Muhammadiyah, rakan MMO hulur bantuan Ramadan, seru sokongan dana dan relawan
Muhammadiyah, rakan MMO hulur bantuan Ramadan, seru sokongan dana dan relawan
Dana sumbangan penderma diguna bagi iftar golongan memerlukan, dan penyelenggaraan solat tarawih, kegiatan dakwah serta kebajikan
Ramadan adalah bulan mulia yang dinanti-nantikan umat Islam sedunia. Muslim meningkatkan amalan bersedekah dan menderma pada bulan suci ini.
Persatuan Muhammadiyah mengalu-alukan kedatangan Ramadan dengan harapan tinggi dapat menambah dananya demi melaksanakan pelbagai rancangan dakwah dan kebajikan.
Berkat kerjasama dan sumbangan derma masyarakat, Muhammadiyah bersama 11 lagi badan Melayu/Islam (MMO) Singapura, dengan sokongan Maybank, berganding bahu menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
Melalui kerjasama ‘Program Ramadhan Relief Serantau Maybank’ itu, 2,500 benefisiari menerima bantuan, termasuk lebih 400 benefisiari di bawah naungan Muhammadiyah, yang menerima hamper makanan pra-Ramadan.
Inisiatif itu dijayakan melalui pelibatan 700 sukarelawan Maybank dan MMO Singapura, serta sokongan 150 pemandu Grab.
Para benefisiari terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, dan individu hilang pekerjaan akibat masalah kesihatan.
Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim, berkata:
“Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada ‘Program Ramadhan Relief Serantau Maybank’, berganding bahu bersama rakan-rakan MMO, korporat dan sukarelawan, bersatu dalam semangat ihsan dan khidmat.
“Kebersamaan sempena Ramadan – bulan amat bermakna bagi kami semua – ini menambah nilai dan makna kepada usaha kolektif kami dalam menyokong mereka yang memerlukan.”
Muhammadiyah juga mengaturkan dan akan meneruskan program tahunan Ramadan badan itu di lokasi alternatif demi memenuhi keperluan masyarakat, terutama golongan memerlukan.
Salah sebuah programnya ialah ‘Amalthon Ramadan’. Ia adalah inisiatif tahunan Muhammadiyah di mana peserta diajak, dengan daya usaha melebihi upaya, menjadi sukarelawan, penderma atau memperbanyak ibadah sepanjang Ramadan.
Program yang dijalankan sepanjang Ramadan ini melibatkan kos operasi harian.
Muhammadiyah memerlukan sekitar $1,500 hingga $3,000 sehari untuk menyediakan iftar dan menjalankan kegiatan.
Dana yang disumbang para penderma akan digunakan bagi penyediaan hidangan buka puasa, kos penyelenggaraan dan penganjuran kegiatan dakwah serta kebajikan.
Masyarakat Melayu/Islam boleh membantu menangani kos penyelenggaraan ini melalui infak dan derma.
Muhammadiyah menyeru agar lebih ramai sukarelawan tampil untuk membantu dalam persediaan dan pengagihan iftar dan penyelenggaraan solat tarawih.
Selain itu, sukarelawan diperlukan untuk menyebar maklumat kepada orang terdekat tentang peluang menderma dan menyumbang masa serta tenaga bagi kerja amal dan kebajikan Muhammadiyah.
Muhammadiyah juga amat mengalu-alukan Muslim menunaikan zakat harta dan fidyah melaluinya.
Zakat harta dan fidyah yang diterimanya setiap tahun dimanfaatkan bagi lebih 15,000 individu – termasuk keluarga berpendapatan rendah, pelajar, kanak-kanak terabai, belia dan warga emas.
Presiden Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, berkata: “Sedekah adalah penghubung dan pengikat antara pelbagai lapisan masyarakat yang berkemampuan dengan golongan memerlukan.
“Sumbangan zakat, infak dan fidyah yang anda berikan kepada Muhammadiyah akan membolehkan kami terus menyokong golongan kurang bernasib baik, mengangkat semangat mereka yang menghadapi kesukaran dalam hidup dan membina masyarakat bertakwa, berilmu dan membawa manfaat.
“Semoga usaha kita bersama dalam menyalurkan rahmat dan keberkatan untuk semua diredai Allah swt serta diberikan jaminan syurga buat kita sekeluarga.”
Penderma boleh mengunjungi reruai Muhammadiyah di lapan bazar Ramadan utama di serata Singapura untuk menyumbang kepada persatuan itu.
SUMBANG KEPADA PERSATUAN MUHAMMADIYAH
Masyarakat Islam boleh menyalurkan zakat dan sedekah, terutama pada Ramadan, melalui Persatuan Muhammadiyah. Ia akan mengadakan majlis iftar dan solat tarawih di Persatuan Arab Singapura, Al-Wehdah, di Lorong 37, Geylang sepanjang Ramadan, kecuali pada 22 dan 28 Februari di Blok 10, Eunos Crescent. Muhammadiyah memerlukan sekitar $1,500 hingga $3,000 sehari bagi menyediakan iftar dan menjalankan pelbagai kegiatan sepanjang Ramadan.
Jika anda ingin menderma, caranya:
– Kutipan dari rumah: Hubungi talian 6242-7388
– PayNow: Imbas kod QR yang disediakan
– Dalam talian:
Projek Wahdah: muhammadiyah.org.sg/wahdah
Zakat dan fidyah: muhammadiyah.org.sg/zakat
– Maklumat lanjut berkaitan kegiatan Muhammadiyah sepanjang Ramadan atau penyaluran zakat, layari: muhammadiyah.org.sg/ramadan2026

