Kira-kira 100 orang dipindahkan dari bangunan khidmat kediaman di Balestier pada 12 Mac selepas alat mudah alih untuk mengecas peranti, atau ‘power bank’, terbakar.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia telah dimaklumkan sekitar 5.30 pagi mengenai kebakaran di 207 Balestier Road, bangunan pangsapuri Citadines Balestier Singapura.
Menurutnya, sebuah alat ‘power bank’ di dalam bilik tidur unit di tingkat 26 telah terbakar. Api telah dipadamkan menggunakan gelung hos.
Kira-kira 100 orang dipindahkan dari premis itu sebelum SCDF tiba, kata SCDF.
Seorang yang terhidu asap telah diperiksa oleh paramedik SCDF tetapi enggan dibawa ke hospital.
Seorang pelancong memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa penggera kecemasan berbunyi kira-kira 5.30 pagi.
Lelaki berusia 56 tahun itu, yang tinggal di sebuah apartmen di tingkat lapan, segera berlari ke bawah.
Ketika itu, bau asap tebal telah memenuhi koridor, katanya.
Lelaki itu dibenarkan kembali ke biliknya kira-kira 7.30 pagi.
Seorang wanita berusia 30 tahun di tingkat 20 memberitahu bahawa bekalan elektrik di apartmennya terputus selepas kejadian itu. Beliau kembali ke unitnya sekitar 8 pagi.
SCDF berkata punca kebakaran sedang disiasat.
Jurucakap Citadines Balestier, pada 13 Mac berkata:
“Semua tetamu telah kembali ke apartmen masing-masing. Siasatan terperincii akan dilakukan untuk memastikan hartanah itu selamat untuk didiami. Kami akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu pihak berkuasa dalam sisatan mereka.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg