Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Warisan seni silat terus diperjuangkan

Baru-baru ini, Yayasan Warisan Melayu (MHF) mengadakan acara terakhirnya di Taman Warisan Melayu sebelum pusat tersebut menutup pintunya sepenuhnya bagi kerja pembangunan semula sehingga 2025. Acara yang dinamakan Berbagi Warisan itu mengundang dan mengiktiraf tokoh, seniman, budayawan dan sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Taman Warisan Melayu yang kini menjadi lambang dan institusi masyarakat. Antara tokoh yang hadir ialah pakar silat, Cik Isiah Majid, yang berucap mengenai hala tuju dan masa depan seni mempertahankan diri, silat. Ikuti laporan BERITA MINGGU yang mewawancara Cik Isiah mengenai pandangannya.
Dec 11, 2022 | 05:30 AM



PADA suatu masa dahulu, silat merupakan antara seni Melayu yang kaya dengan budaya dan warisan.



Keindahan seni silat ini sering dipertontonkan di majlis serta acara kebudayaan selain dipertandingkan di temasya silat.



Namun, seni persilatan ini mula kehilangan keasliannya sejak beberapa dekad yang lalu dan kini lebih cenderung serta mementingkan aspek kesukanannya.



Veteran persilatan Singapura, Cik Isiah Majid berpandangan bahawa dalam menyaksikan perkembangan silat, dalam masa yang sama, ia juga kian luntur dari tradisi.



"Seni silat subur di Singapura pada tahun-tahun 70-an dan 80-an. Pernah pada satu-satu masa dalam tahun-tahun itu, terdapat lebih dari 40 perguruan muncul di Singapura ini.



"Semasa era kegemilangan itu, keaslian silat dapat di lihat di majlis-majlis, acara-acara yang bercorak budaya dan juga dipertandingan atau temasya silat.



"Namun ia mula berkurang dengan hilangnya banyak kampung-kampung, yang merupakan tempat pembelajaran seni silat," kata beliau yang mula berkecimpung dalam silat pada usia 9 tahun..



Menurutnya lagi, apabila berlaku penempatan semula, tempat untuk mengadakan latihan silat menjadi terhad dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan untuk satu-satu pertubuhan silat juga menjadi hambatan.



"Itu yang menjadikan kegemilangan itu lenyap sedikit demi sedikit," tegasnya.



Cik Isiah, yang juga merupakan Setiausaha Agung Majlis Pusat Singapura, baru-baru ini ditemui dalam satu wawancara dengan Berita Minggu (BM).



WARISAN SENI SILAT HARUS TERUS DIPERJUANGKAN



Menyentuh tentang hala tuju dan masa depan warisan seni silat di Singapura, guru silat yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun berpendapat warisan seni silat ini akan malap atau tidak bermaya sekiranya ia tidak terus dimartabatkan.



Jelas, beliau menambah, ini merupakan sesuatu yang sudah mula dapat disaksikan pada masa ketika ini, dengan kurangnya perguruan silat yang terus memperjuangkan keaslian seni persilatan.



Cik Isiah khuatir kecenderungan terhadap aspek kesukanan akan menyebabkan budaya dan inti sebenar silat dilupakan.



"Saya melihat perguruan-perguruan yang masih aktif, lebih mementingkan sukan silat dari tradisi silat itu sendiri dan salah satu sebab ialah dengan pemergian guru-guru tua dan tiada pelapis yang bersungguh-sungguh mempertahankan keaslian seni persilatan tersebut," ujarnya.



Sukan silat merupakan antara acara yang dipertandingkan di pelbagai temasya sukan besar termasuk Sukan SEA, Kejohanan Dunia serta kejohanan-kejohanan lain di peringkat antarabangsa.



Kejohanan-kejohanan seperti ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan sering mendapat liputan meluas.



Meskipun ini merupakan satu perkara yang memberangsangkan dan dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang seni persilatan, Cik Isiah berkata bidang persilatan di sini merangkumi banyak aspek, termasuk dari segi budaya dan bahasa.



Beliau adalah antara tokoh setempat yang sering memperjuangkan dan berusaha melestarikan serta memakmurkan bahasa ibunda menerusi bidang persilatan di Singapura.



Baru-baru ini, Cik Isiah telah dijemput untuk memberi perkongsian di acara 'Berbagi Warisan' anjuran bersama Yayasan Warisan Melayu dan Taman Warisan Melayu.



Acara itu bertujuan mengiktiraf tokoh-tokoh, seniman, budayawan dan sasterawan yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Taman Warisan Melayu yang kini menjadi lambang dan institusi masyarakat.



Selain Cik Isiah, tokoh lain yang hadir termasuk sasterawan perintis, Cikgu Suratman Markasan; perintis penari Melayu dan pengasas Sri Warisan, Cik Som Said; dan tokoh perintis teater Melayu Singapura Encik Nadiputra (Almahdi Al-Haj Ibrahim).



BERKAIT DENGAN BAHASA DAN BUDAYA



Di acara tersebut, Cik Isiah berkongsi bahawa dalam seni silat bukan sahaja terselit seni mempertahankan diri, tetapi juga keunikan bahasa, adab dan tertib.



Beliau menekankan bahawa hanya pada keaslian seni silat tersirat elemen-elemen ini.



Seperti Bahasa Melayu, Cik Isiah akur bahawa seni persilatan juga kian hilang penggunaannya di kalangan masyarakat Melayu di sini.



Justeru, Cik Isiah, yang juga merupakan guru silat bersama Perguruan Silat Seni Gayong Singapura, akan sering mengaitkan kedua-dua seni silat dan bahasa ketika mengendalikan latihan.



"Saya merasa kekhuatiran kita tentang akan lenyapnya Bahasa Melayu juga akan membawa sama kekhuatiran tentang lenyapnya seni pusaka bangsa ini, kerana keduanya berkait rapat.



"Saya sangat mementingkan penggunaan Bahasa Melayu dalam gelanggang, dan juga menjadi satu daya penarik kepada ibu bapa yang punya kesedaran akan kepentingan Bahasa Melayu untuk anak-anak mereka," katanya.



Usaha untuk mengekalkan seni tradisi ini tidak terhenti di situ buat Cik Isiah.



Beliau telah menerbitkan beberapa buku yang mengisahkan pengalaman dan keistimewaan seni silat.



Antara hasil karyanya termasuk, Bahasa Dan Budaya Dalam Seni Persilatan; buku kanak-kanak bersiri, Kisah Dina dan Bahqer serta novel remaja, Wira Duo.



"Buat diri saya sendiri, saya berusaha untuk mengekalkan seni tradisi ini dengan cara membukukan pengalaman dan keistimewaan seni silat melalui beberapa penerbitan saya.



"Saya juga cuba ketengahkan seni silat di majlis-majlis dan acara-acara yang berunsur budaya.



"Dan yang paling penting, berkongsi seberapa banyak ilmu tentang persilatan dengan murid-murid saya. Juga tentang keistimewaan Bahasa dan budaya dalam seni persilatan," tambah beliau.



BELUM TERLAMBAT



Baru-baru ini, munculnya filem Mat Kilau telah menampakkan sedikit kenaikan rasa ingin tahun di kalangan masyarakat tentang keaslian seni silat.



Justeru, Cik Isiah berpendapat bahawa masih belum terlambat lagi untuk mengembalikan era kegemilangan seni mempertahankan diri Melayu ini.



Menurutnya, banyak lagi yang boleh dilakukan untuk memastikan ianya dapat terus kekal relevan dalam masa mendatang.



"Masih belum terlambat untuk kita terus membangkitkan semula semangat bersilat di kalangan masyarakat kita.



"Peluang masih ada selagi ada guru-guru muda yang bersedia untuk berkorban masa dan tenaga untuk menyambung tradisi guru-guru tua mereka.



"Keterbatasan yang saya sebutkan ini boleh diatasi dengan adanya kebebasan di pihak Persatuan Rakyat (PA) untuk silat dilihat sebagai satu budaya dan guru-guru boleh mengajar silat sebagai sebuah kumpulan peminat "interest group".



"Guru-guru juga harus punya rasa sayang pada tradisi ini dan berusaha mengangkat kembali tradisi yang ditinggalkan oleh guru-guru mereka, demi kepentingan budaya bangsa Melayu dan bukan demi mengejar juara.



"Mereka harus boleh membezakan antara sukan silat dengan silat tradisional," tegas beliau.




SEKILAS BIODATA ISIAH MAJID



Dilahirkan pada September 1962.



Mempunyai 7 orang anak dan 5 cucu.



Mula berkecimpung dalam seni persilatan pada usia 9 tahun.



Beliau kini mempunyai tali pinggang hitam dalam silat dan mengajar seni mempertahankan diri itu bersama Perguruan Silat Seni Gayong Singapura.



Sebagai seorang veteran persilatan yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) dan kini merupakan Setiausaha Agung Majlis Pusat Singapura serta Pengerusi Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS).



Karya



Buku kanak kanak: Silat Warisan Budaya Saya - Kisah Dina dan Bahqer.



Novel remaja: Wira Duo



Buku bukan fiksyen: Bahasa Dan Budaya Dalam Seni Persilatan; Permainan Anak Kampung




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >