10 warga Bangladesh kumpul $10,000 bagi tabung infak Masjid Malabar
10 warga Bangladesh kumpul $10,000 bagi tabung infak Masjid Malabar
Jumlah $10,000 bakal disalur ke tabung infak masjid bagi sokong penyediaan juadah iftar harian
Sejak pertama kali datang ke Singapura sekitar 2001 untuk membuka perniagaannya sendiri, warga Bangladesh, Encik Rezaul Karim, kerap mengunjungi Masjid Malabar, khususnya pada Ramadan.
Pemilik syarikat pembinaan AAG Construction itu berkongsi kepada Berita Harian (BH) beliau sentiasa berasa dirinya diterima dan dapat rasakan semangat kekitaan di Singapura.
Menurutnya, pengalaman itu diperolehi menerusi layanan baik masyarakat tempatan di Masjid Malabar, terutama melalui penganjuran iftar harian yang diadakan hampir setiap tahun sepanjang Ramadan.
Disebabkan ingin membalas jasa masjid tersebut, Encik Rezaul, 40 tahun, mendorong 10 rakannya yang juga anggota jemaah tetap masjid itu, agar menyimpan wang setiap hari sejak awal 2025, demi mengumpul $10,000.
Dana yang berjaya dikumpulkan itu disalurkan ke tabung infak Masjid Malabar bagi menyokong penyediaan juadah iftar harian.
Encik Rezaul berkongsi: “Bagi kami, ini adalah sesuatu yang kecil yang boleh kami sumbangkan kepada kutipan infak Masjid Malabar, memandangkan mereka sentiasa menyediakan juadah iftar sepanjang Ramadan.
“Kami sangat bersyukur dengan sumbangan masjid ini.”
Menurut Encik Rezaul, beliau pernah menghadiri majlis iftar yang menghimpunkan antara 100 dengan 200 anggota jemaah di sebuah masjid di Bangladesh, yang sering dikunjunginya.
“Di Bangladesh juga ada budaya menyumbang seperti di sini.
“Kami menyumbang pakaian, manisan dan lain-lain.
“Usaha iftar di Masjid Malabar mengingatkan saya kepada kampung halaman dan saya berasa dialu-alukan di sini,” tambah beliau.
Pada Ramadan ini, Masjid Malabar akan meneruskan penyediaan makanan bento harian untuk berbuka puasa.
Antara juadah yang dihidangkan pada tahun-tahun sebelumnya termasuk bubur, nasi beriani, nasi ayam atau daging kambing, buah-buahan, minuman seperti bandung, teh, air mineral, serta kurma.
Pengerusi Eksekutif Masjid Malabar, Encik M K Jameel, berkata sekitar 70 hingga 75 peratus anggota jemaah masjid terdiri daripada masyarakat Bangladesh, termasuk pekerja migran dan pemilik perniagaan.
“Ruang ini menjadi tempat masyarakat Bangladesh berkumpul, manakala juadah iftar percuma yang disediakan turut memberi sokongan kepada para pekerja migran,” kongsi Encik Jameel.
Selain usaha mengumpul dana, sebahagian daripada mereka turut aktif menjadi sukarelawan di Masjid Malabar dengan meluangkan masa dan tenaga bagi memastikan kelancaran program iftar.
Sepanjang Ramadan, ada di antara mereka membantu dalam menghidangkan makanan dan minuman untuk jemaah yang hadir berbuka puasa.
Menurut Encik Rezaul, “cabaran utama adalah menguruskan pembahagian tugas ketika orang ramai hadir dalam jumlah yang besar”.
Encik Jameel menambah: “Masjid ini berpegang pada prinsip 5S iaitu ‘Senyum, Salam, Sapa dan Sopan Santun’.
“Kami sentiasa mengingatkan perkara ini semasa bekerjasama dalam melakukan (kerja) sukarela.”
Pada 2024, Masjid Malabar menyediakan antara 700 dengan 900 hidangan iftar pada hujung minggu, manakala jumlah itu meningkat kepada 900 hingga 1,200 anggota jemaah pada hujung minggu Ramadan 2025.
Jumlah purata anggota jemaah adalah sekitar 900 orang setiap hari pada 2025.
Masjid Malabar menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat semasa Ramadan 2026.
Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada tabung infak Masjid Malabar, sumbangan boleh dibuat melalui:
1. PayNow UEN: S29MQ0053L dengan rujukan ‘Ramadan 2026’
2. https://malabar.mimbar.sg/infaq/SR26
“
Bagi kami, ini adalah sesuatu yang kecil yang boleh kami sumbangkan kepada kutipan infak Masjid Malabar, memandangkan mereka sentiasa menyediakan juadah iftar sepanjang Ramadan. Kami sangat bersyukur dengan sumbangan masjid ini.
