Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA BERSAMA ZAQY MOHAMAD SEMPENA PELANTIKAN SEBAGAI TIMBALAN PENGERUSI MENDAKI

Zaqy mahu perkasa golongan pekerja menerusi pendidikan

May 20, 2018 | 05:30 AM



SEMASA di sekolah rendah dan sekolah menengah, Encik Zaqy Mohamad merupakan antara pelajar yang mengikuti kelas mingguan tuisyen Yayasan Mendaki.



Menurutnya, kelas tersebut banyak membantunya ketika itu, memandangkan beliau tidak mengikuti tuisyen lain.



Apabila melangkah ke alam pekerjaan pula, Encik Zaqy aktif dalam Lembaga Pengarah Mendaki.



Daripada seorang pelajar yang meraih manfaat daripada program yang dijalankan badan bantu diri itu, kini Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara) itu pula akan meneruskan sumbangannya kepada badan tersebut selaku Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki.



"Saya rasa penglibatan saya dengan Mendaki sudah bak satu putaran," katanya sambil tertawa.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah mengumumkan pelantikan Encik Zaqy itu di Parlimen, baru-baru ini.



Menurut Encik Masagos, yang juga pengerusi Mendaki, pengetahuan dan pengalaman Encik Zaqy akan membolehkan Mendaki memainkan peranan lebih mendalam dalam meningkatkan kesedaran dan mempersiap masyarakat bagi cabaran ekonomi masa depan.



Mengongsi visi dan misinya, ternyata keinginannya mahu memperkasa golongan pekerja menerusi pendidikan amat terserlah sepanjang sesi temu ramah di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Negara (MND) awal minggu ini.



"Meskipun tetap dengan misinya mahu memperkasa masyarakat menerusi kecemerlangan pendidikan, daripada pengamatan saya, Mendaki telah banyak berubah.



"Daripada sekadar menyediakan kelas tuisyen, ia kini dikembangkan dengan menawarkan program bersifat pendidikan bagi mempertingkat kerjaya seseorang.



"Program mempertingkat kemahiran sedemikian amat penting bagi mempersiap pekerja bagi cabaran hari muka," ujarnya.



Menjelaskan, Encik Zaqy berkata beliau akan memanfaatkan pengalamannya dalam Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk membantu karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) meraih peluang kerjaya terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi gangguan sekarang.



Ini, menurutnya, dapat dilaksanakan dengan meningkatkan kemahiran golongan PMET menerusi pendidikan sepanjang hayat agar mereka lebih berdikari demi menampung keluarga.



"Daripada portfolio saya di MOM, saya rasa penting membentuk sebuah ekosistem yang dinamik lebih-lebih lagi memandangkan banyak syarikat kini mengalami transformasi ekoran gangguan.



"Pekerja dapat tingkatkan kemahiran dengan mengamalkan sikap belajar sepanjang hayat," katanya.



Namun, lebih daripada itu, Encik Zaqy bersetuju dengan gesaan Encik Masagos agar memperkukuh kuasa 3M - Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - demi memperkasa masyarakat.



Ini termasuk mengatasi masalah penyampaian khidmat atau 'last mile service delivery' dengan memperkukuh aspek pendidikan.



"Mungkin daripada segi format, pendekatan lebih holistik diperlukan bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan manfaat kepada masyarakat Melayu," kongsinya.



Menjelaskan, Encik Zaqy berkata meskipun aspek pendidikan itu penting bagi pembangunan menyeluruh seseorang, sering kali keluarga Melayu setempat juga dibelenggu masalah sosial yang lain.



Oleh itu, sinergi dan integrasi yang kukuh antara 3M, kata Encik Zaqy, amat penting agar dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian antara satu sama lain demi mendekati lebih ramai anggota masyarakat Melayu dengan harapan dapat meraih masa depan yang lebih cerah.



Ditanya adakah beliau menjangkakan sebarang cabaran, Encik Zaqy berkata:



"Saya rasa ia merupakan satu perubahan budaya.



"Tetapi saya tidak risau kerana semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu memang utuh.



"Kerjasama juga akan membawa banyak manfaat kepada masyarakat."



Tambahnya, beliau akan bertemu dengan Mendaki dalam masa terdekat ini untuk berbincang dengan lebih mendalam lagi bagi mengetahui apa yang boleh dilakukan untuk mempertingkat dan memperhalusi mutu program yang dilakarkan agar masyarakat lebih bersedia bagi perubahan masa depan.



"Mungkin kami akan kongsikan lebih banyak perincian tentang program yang akan dilakukan dalam masa dua hingga tiga bulan lagi," katanya.



Bagaimanapun, Encik Zaqy sempat melahirkan rasa positifnya terhadap kebolehan masyarakat Melayu pada masa hadapan.



"Saya harap semua individu akan mempunyai keyakinan mahu bersaing di persada antarabangsa tetapi pada masa yang sama, bersikap berdikari selain mengekalkan jati diri orang Melayu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >