar dapat menggunakan teknologi sedemikian dan menambah nilai peranan semasa mereka, sementara memastikan mereka mempunyai waktu rehat yang cukup di luar kerja," kata USE.



Soalan berkenaan gaji pula menunjukkan bahawa waktu kerja lembur, atau overtime, terus membentuk sekitar sepertiga daripada gaji kasar keseluruhan pegawai jika dibandingkan dengan gaji asas.



Misalnya, gaji kasar sekitar $2,100 bagi pegawai keselamatan di peringkat terendah melebihi gaji asas mereka pada $1,443, sebahagian besarnya disebabkan kerja lembur.



Ini, kata USE, menunjukkan lebih banyak masih boleh dilakukan untuk mempertingkat transformasi kerja dan tapak melalui kontrak berdasarkan hasil, yang sekali gus akan mengurangkan keperluan bagi pegawai melakukan kerja lembur.



Meskipun hampir 80 peratus pegawai rasa terjamin mereka tidak akan hilang pekerjaan, peratusan mereka yang rasa puas hati dengan peluang dinaikkan gaji dan dinaikkan pangkat pula lebih rendah.



Hanya 55.5 peratus responden berpuas hati dengan peluang menerima kenaikan gaji, manakala 47 peratus pula berpuas hati dengan peluang dinaikkan pangkat.



Ini lebih rendah berbanding peratusan yang dilihat dalam dapatan tinjauan sebelumnya, iaitu 58 peratus yang berpuas hati dengan peluang dinaikkan gaji dan 55.5 peratus yang berpuas hati dengan peluang dinaikkan pangkat.



USE berkata ini adalah satu isu yang perlu diperiksa, dan mereka percaya bahawa pegawai mempunyai kebimbangan tentang bagaimana gaji dan kerja mereka mungkin berubah dalam beberapa tahun mendatang.



Setiausaha Agung USE, Encik Raymond Chin, berkata banyak yang telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu untuk mempertingkat gaji pegawai keselamatan melalui Model Gaji Progresif (PWM).



"Kepentingan pegawai keselamatan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara turut diketengahkan semasa Covid- 19.



"Adalah lebih penting sekarang berbanding sebelum ini untuk menumpukan usaha kami pada transformasi yang amat diperlukan bagi pekerjaan pegawai dan industri keselamatan secara amnya," kata beliau.




USAHA TUMPU PERHATIAN PADA TRANSFORMASI



"Adalah lebih penting sekarang berbanding sebelum ini, untuk menumpukan usaha kami pada transformasi yang amat diperlukan bagi pekerjaan pegawai dan industri keselamatan secara amnya."
- Setiausaha Agung USE, Encik Raymond Chin.




DAPATAN UTAMA TINJAUAN USE-SUSS



Peluang baik bagi transformasi di tempat kerja



- 93% pegawai keselamatan guna huraian teknologi kini



- 59% dapati teknologi jadikan tugas mereka lebih mudah



- Lebih separuh pegawai keselamatan guna sistem pengurusan pengunjung di tempat kerja, dan lebih sepertiga guna analitik video



Lebih banyak perlu dilakukan untuk kurangkan lagi



waktu kerja lembur



- Gaji pegawai hampir capai syarat Model Gaji Progresif (PWM)



- Kerja lembur masih bentuk sekitar sepertiga daripada gaji kasar keseluruhan



- 94% pegawai dibayar gaji tepat pada masanya



Perlu pacu kesedaran tentang pegawai yang dianiaya, dan kontrak perkhidmatan sediakan lebih banyak perlindungan untuk pegawai



- 98% nikmati sekurang-kurangnya satu hari rehat seminggu



- Kes pegawai dianiaya kekal tinggi pada 41%




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >