Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Walau merosot, pesan makanan 'online' dijangka kekal sebagai gaya hidup

Jan 07, 2023 | 05:30 AM



PENIAGA makanan dan minuman (F&B) di sini sudah menjangkakan bahawa permintaan bagi penghantaran makanan merosot sedang lebih ramai orang menjamu selera di luar menyusuli pembukaan semula ekonomi.



Namun, mereka berkata trend memesan makanan melalui platform dalam talian - yang meningkat di tengah-tengah kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 ketika langkah-langkah sekatan dilaksanakan - akan terus berkekalan kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan satu kemudahan yang tersedia untuk semua.



Beberapa peniaga F&B, yang memanfaatkan platform penghantaran dalam talian seperti GrabFood, foodpanda dan Deliveroo, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka telah menyaksikan jumlah pesanan makanan yang dibuat pelanggan berkurangan sejak langkah sekatan Covid-19 dilonggarkan tahun lalu.



Ini termasuk meniadakan had saiz kumpulan dan jarak selamat untuk menjamu selera di luar manakala pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja mereka.



Pemilik Churros Republic, Encik Faizar Hussein Abdul Razeed, berkata permintaan bagi pesanan di platform dalam talian turun 10 peratus sejak suku ketiga tahun lalu.



Perniagaannya memanfaatkan platform GrabFood, foodpanda, Deliveroo dan Ordell sejak sekitar lima tahun lalu.



"Ia mungkin didorong oleh faktor seperti kos penghantaran yang lebih tinggi untuk pelanggan (pada platform) dan tempoh pemulihan selepas pandemik, di mana orang ramai mungkin kurangkan perbelanjaan," katanya.



"Kami faham tidak semua orang mampu (pesan makanan dalam talian). Sejurus kos penghantaran naik, pelanggan akan mula mempertimbangkan sama ada mereka harus pesan dalam talian atau keluar dan beli sendiri. Oleh itu, kami lihat lebih ramai pelanggan yang datang ke kedai kami selepas sekatan dilonggarkan," kata beliau.



Pemilik Hamidah's Kitchen, Cik Fadilah Abdul Majid, pula berkata permintaan bagi pesanan dalam talian turun 30 peratus secara purata jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu semasa pandemik. Katanya, faktor seperti kebolehan orang ramai menjamu selera di seberang Tambak juga menyumbang kepada penurunan itu.



Selain menggunakan beberapa platform seperti GrabFood, foodpanda, dan Deliveroo sejak perniagaannya dibuka pada April 2021, mereka mempunyai platform pesanan makanan dalam talian sendiri.



"Platform dalam talian kami sendiri kini membentuk peratusan jualan lebih besar bagi kafe kami berbanding platform lain. Namun ia telah menyaksikan penurunan sedikit sejak pembukaan semula sempadan, tetapi secara umumnya, jualan dalam talian masih baik," kata beliau.



Tenderfresh Group pula berkata jumlah pesanan melalui GrabFood, foodpanda dan Deliveroo yang digunakan syarikatnya itu sejak 2019 dapat dikekalkan.



Jurucakap syarikat itu berkata: "Walaupun pasaran keseluruhan telah menyaksikan penurunan dalam penghantaran makanan disebabkan pembukaan semula ekonomi, Tenderfresh Group masih mengekalkan volum jualan kami melalui inovasi produk, penyelidikan dan pengembangan (R&D) produk baru, usaha pemasaran dan penjualan, serta peningkatan kerjasama dengan platform penghantaran."



Bagaimanapun peniaga F&B berkata amalan memesan makanan dalam talian akan terus kekal.



"Permintaan mungkin turun lagi tetapi ia akan menjadi stabil, apabila orang ramai sudah dapat memenuhi hasrat terpendam mereka untuk ke seberang Tambak, walaupun pada kadar lebih perlahan berbanding sewaktu Covid," kata Cik Fadilah.



Encik Faizar pula berkata amalan itu akan berterusan disebabkan faktor kemudahan yang disediakan.



Syarikat penghantaran makanan dalam talian berkata permintaan bagi penghantaran makanan merosot sejak Singapura melonggarkan sekatan Covid-19 tahun lalu, tetapi ia kekal lebih tinggi berbanding prapandemik.



Jurucakap Grab berkata platform itu telah menyaksikan "permintaan berterusan dan stabil" dari pelanggan walaupun selepas Singapura dibuka semula, sambil menambah Covid-19 telah "mengukuhkan" pilihan bagi kemudahan. Malah, tujuh daripada 10 pelanggan berkata pesanan makanan melalui penghantaran sudah sebati dengan kehidupan mereka.



Jurucakap foodpanda turut berkata permintaan bagi penghantaran makanan kekal stabil sejak pembukaan semula, dengan prata dan bubble tea antara yang mendahului senarai makanan paling banyak dipesan.



Deliveroo, dalam satu tinjauan melibatkan 1,000 warga Singapura pada September lalu, mendapati lebih 60 peratus responden berkata mereka menggunakan khidmat penghantaran makanan lebih kerap sekarang daripada waktu prapandemik, lapor The Business Times.



Berkongsi pandangan, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata tidak mengejutkan bahawa permintaan bagi khidmat penghantaran makanan akan merosot sedang lebih ramai orang kembali ke tempat kerja.



Beliau menambah tidak berkemungkinan permintaan akan jadi lebih rendah berbanding sewaktu prapandemik dan ia akan mencapai kestabilan pascapandemik dengan lonjakan musiman dalam permintaan, seperti semasa musim cuti.



Namun Dr Tan berkata syarikat penghantaran makanan dalam talian perlu memberi tumpuan pada inovasi dan mutu perkhidmatan, seperti penghantaran tepat pada masanya, standard perkhidmatan yang boleh dipercayai, memastikan wang dibelanjakan berbaloi dan tawaran menarik daripada lebih banyak cawangan F&B.




"Permintaan mungkin turun lagi tetapi ia akan menjadi stabil, apabila orang ramai sudah dapat memenuhi hasrat terpendam mereka untuk ke seberang Tambak, walaupun pada kadar lebih perlahan berbanding sewaktu Covid."
- Cik Fadilah Abdul Majid, pemilik Hamidah's Kitchen.



"Kami faham tidak semua orang mampu (pesan makanan dalam talian). Sejurus kos penghantaran naik, pelanggan akan mula mempertimbangkan sama ada mereka harus pesan dalam talian atau keluar dan beli sendiri."
- Encik Faizar Hussein Abdul Razeed, pemilik Churros Republic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >