Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan kerja baru dibentuk, tangani isu warga asing jadi pekerja platform

Kumpulan yang diusul NTUC akan dianggotai MOM, MOT, Grab
Jul 4, 2025 | 8:25 PM
NTUC, pekerja platform, Kumpulan kerja baru ditubuh
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC), Encik Ng Chee Meng (barisan pertama, berbaju merah), dalam sesi dialog bersama pekerja platform pada 4 Julai. - Foto NTUC

Sebuah kumpulan kerja telah ditubuhkan untuk menangani isu warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram, serta cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja platform di Singapura.

Kumpulan kerja itu akan terdiri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan persatuan berkaitan dengannya, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Grab Singapore, menurut kenyataan bersama MOM dan MOT pada 4 Julai.

Ia akan diterajui Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; dan Pengarah Urusan Operasi Kumpulan Grab, Encik Yee Wee Tang.

Ini selepas Encik Ng menggesa pemerintah pada 4 Julai agar membentuk kumpulan kerja itu bagi menangani isu tersebut di samping cabaran lain dihadapi pekerja platform.

Kumpulan itu akan secara kolektif menangani cabaran pekerja platform dan menjaga kesejahteraan mereka di sebalik ekonomi yang pesat berubah, jelas kenyataan itu.

“Sebagai pemain utama dalam ekonomi platform tempatan, penyertaan proaktif Grab memberi isyarat kukuh mengenai komitmen pengendali platform untuk bekerjasama dengan pemerintah dan NTUC dalam menangani isu-isu penting.

“Kami akan meneroka untuk membawa pengendali platform lain dalam perbincangan pada masa akan datang,” tambah kenyataan itu.

Jurucakap Grab dalam satu kenyataan berkata syarikat itu komited untuk bekerjasama dengan pemerintah, NTUC, dan pengendali platform lain untuk membanteras perkhidmatan penghantaran haram dan melindungi mata pencarian pekerja platform.

Ia menambah Grab mempunyai langkah untuk menghalang warga asing daripada mendaftar sebagai pekerja platform.

Dalam satu kenyataan media berasingan, NTUC berkata sesetengah warga asing mengambil kerja penghantaran secara langsung di platform dengan menyalahgunakan akaun. 

Ini adalah tidak sah kerana kerja platform hanya boleh dilakukan oleh warga Singapura, tegas kenyataan itu.

Ini mewujudkan “persaingan tidak adil kepada pekerja penghantaran kita dan memberi kesan langsung kepada pendapatan mereka”, kata NTUC, yang memaklumkan hal ini terbongkar berikutan maklum balas daripada pergerakan buruh dan persatuan pekerja platform.

Pekerja platform mengikat kontrak dengan pengendali platform untuk menyediakan perkhidmatan, terutama dalam e-hailing dan penghantaran. 

Antara mereka ialah pemandu sewa persendirian yang bekerja untuk syarikat seperti Grab dan Gojek, serta penghantar makanan untuk perkhidmatan seperti GrabFood, foodpanda dan Deliveroo.

NTUC turut menegaskan walaupun pengendali platform boleh menempatkan kerja penghantaran ke syarikat lain, sesetengah warga asing bekerja untuk syarikat tersebut tanpa permit kerja. Perbuatan ini juga adalah haram.

Kumpulan kerja ini juga akan menyiasat cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja platform, seperti perkhidmatan tumpangan haram dan ketidakstabilan pendapatan.

Menurut NTUC, terdapat perkhidmatan e-hailing tanpa kebenaran yang beroperasi melalui aplikasi pesanan seperti Telegram, yang menjejas pendapatan pekerja.

“Perkhidmatan haram ini menjejas peluang pekerjaan pekerja platform yang sah, mewujudkan persaingan tidak adil yang menjejas keupayaan mereka untuk memperoleh pendapatan yang mampan,” kata NTUC.

Ia juga menarik perhatian tentang skim insentif untuk pekerja platform yang secara tidak sengaja menggalakkan waktu bekerja lebih lama, sekali gus menimbulkan isu keselamatan. 

Selain itu, pekerja juga menghadapi ketidakpastian jenis kerja yang ditugaskan menerusi aplikasi, menyebabkan mereka “menghadapi kekurangan jaminan pendapatan”.

Encik Ng berkata pekerja platform adalah golongan yang terdedah dan menggesa agar mereka “dilayan dengan adil kerana mereka mencari nafkah secara jujur”.

Tambahnya NTUC dan persatuan gabungannya – Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) telah berjaya memperjuangkan hak pekerja platform melalui kelulusan Akta Pekerja Platform, yang mula berkuat kuasa pada 2025.

Di bawah Akta tersebut, pengendali platform diwajibkan menyediakan insurans pampasan kecederaan pekerjaan untuk pekerja platform serta membayar lebih dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF), antara lain.

Encik Ng menambah: “Namun, lebih banyak usaha perlu dilakukan, dan dengan segera.”

“Cabaran-cabaran ini menyukarkan pekerja platform untuk memperoleh pendapatan stabil bagi menyara diri dan keluarga mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg