Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wanita 'tawar' pakej murah bagi bilik hotel popular diberkas

Dec 18, 2021 | 05:30 AM



POLIS telah memberkas seorang wanita berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tempahan bilik hotel mewah di Singapura, dengan mangsa kerugian lebih $400,000.



Polis berkata ia telah menerima beberapa laporan bulan ini daripada mangsa yang didakwa ditipu oleh tawaran pakej bilik hotel yang murah melalui wadah media sosial.



Selepas pembayaran dibuat oleh mangsa melalui pemindahan bank dan PayNow, mereka gagal menerima tempahan.



Melalui siasatan, pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) mengenal pasti identiti wanita itu dan menahannya dipercayai atas kesalahan menipu.



Dia sedang membantu siasatan, menurut polis dalam satu kenyataan malam kelmarin.



Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai terlibat dalam lebih 300 tempahan pakej bilik hotel yang tidak dipenuhi dengan jumlah kerugian lebih $400,000, kata polis.



Mangsa yang diwawancara Berita Harian berkata suspek penjual tempahan bilik hotel murah yang dimaksudkan itu merupakan seorang wanita yang menggunakan nama 'Farah Diyanah" di media sosial.



Suspek wanita itu mengendalikan 'tawaran' tersebut menerusi akaunnya di Instagram dan platform e-dagang, Carousell.



Menurut satu kumpulan sembang di Telegram berkaitan 'skim' tempahan bilik hotel itu, mangsa mendakwa mereka ditipu oleh tawaran pakej murah bagi bilik hotel popular di sini tetapi gagal mendapat bayaran balik daripada penjual.



Kumpulan sembang itu kebanyakannya dianggotai mangsa 'tawaran' tempahan bilik hotel berkenaan.



Sehingga akhbar ini dicetak, kumpulan sembang itu memiliki lebih 1,000 anggota.



Menurut perkongsian mangsa dalam kumpulan sembang itu, mereka mula mengesyaki perkara pelik mengenai tempahan bilik hotel mereka apabila berdepan masalah ketika tiba di hotel untuk mendaftar masuk.



Ini meskipun mereka sudah membuat bayaran kepada suspek terlebih awal dan tempahan bilik hotel telah disahkan penjual.



Tempahan dibuat secara dalam talian dengan mangsa memberi butiran seperti nama penuh, telefon bimbit, nama hotel, jumlah bilik dan tarikh tempahan.



Mangsa kemudian perlu memindahkan wang bayaran kepada suspek penjual tersebut melalui PayNow untuk menjamin tempahan mereka.



Difahamkan jumlah bayaran yang ditipu dianggar antara $500 hingga $7,500 bagi setiap mangsa.



Antara tawaran pakej bilik hotel popular termasuk di Resorts World Sentosa, Capella Hotel, Amara Sanctuary, Amara Sanctuary Resort Sentosa, Fullerton Bay Hotel dan Shangri-La.



Difahamkan sejak awal minggu ini, mangsa sudah cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan bayaran balik namun gagal.



Laporan polis mengenai perkara ini sudah dibuat mangsa, dengan sebahagian daripada mereka juga telah mengemukakan kes di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) untuk mendapatkan balik wang mereka.



Dalam satu lagi kes berasingan tentang penipuan tempahan bilik hotel, polis kelmarin berkata ia telah menahan seorang lelaki, 45 tahun.



Menurut kenyataannya kelmarin, polis menerima beberapa laporan bulan ini daripada mangsa yang kononnya gagal menerima tempahan hotel mereka walaupun membuat pembayaran kepada suspek lelaki itu yang tidak dikenali.



Mangsa terjumpa iklan lelaki itu untuk tempahan hotel di Carousell, dan terus berhubung dengan dia melalui WhatsApp.



Selepas pembayaran dibuat oleh mangsa melalui pindahan wang melalui bank dan PayNow, mereka mendakwa gagal menerima tempahan hotel.



Melalui siasatan, pegawai Divisyen Polis Woodlands mengenalpasti identiti lelaki itu dan menahannya pada 15 Disember lalu.



Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu didakwa terlibat dalam sekurang-kurangnya 29 kes yang sama dengan jumlah kerugian yang dilaporkan berjumlah $30,000.



Suspek dijadual didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



Kesalahan itu membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >