Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WP sedar Raeesah bohong seminggu lepas buat dakwaan palsu di Parlimen

Parti gesa beliau jelas perkara sebenar di Parlimen secepat mungkin, ia tidak dipatuhi, dakwaan tidak tepat diulang
Dec 03, 2021 | 05:30 AM



PARTI Pekerja (WP) sedar Cik Raeesah Khan berbohong di Parlimen sekitar seminggu selepas ucapannya di dewan itu pada 3 Ogos, namun telah memberinya masa untuk menguruskan hal peribadinya.



Ini setelah beliau memberitahu kepimpinan parti itu beliau juga merupakan mangsa serangan seksual dan belum memberitahu keluarganya.



Meskipun demikian, kepimpinan WP menggesa Cik Raeesah untuk menjelaskan perkara sebenar di Parlimen secepat mungkin.



Bagaimanapun, beliau dijangkiti sakit kayap dan tidak dapat hadir di persidangan dewan pada September.



Justeru, kepimpinan WP menegaskan beliau harus menjelaskan perkara itu di sesi Parlimen seterusnya, pada Oktober. Namun, arahan itu tidak dipatuhinya.



Dalam satu sidang media semalam, setiausaha agung WP, Encik Pritam Singh berkata Cik Raeesah bahkan mengulangi kepalsuan yang bertentangan dengan apa yang telah dikongsi dengan kepimpinan WP semasa sidang itu.



Sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti tersebut di Geylang Road itu diadakan dua hari selepas WP mengumumkan Cik Raeesah telah meletak jawatan dari parti dan sebagai Anggota Parlimen (AP).



Dalam ucapannya di Parlimen pada Ogos lalu, Cik Raeesah berkata beliau telah menemani seorang mangsa rogol berusia 25 tahun untuk membuat laporan polis dan mendakwa pegawai polis yang mewawancara mangsa telah membuat komen kurang sopan mengenai pakaian dan perbuatan mangsa yang minum arak.



Cik Raeesah kemudian, dalam sidang Parlimen pada 1 November, mengaku kisah itu telah dikongsi mangsa dalam kumpulan sokongan bagi wanita yang turut beliau sertai dan Cik Raeesah tidak mendapat kebenaran mangsa untuk berkongsi kisah tersebut.



Encik Singh yang juga Ketua Pembangkang, berkata setelah Cik Raeesah membuat ucapannya pada 3 Ogos lalu, beliau telah memintanya mencari individu yang terlibat dalam insiden berkenaan bagi menyokong dakwaannya itu.



Meskipun Cik Raeesah tidak berterus terang serta-merta, Encik Singh berkata beliau akhirnya menjelaskan perkara sebenar, termasuk bagaimana beliau juga merupakan mangsa serangan seksual dan perkara itu tidak diketahui keluarganya.



"Memandangkan keadaannya sebagai mangsa serangan seksual dan keadaan mindanya ketika itu, daya bersedia memberinya ruang yang diperlukan untuk memberitahu orang-orang tersayangnya mengenai perkara itu," ujar Encik Singh.



Menyusuli insiden tersebut, pasukan WP di Sengkang kini kekurangan seorang anggota, namun pengerusi parti itu Cik Sylvia Lim menekankan tiada pilihan raya kecil diperlukan kerana tiga AP lain - Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua - akan terus berkhidmat bagi penduduk Sengkang bagi tempoh ini.



Menurut Cik Lim, undang-undang jelas menetapkan bahawa di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, writ pilihan raya kecil tidak boleh dikeluarkan bagi GRC kecuali jika kesemua anggotanya mengundur diri.



LAPORAN SELANJUTNYA: Pengamat: Peletakan jawatan Raeesah langkah WP kembalikan kredibiliti, imej parti




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >