Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Watikah pemenang anugerah perangsang

Nov 18, 2019 | 12:00 AM



WATIKAH BUAT CIKGU NORASIKEN MOHAMED NOOR



Sejak menjadi anak didikku

Sudah kulihat kilauanmu

Bak permata yang bakal menyinari jagat ilmu

Ilmu bahasa dan budaya Melayu

Hari ini kau sahihkan taksiranku

Kau sememangnya permata yang gemerlap

Menggilap minda insan-insan di sekelilingmu



Seorang insan yang dibesarkan dalam kesederhanaan hidup tidak pernah dihiasi dengan kemewahan yang hadir hanyalah segunung impian untuk mendidik anak bangsa.



Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian;

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.



Berpegang pada falsafah bangsa dengan tenang menempuh segala cabaran cekal mengimbangi antara tuntutan di sekolah sebagai guru dengan kesungguhan mendalami ilmu di universiti impian.



Dalam usia yang muda dengan langkah kecil, mulai mendaki tangga kejayaan kini sebagai Penolong Ketua Peringkat menebarkan sayap demi menjaga kemaslahatan anak didik.



Mewujudkan keseronokan

Mencetuskan minat

Menyentuh keajaiban

Inilah gambaran suasana bilik darjah

Agar setiap anak didik sentiasa bersemangat menggali ilmu kehidupan.



Kata anak didikmu



Engkaulah yang menyinari jalan-jalan mereka yang buntu

Engkau jugalah yang menerangi mereka dengan lentera pengetahuanmu.

Paculah terus mengejar visimu

Agar dapat sama-sama menuju

Ke gerbang kejayaan secara bersepadu.



BIODATA RINGKAS



Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang



Sekolah: Sekolah Perempuan Haig



Usia: 27 tahun



Jangka masa perkhidmatan: Lima tahun enam bulan




WATIKAH BUAT CIKGU NURHAFEZA HANEM ABDUL AZAL



Sedekad dalam bidang pendidikan

Mengajar bahasa Melayu pelbagai aliran

Menerajui program

Menganjur perkhemahan

Dan pelbagai kegiatan



Ibarat srikandi bangsa Melayu

Dalam lembut tutur, tangkas langkah diatur

Disiplin pelajar di atas pundak

Pelbagai masalah dan kehendak

Tanpa sebarang latihan dan bimbingan

Hanya melalui bacaan dan pengamatan

Ilmu didalami

Peningkatan menjadi satu harapan

Sarjana Pendidikan tercapai impian



Teguh perjuang bahasa tercinta

Ada peluang dirangkul semua

Jejak Mitra, Rerurai Teratak Nenda

Kerja kemasyarakatan di Batam, China dan Bintan

Begitulah sikapnya, berani menyahut cabaran



Yang sentiasa terpahat di sanubari

Bila ada yang memohon dimaafi

Tangisan penyesalan titis air mata

Di depan kedua ibu bapa

Langsung dilihat perubahan mereka

Boleh bertutur dengan berhemah



Berpaksikan jati diri

Menjadi pelapis berperibadi

Berdaya intelektual tinggi

Dapat menabur bakti

Pada ibu pertiwi.



BIODATA RINGKAS



Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang



Sekolah: Sekolah Menengah Canberra



Usia: 34 tahun



Jawatan: Guru Disiplin



Jangka masa perkhidmatan: 10 tahun




WATIKAH BUAT CIKGU MUHAMMAD ANDI MOHAMMED ZULKEPLI



Mendidik, mengasuh dan membimbing

Sekolah Menengah Zhenghua segalanya bermula

Penyelaras unit dan guru disiplin

Kumpulan genderang tidak dilupa.



Para pelajar menjadi tumpuan

Pelbagai pedagogi dilaksanakan

Membangun keyakinan, meningkatkan pemikiran

Pembelajaran seronok, minda berkembang.



Keterampilan berbahasa menjadi matlamat

Cerita rakyat, karya sastera dimanfaat

Penghayatan mereka merentas cipta

Persembahan pelajar hasil bersama.



Menjaga disiplin pelajar, antara tugas

Kewajipan menimba ilmu tetap digalas

Berkongsi ilmu di rantau dan Nusantara

Diiktiraf finalis

Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan.



Pertembungan idealisme dan gagasan muluk

Falsafah pendidikan dan nilai kearifan

Mencabar minda, mencuit hati

Membentuk pelajar dan sanubari.



Pementasan teater menjadi wadah

Tenaga guru dan pelajar digembleng

Setiap peringkat memainkan peranan

Bahasa dijunjung, budaya disanjung.



Misbah Minda mengimbau kenangan

Melestarikan bahasa dan budaya Melayu

Memberi pelajar ruang dan peluang

Terhasilnya Pesta Budaya, Ceritera Kita dan Warisan Kita.



Harapan guru ikhlas dan tulus

Membentuk pelajar yang arif lagi budiman

Menghidupkan bahasa menyemarakkan budaya

Penerus warisan leluhur kita.



BIODATA RINGKAS



Penerima AGAB 2019, Kategori Perangsang



Sekolah: Sekolah Menengah Zhenghua



Usia: 31 tahun



Jawatan: Guru Disiplin Tingkatan



Jangka masa perkhidmatan: Tujuh tahun tiga bulan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >