Persaingan sengit dalam kalangan penyedia khidmat korban swasta yang menawarkan ternakan untuk ibadah korban telah menyebabkan haiwan korban ditawarkan pada harga yang rendah dalam usaha memikat pelanggan.
Kebanyakan pengusaha ini menyediakan haiwan bagi ibadah korban di luar negara, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan juga negara sejauh benua Afrika seperti Uganda dan Ghana.
Penyelidikan Berita Harian (BH) mendapati terdapat pengusaha yang menawarkan kambing di Uganda, misalnya, pada harga $160, manakala sepertujuh bahagian lembu pula dijual pada harga sekitar $85.
Ini jauh lebih rendah berbanding ternakan korban yang ditawarkan di bawah program SalamSG Korban, yang mana seekor kambing biri-biri berharga $360; anak biri-biri berharga $365; dan satu pertujuh bahagian daripada seekor lembu berharga $365.
Difahamkan bahawa secara purata, berat seekor kambing adalah sekitar 15 kilogram.
SalamSG Korban adalah khidmat ibadah korban yang dikendalikan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Beberapa pengusaha tersebut berkongsi dengan BH bahawa harga kompetitif yang ditawarkan oleh mereka itu adalah demi memenuhi permintaan segenap lapisan masyarakat yang ingin mengambil bahagian dalam ibadah korban, dengan haiwan dari pelbagai negara dijual pada harga yang berbeza-beza untuk dibeli Sohibul Korban, atau seseorang yang melakukan ibadah korban mengikut kemampuan mereka.
Dalam pada itu, sesetengah asatizah telah menyuarakan rasa kurang selesa dengan amalan sedemikian, dengan harga yang dianggap terlalu rendah itu dilihat sebagai cara mengaut keuntungan menerusi penjualan tinggi, sekali gus berupaya menjejas maksud sebenar ibadah korban.
Antara yang menyediakan haiwan korban ialah syarikat Al Fajr SG, yang menawarkan kambing pada harga antara $197 dengan $227, $397 bagi kambing biri-biri dan $77 bagi satu per tujuh bahagian lembu.
Pengasasnya, pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Donjany, atau nama sebenarnya, Encik Muhammad Noor Tijany Nezam, ketika ditemui BH di pejabatnya di Ubi Crescent, berkongsi bahawa harga berpatutan yang mereka tawarkan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menjalankan ibadah korban.
“Kami ingin memberikan peluang bagi mereka yang mungkin tidak pernah menjalankan ibadah korban untuk melakukannya buat kali pertama dengan harga berpatutan.
“Dengan harga tawaran kami, golongan pelajar dan golongan yang tidak berada juga dapat menjalankan ibadah korban,” kata Encik Muhammad Noor.
Di bawah syarikat SignaturesofImran, pengasas, Encik Imran Mean, menjalankan kempen ‘Jom Berqurban’, yang menawarkan kambing dengan harga antara $205 dengan $245 dan lembu dengan harga $99 bagi sepertujuh bahagian atau $690 bagi seekor.
Beliau juga menetapkan harga sebanyak $480 bagi kambing biri-biri dari Australia seberat 16 hingga 18 kilogram yang akan diagihkan sepenuhnya di Gaza, Palestin di bawah kempen ‘Meat4Gaza’.
Selain itu, beliau juga menawarkan peluang bagi suri rumah dan belia menjana pendapatan tambahan sebanyak sehingga $5000 jika mereka menjadi ejen atau pegawai bersekutu dengan bayaran pendaftaran sebanyak $120.
Asatizah, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, yang juga kaunselor dan pendidik bebas, bagaimanapun berkata bahawa meskipun trend harga korban yang rendah mungkin menambat hati pembeli, tetapi memandangkan ia urusan ibadah, perlu ada ketelusan dalam meletakkan harga bersesuaian dengan berat kambing atau lembu tersebut.
Beliau menambah bahawa trend ‘beli tangan atas tangan’ menunjukkan ramai yang ingin mencari keuntungan dalam melaksanakan ibadah korban, “sehinggakan terjadinya promosi ‘lelong’ dan ‘jualan habis’”.
“Apabila tidak habis dijual, maka harga akan turun terlalu rendah. Ia melihatkan harga asal kambing dan harga jualan korban terlalu jauh.
“Walaupun ini mungkin bentuk promosi tapi ia boleh menjatuhkan nilai serta imej ibadah korban,” kata beliau.
Pengarah urusan Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, pula berkongsi bahawa ibadah korban bukan sekadar urusan jual beli, tetapi suatu yang dipersembahkan dengan jiwa dan ketaqwaan kepada Allah.
“Maka, apabila ibadah dijadikan bahan ‘lelong’, dikomersialkan secara keterlaluan, atau dikejar dengan teknik yang yang aneh-aneh, ia boleh menyebabkan kelunturan makna kerohanian ibadah tersebut. Ini yang kita tidak mahu terjadi,” kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Pergas Investment Holdings (PIH), Dr Shamsiah Abdul Karim, pula berpendapat perkembangan positif dalam pasaran penyedia ternakan korban secara tidak langsung telah mendorong lebih ramai pihak tampil menyediakan khidmat korban.
Ada yang melakukannya sebagai sumbangan dakwah, manakala sebahagian pula menjadikannya sebagai sumber tambahan pendapatan yang halal dan bermanfaat, tambah beliau dalam jawapannya kepada pertanyaan BH.
Namun, para penyedia digalakkan mengimbangi antara usaha memudahkan masyarakat dengan menjaga kemuliaan ibadah.
“Harga yang berpatutan adalah digalakkan, namun pemasaran dan komunikasi perlu kekal menghormati maksud korban sebagai ibadah yang besar nilainya di sisi Allah.
“Masyarakat juga disarankan agar memahami bahawa kemampuan dalam melaksanakan korban bukanlah semata-mata diukur dengan harga yang rendah, tetapi pada kejujuran niat dan keikhlasan hati,” kata Dr Shamsiah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg