Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

WP akur ancaman campur tangan asing, namun prihatin kuasa meluas pemerintah

Oct 05, 2021 | 05:30 AM



SEDANG Parti Pekerja (WP) akur terhadap ancaman campur tangan asing dan penggunaan kuasa pemerintah untuk mengatasi ancaman tersebut, parti itu menyarankan langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah.



Parti Kemajuan Singapura (PSP) juga akur dengan ancaman itu tetapi menggesa pemerintah menangguhkan kelulusan undang-undang itu, mengadakan perundingan awam dan melantik jawatankuasa pilihan bagi meneliti rang tersebut.



Saranan ini dibentangkan oleh Anggota Parlimen (AP) pembangkang semasa menyertai perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) di Parlimen semalam.



Dalam ucapannya, Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), berkata WP berpendirian bahawa ancaman campur tangan asing tidak dapat dinafikan.



"Oleh itu pemerintah perlu ada kuasa, dan bahkan kuasa yang berpotensi bersikap intrusif untuk campur tangan dalam kes yang sewajarnya.



"Tetapi jika kita menerima bahawa kuasa meluas, yang didefinisikan secara meluas ini, perlu digubal untuk mengatasi campur tangan asing, justeru dewan ini perlu memastikan penggubalan mekanisme kawal selia yang sama kukuh untuk mencegah salah guna kuasa," kata Encik Pritam.



Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) itu akan memberikan pemerintah pelbagai kuasa, termasuk mengarah penyedia khidmat Internet dan media sosial memberikan maklumat mengenai pengguna, memadamkan kandungan dalam talian dan menyekat akaun pengguna, demi mengatasi pelaku sedemikian.



Semalam, Encik Pritam mengusulkan mekanisme bagi individu yang menerima arahan di bawah Akta Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) atau Fica untuk pertama sekali membuat rayuan kepada Menteri untuk membatalkan arahan itu, dan kemudian kepada Mahkamah Tinggi untuk penelitian kehakiman.



Awal sebelum itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, menjelaskan bahawa rayuan bagi arahan berkenaan Kempen Maklumat Berniat Jahat, akan dipertimbang sebuah tribunal semakan yang bebas.



Tribunal ini, yang dianggotai hakim Mahkamah Agung dan anggota lain, akan mempunyai kuasa untuk menolak arahan Menteri.



Mengenai salah guna kuasa, Encik Shanmugam berkata risiko sebuah pemerintah melakukan sedemikian perlu diimbangi dengan risiko campur tangan asing.



Risiko campur tangan asing ialah risiko yang lebih besar, kata Encik Shanmugam.



"Akhirnya, orang ramai yang akan membuat keputusan akhir dalam negara seperti Singapura yang penduduknya berpendidikan tinggi. Keputusan akhir itu akan diluahkan dari segi pandangan awam dan juga menerusi pilihan raya.



"Risiko tidak memberi kuasa atau memerlukan proses mahkamah.. akan amat menjejas keupayaan pemerintah untuk mengatasi risiko nyata campur tangan asing, yang sudah pun berlaku," kata Encik Shanmugam.



Seorang lagi anggota pembangkang yang menyertai perbahasan itu semalam ialah Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, daripada PSP.



"PSP amat menentang campur tangan asing dalam ehwal negara kita tetapi PSP tidak dapat menyokong Fica dalam bentuknya sekarang sedang ia tidak mempunyai penilaian secukupnya oleh anggota parlimen dan orang awam mengenai implikasinya yang meluas.



"PSP menyeru pemerintah untuk menangguhkan kelulusan rang undang-undang, mengadakan perundingan awam dan melantik jawatankuasa pilihan untuk meneliti rang itu," kata Encik Leong.



Memberi respons mengenai kritikan bahawa rang itu dibentang dengan cepat, Encik Shanmugam berkata isu ini telah dibincangkan sejak lebih tiga tahun lalu.



Sebuah jawatankuasa pilihan telah membincangkan isu ini pada 2018, dengan lebih 20 individu, pertubuhan, termasuk pakar, yang tampil memberi kenyataan.



Kata Encik Shanmugam, isu campur tangan asing juga pernah dibincangkan beberapa kali di Parlimen, termasuk dalam beberapa jawapan kepada pertanyaan AP, serta ucapan Encik Shanmugam di perbahasan belanjawan pada 2019 dan 2021.



Satu persidangan mengenai ancaman tersebut yang memaparkan penceramah setempat dan asing juga telah diadakan pada 2019.



"Ancaman terhadap campur tangan asing dan keseriusannya tidak dipertikaikan kebanyakan orang, dan kebanyakan orang juga setuju sesuatu perlu dilakukan," kata Encik Shanmugam.




RISIKO CAMPUR TANGAN ASING RISIKO NYATA



"Akhirnya, orang ramai yang akan membuat keputusan akhir dalam negara seperti Singapura yang penduduknya berpendidikan tinggi. Keputusan akhir itu akan diluahkan dari segi pandangan awam dan juga menerusi pilihan raya. Risiko tidak memberi kuasa atau memerlukan proses mahkamah.. akan amat menjejas keupayaan pemerintah untuk mengatasi risiko nyata campur tangan asing, yang sudah pun berlaku."
- Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >