Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 lagi pemandu ditahan tawar khidmat bawa penumpang secara terlarang

Jul 20, 2025 | 12:56 PM
Dalam operasi yang dijalankan di Lapangan Terbang Changi pada 18 Julai, kesemua 10 pemandu itu menggunakan kenderaan asing dan kenderaan itu telah dirampas oleh pihak berkuasa.
Dalam operasi yang dijalankan di Lapangan Terbang Changi pada 18 Julai, kesemua 10 pemandu itu menggunakan kenderaan asing dan kenderaan itu telah dirampas oleh pihak berkuasa. - Foto FACEBOOK/LTA

Seminggu selepas 22 individu ditahan kerana menawarkan khidmat membawa penumpang secara terlarang, seramai 10 lagi pemandu ditahan dalam operasi penguatkuasaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) terhadap mereka yang menawarkan khidmat bawa penumpang itu tanpa lesen yang sah.

Dalam operasi yang dijalankan di Lapangan Terbang Changi pada 18 Julai, kesemua 10 pemandu itu menggunakan kenderaan asing dan kenderaan itu telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Sama seperti 22 pemandu yang ditahan kerana menawarkan khidmat membawa penumpang secara terlarang di Lapangan Terbang Changi dan Gardens by the Bay pada 11 Julai, ada di antara 10 pemandu itu juga menawarkan khidmat rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia tanpa permit yang diperlukan.

Menurut kenyataannya di Facebook pada 19 Julai, LTA berkata mereka telah mengambil tindakan susulan maklumat yang diterima daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), yang juga pernah memberikan maklumat kepada pihak berkuasa bagi operasi sebelum ini.

Menurut LTA, 10 pemandu yang ditahan pada 18 Julai itu menawarkan khidmat membawa penumpang secara terlarang di Singapura dan juga rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia.

“Perkhidmatan terlarang seperti ini bukan sahaja berisiko kerana mungkin tiada perlindungan insurans yang betul, malah menjejas mata pencarian pemandu berlesen,” kata LTA dalam sebuah video yang dimuat naik di laman media sosialnya.

LTA turut menarik perhatian bahawa peningkatan operasi penguatkuasaannya terhadap khidmat terlarang ini juga boleh menjejas perjalanan penumpang.

Namun, LTA berkata mereka akan tetap komited melindungi kepentingan penumpang dan juga pemandu yang mempunyai lesen sah.

Untuk menawarkan khidmat teksi atau kereta sewa peribadi di Singapura, seseorang mesti memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL).

Ini turut dikenakan bagi pemandu kenderaan asing yang menawarkan khidmat rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia.

Buat masa ini, hanya teksi Singapura dan Malaysia yang diluluskan oleh LTA dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dibenarkan menawarkan khidmat rentas sempadan.

Selain PSVL, teksi Malaysia juga perlu mempunyai Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean.

Sejak 2022, seramai 104 pemandu telah ditahan kerana menawarkan khidmat membawa penumpang rentas sempadan secara terlarang menggunakan kenderaan asing.

LTA berkata mereka yang didakwa dan didapati bersalah sejauh ini dikenakan denda hingga $2,600 dan kenderaan mereka turut dirampas.

Hukuman maksimum bagi mereka yang menawarkan khidmat membawa penumpang secara terlarang di Singapura ialah denda hingga $3,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg