Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga S'pura bangga dengan negara, positif terhadap globalisasi, imigrasi: Laporan IPS

Sep 24, 2021 | 05:30 AM



RAKYAT Singapura umumnya berbangga dengan negaranya, khususnya dalam institusi pemerintah seperti sistem penjagaan kesihatan, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan kepelbagaian agama, menurut satu laporan oleh Institusi Kajian Dasar (IPS), Universiti Nasional Singapura (NUS).



Laporan itu yang meninjau 2,001 rakyat dan penduduk tetap (PR), juga mendapati responden berpandangan positif terhadap globalisasi dan imigrasi kerana kededuanya mempunyai kesan baik terhadap ekonomi.



Tinjauan dijalankan Makmal Sosial IPS antara September hingga November tahun lalu bermatlamat untuk memahami rasa bangga dan identiti nasional di Singapura di tengah-tengah beberapa realiti global seperti Covid-19.



Mengulas dapatan laporan itu dalam sidang media semalam, penasihat akademik Makmal Sosial IPS dan pakar sosiologi, Profesor Madya Tan Ern Ser, berkata hasil laporan adalah seperti yang dijangkakan.



"Rakyat Singapura mempunyai rasa jati diri dan identiti nasional yang kukuh. Tetapi tentunya ada perbezaan dalam pelbagai segmen masyarakat, dari segi kelas, usia, etnik.



"Ini dijangkakan kerana setiap segmen mempunyai pengalaman tersendiri dalam menjadi seorang warga Singapura, mempunyai pengetahuan dan kayu ukur mereka sendiri untuk menentukan samada mereka berbangga atau tidak tentang pelbagai isu," terangnya.



Membentangkan laporan itu, Ketua Makmal Sosial IPS, Dr Mathew Mathews, berkata daripada 24 sumber kebanggaan yang disenaraikan, lebih 50 peratus responden berbangga dengan 18 aspek.



Enam sumber kebanggaan utama rakyat ialah sistem penjagaan kesihatan, tahap kebersihan, SAF, kepelbagaian agama, sistem pendidikan dan cara pengurusan pandemik.



Aspek paling kurang dibanggakan rakyat adalah dalam cara layanan warga asing dan kebebasan media, menurut laporan itu.



Dari segi perpaduan sosial, terdapat beberapa tanggapan ketidaksamaan di negara ini.



Secara keseluruhan, 64.5 peratus responden berasa segelintir warga mempunyai kelebihan untuk berjaya manakala 55.9 peratus berkata masyarakat Singapura tidak setara.



Sementara majoriti responden, atau 70 peratus daripada mereka, berpendapat pendekatan negara terhadap isu berbilang kaum telah berkesan, responden lebih muda - iaitu mereka yang berusia di bawah 34 tahun - serta minoriti, khususnya masyarakat Melayu, percaya pendekatan ini perlu diperbaiki.



Berhubung dengan globalisasi pula, laporan itu mendapati 83 peratus responden akur ia sesuatu yang positif kerana ia memanfaatkan ekonomi dan rakyat.



Namun responden kurang berpendidikan mempunyai tanggapan lebih negatif terhadap globalisasi kerana ia menyebabkan rakyat miskin ketinggalan di belakang.



Mengenai isu imigrasi, lebih 75 peratus akur ia sesuatu yang baik untuk ekonomi.



Hanya lebih 50 peratus responden bersetuju bahawa pendatang asing merebut pekerjaan dari rakyat dan pemerintah membelanjakan terlalu banyak dana untuk membantu mereka.



Berkongsi pandangannya, Dr Matthews berkata keprihatinan tentang isu imigrasi akan sentiasa berterusan.



"Namun, kami perhatikan rakyat umumnya positif mengenai globalisasi, sedangkan tahun lalu kita dalam keadaan yang tidak membolehkan pergerakan... umumnya, rakyat Singapura dapat merasakan globalisasi adalah sesuatu yang berkesan," ujarnya.



Laporan itu juga mendapati responden paling prihatin tentang pandemik, kemelesetan ekonomi dan rasa tidak percaya antara kaum sebagai ancaman terbesar terhadap masa depan Singapura, dengan 50 peratus hingga 60 peratus responden menyifatkan setiap isu itu sebagai ancaman besar.



Ini berbanding kurang 20 peratus yang menganggap parti pembangkang lemah, rasa keagamaan meningkat atau imigrasi, sebagai ancaman masa depan Singapura.




SEKILAS DAPATAN LAPORAN IPS



 • KEBANGGAAN NEGARA



- Rakyat Singapura umumnya berbangga dengan Singapura, seperti sistem penjagaan kesihatan, tahap kebersihan, SAF, kepelbagaian agama, sistem pendidikan dan cara pengurusan pandemik.

- Lebih 50% responden berbangga dengan 18 daripada 24 sumber kebanggaan disenaraikan.

- Golongan minoriti lebih berbangga dengan Singapura, berbanding majoriti.



 • GLOBALISASI DAN IMIGRASI



- Rakyat Singapura kenal pasti manfaat dan kepentingan globalisasi dan imigrasi.

- 83% responden akur ia sesuatu yang positif kerana ia memanfaatkan ekonomi dan rakyat.

- 75% akur imigrasi secara umumnya baik untuk ekonomi, lebih 50% prihatin pendatang mengambil pekerjaan mereka.



 • IDENTITI BANGSA



- Walaupun identiti nasional diutamakan, identiti bangsa masih penting terutamanya bagi golongan minoriti.

- Masyarakat Melayu - 71% anggap pentingnya identiti bangsa, 78% pentingkan identiti nasional.

- Masyarakat India - 60% anggap pentingnya identiti bangsa, 85% pentingkan identiti nasional.



 • ANCAMAN TERHADAP MASA DEPAN SINGAPURA



- Tiga keprihatinan rakyat adalah pandemik, kemerosotan ekonomi dan ketidakpercayaan antara kaum.



 • PANDANGAN RESPONDEN BERBEZA MENGIKUT PROFIL



- Ramai warga mempunyai pandangan idealis yang sederhana - berpandangan seimbang tentang Singapura dan rakyat Singapura, tetapi tetap dalam komitmen identiti mereka.

- Golongan status sosioekonomi (SES) yang tinggi lebih prihatin mengenai isu seperti keadilan sosial dan ketidaksamaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >