Menjelang pembukaan Bay East Garden di Gardens by the Bay pada 2027, kira-kira satu persepuluh daripada 100 tumbuhan bakaunya berasal dari Timor-Leste, dengan sebahagiannya akan ditanam oleh orang awam sendiri.
Antara spesies yang dibawa ialah Ceriops australis, atau bakau kuning berbuah licin, yang boleh membesar setinggi 10 meter dan belum pernah ditemui di Singapura.
Biji benihnya dikutip pada 18 Oktober di Hera, kira-kira 12 kilometer dari ibu kota Dili, sebelum dibawa ke Singapura oleh pasukan Gardens by the Bay untuk disemai bersama spesies bakau lain dari Pasir Ris Park sejak Julai.
Kerjasama ini direalisasikan menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara Gardens by the Bay dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) Timor-Leste, yang dimeterai pada 17 Oktober di Dili.
Perjanjian tiga tahun itu meliputi pertukaran tumbuhan, latihan teknikal dan program pendidikan awam bagi memupuk kesedaran biodiversiti.
Gardens by the Bay juga akan menyokong pembangunan Taman Botani Francisco Xavier do Amaral, yang belum dimajukan sepenuhnya sejak dilancarkan pada 2016.
Timor-Leste mempunyai keluasan 14,800 kilometer persegi, dengan kira-kira 60 peratus dikategorikan sebagai berhutan tetapi kekurangan litupan tebal.
Ketua Jabatan Penanaman Semula Hutan, Encik Adelino Rojario, berkata negara itu kehilangan 1.7 peratus atau lebih 14,000 hektar hutan setiap tahun akibat pembalakan haram, kebakaran dan amalan pertanian tebas bakar.
Sebagai sumbangan, Gardens by the Bay memberikan biji benih pelbagai spesies tempatan kepada tapak semaian pemerintah, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Antara yang disemai ialah Dendrolobium umbellatum, pokok berdaun kuning dari Vanuatu, serta Acacia oraria yang tahan garam.
Ketua hortikultur Gardens by the Bay, Encik Anton van der Schans berkata spesies telah dipilih berdasarkan keupayaan untuk tumbuh cepat, sumbangan terhadap kesuburan tanah dan keselamatan ekologi.
Beliau menekankan kepentingan spesies asli untuk melindungi flora dan tanaman sedia ada.
Katanya, memandangkan ekonomi Timor-Leste bergantung kepada pertanian, penting untuk menanam spesies asli supaya tidak mengancam tumbuhan tempatan atau tanaman sedia ada.
Beliau menambah bahawa biji benih daripada sumber luar dapat memperluas kepelbagaian genetik, menjadikan spesies tersebut lebih tahan lama.
Usaha pemerintah Timor-Leste disokong oleh Konservasaun Flora no Fauna, yang mengurus pusat kajian bakau seluas 50 hektar dan menghasilkan sehingga 40,000 anak pokok dalam setahun.
Di sinilah propagul Ceriops australis dan benih Pemphis acidula, spesies yang hampir pupus di Singapura, dikutip.
Encik van der Schans berkata kerjasama dengan Timor-Leste bukan sahaja memperkenalkan spesies baru tetapi juga membolehkan pertukaran ilmu hortikultur.
Gardens by the Bay turut merancang melibatkan 200 sukarelawan awam dalam penanaman bakau menjelang 2027, selaras dengan visinya untuk menjadikan Singapura sebuah “bandar dalam taman”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg