Topik diikuti
Pergi ke BHku$1.37j terkumpul bagi penduduk memerlukan menerusi acara sukan amal
Disalur ke Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat di Marine Parade-Braddell, Mountbatten bagi bantu penduduk, program masyarakat
$1.37j terkumpul bagi penduduk memerlukan menerusi acara sukan amal
Dana $1.37 juta berjaya dikumpulkan menerusi acara sukan amal keluarga sulung anjuran GRC Marine Parade-Braddell Heights dan SMC Mountbatten yang berlangsung di Stadium Negara pada 29 November.
Dana yang dikumpulkan menerusi acara ‘Pulse 2026: Satu Masyarakat, Satu Nadi’ itu akan disalurkan kepada Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF) di kawasan GRC Marine Parade-Braddell Heights dan SMC Mountbatten bagi membantu penduduk memerlukan.
Ini selain menyokong program kendalian pusat kanak-kanak dan belia, The Hut Limited, Pusat Khidmat Keluarga PPIS dan Persatuan Atletik Singapura (SAA).
Dana ini, yang ditadbir di peringkat akar umbi, menyediakan sokongan langsung kepada penduduk yang memerlukan, sama ada dalam bentuk barangan dapur, dermasiswa mahupun bantuan kebajikan.
Berucap di hadapan lebih 2,000 peserta, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyeru rakyat Singapura agar terus kekal bersatu padu dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan global, termasuk konflik di Timur Tengah dan isu jerebu baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa meskipun pemerintah menyediakan pelbagai bentuk sokongan, inisiatif yang diterajui masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Pemerintah akan terus memainkan peranannya dalam menyokong rakyat Singapura.
“Namun, usaha yang dijalankan dalam masyarakat juga amat penting.
“Oleh itu, saya berharap anda semua akan terus memberikan sokongan padu kepada para penasihat akar umbi kita.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu dan bergolak ini, marilah kita terus menjadikan Singapura sebuah negara di mana kita sentiasa boleh saling bergantung dan yakin bahawa kita akan sentiasa berdiri bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu,” kata Encik Wong.
Turut hadir ialah Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, yang juga mantan Anggota Parlimen GRC Marine Parade, serta penasihat akar umbi GRC Marine Parade-Braddell Heights dan SMC Mountbatten yang lain, iaitu Speaker Parlimen Encik Seah Kian Peng, Cik Tin Pei Ling, Cik Diana Pang, Cik Gho Sze Kee dan Penasihat Kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO), Encik Ahmad Firdaus Daud.
Encik Firdaus, seorang peguam, telah dikerahkan ke kawasan undi Kembangan sejak 1 September.
Semasa acara yang berlangsung dari 9 pagi hingga 12 tengah hari itu, peserta telah mengambil bahagian dalam beberapa cabaran sukan seperti cabaran larian sejauh 10 kilometer, jalan santai sejauh 3.2 kilometer, cabaran 'Inflatable Ninja’, senaman Zumba serta aktiviti sukan lain seperti pickleball, bola lantai dan mendayung.
Dalam pada itu, AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Seah, berkongsi bahawa acara ini dirancang dengan tujuan untuk menyatukan masyarakat, memupuk budaya saling menyokong, serta menggalakkan keluarga menyertai aktiviti fizikal.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, turut merakamkan penghargaannya ke atas sumbangan sebanyak $120,000 yang diterima PPIS.
Cik Aidaroyani berkata: “Kami amat bersyukur atas sumbangan yang diterima daripada para penasihat di GRC ini, dan sumbangan ini pastinya akan memberikan sokongan kepada golongan kanak-kanak, wanita, serta keluarga dalam membantu kehidupan seharian mereka.”