Sekitar 100 orang dipindah keluar menyusuli satu kebakaran kecil yang berlaku di Hospital Universiti Nasional (NUH) pada tengah hari 15 Mei.
Dalam kenyataannya kepada Berita Harian, jurucakap NUH berkata satu kebakaran kecil berlaku di cawangan kafe Delifrance yang terletak di Pusat Perubatan NUH pada sekitar 12 tengah hari.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataannya pula berkata kebakaran itu melibatkan sebuah ketuhar di unit tingkat empat di 1 Lower Kent Ridge Road.
Pasukan Respons Balas Kecemasan Syarikat (Cert) dan SCDF berjaya memadamkan api tersebut, dan tiada kecederaan dilaporkan, ujar jurucakap NUH.
Beliau menambah keadaan terkawal dalam masa 10 minit dan klinik-klinik dalam bangunan itu juga tidak terjejas.
Pada tengah hari 16 Mei, Berita Harian (BH) menerima beberapa video daripada pembaca yang menunjukkan sebahagian orang cuba mencari jalan keluar dari bangunan itu dipercayai akibat satu kebakaran.
SCDF berkata sekitar 100 orang keluar dari premis itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutu SCDF, Cert telah memadamkan kebakaran dengan menggunakan lima pemadam api kering dalam bentuk serbuk kering dan gelung hos sebelum SCDF tiba di tempat kejadian, jelas SCDF.
Siasatan masih dijalankan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung, pesakit dan kakitangan atas kerjasama mereka dan ingin meminta maaf atas kesukaran yang timbul,” kata jurucakap NUH itu lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg