Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

115 terima anugerah pingat peringatan atas sumbangan dalam dunia pengakap

Satu lencana baru direka khas sempena SG60 dan ulang tahun SSA turut dilancar
Jul 3, 2025 | 7:27 PM
Singapore Scout Association, Persatuan Pengakap Singapura, SSA, Halimah Yacob, Desmond Chong, ulang tahun
Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (berbaju hitam), beramah-tamah dengan para pengakap di ibu pejabat Persatuan Pengakap Singapura (SSA) pada 2 Jul 2025. - Foto ST

Sudah 13 tahun berlalu, namun bagi Dr Sunil Ravinder Gill, satu perkhemahan pengakap yang pernah dianjurkan tetapi tidak berjalan seperti dirancang, telah memberinya pengajaran yang berharga.

Semasa penginapan selama tiga hari dua malam di Pulau Ubin, anggota unit pengakap Dr Ravinder Gill, berhadapan hujan dan ribut petir yang berterusan selama satu hari satu malam.

“Beberapa khemah yang agak kosong terbang ditiup angin dan kami terpaksa mengejar (untuk mendapatkannya semula).

“Lumpur mengalir masuk ke dalam khemah dan beg-beg kami basah dan disaluti lumpur,” kata doktor perubatan berusia 30 tahun itu.

Sebagai pengakap kanan yang bertanggungjawab bagi acara tersebut, Dr Ravinder Gill, ketika itu pelajar di Sekolah Anglo-Chinese (Bebas), telah menyaksikan usaha rakan pengakapnya yang bersungguh-sungguh membawa semua peralatan perkhemahan mereka dari Singapura.

Beliau akhirnya terpaksa membuat keputusan sukar menamatkan perkhemahan itu lebih awal, demi keselamatan rakan pengakapnya.

Namun, pengalaman mencabar seperti itulah yang mendorong Dr Ravinder Gill, untuk terus aktif dalam kegiatan pengakap, walaupun selepas beliau meninggalkan zaman persekolahan.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kebangsaan dan Penolong Pesuruhjaya Antarabangsa Persatuan Pengakap Singapura (SSA), memberi tumpuan kepada usaha menambah baik pengalaman pengakap, lapor The Straits Times (ST).

Seorang lagi pengakap, Encik Songguang Han, Pegawai Pendidikan Kanan di Kementerian Pendidikan (MOE), berkata beliau terpengaruh dengan anggota keluarganya dan menyertai pergerakan belia itu sejak di sekolah rendah.

Sejak itu, beliau tidak pernah menoleh ke belakang.

Masih segar dalam ingatan Encik Han, ketika beliau terlewat bagi satu acara, beliau telah diarah berlari dan menyentuh pokok di hujung padang sekolahnya beberapa kali, sebagai hukuman daripada pengakap senior untuk menyemai nilai menepati masa dalam kalangan pengakap muda.

Menurut Encik Han, 44 tahun, meskipun hukuman seperti itu tidak lagi diamalkan, nilai kerja berpasukan dan semangat kemasyarakatan terus menjadi sebahagian penting pengalaman pengakap.

Dr Ravinder Gill dan Encik Han adalah antara 115 penerima pingat peringatan, yang dianugerahkan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam dunia pengakap, sempena ulang tahun ke-115 SSA dan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60).

Para penerima anugerah tersebut adalah contoh teladan dalam masyarakat pengakap dengan pengalaman perkhidmatan lebih 15 tahun dalam bidang seperti tadbir urus, khidmat jangkauan masyarakat, latihan atau kepimpinan pentadbiran.

Pingat tersebut disampaikan dalam satu majlis anugerah yang dihadiri tetamu kehormat dan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, di ibu pejabat persatuan itu di Bishan pada 2 Julai.

Semasa majlis itu, Puan Halimah turut melancarkan satu lencana baru yang direka khas untuk meraikan SG60 dan ulang tahun ke-115 SSA.

Semua pengakap akan memakai lencana tersebut pada pakaian seragam mereka dari Julai 2025 hingga Disember 2026.

Menurut Puan Halimah, pergerakan pengakap telah memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin masa depan negara, melalui latihan dan bimbingan kepada golongan muda.

Ramai alumni pengakap, termasuk kesemua empat perdana menteri Singapura, telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat, tambahnya.

Ketua Pesuruhjaya SSA, Encik Desmond Chong, berkata bahawa alumni terkenal lain termasuk beberapa menteri Kabinet, seperti Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung,  dan Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Puan Halimah, canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata:

“Pergerakan pengakap di Singapura sentiasa berada di barisan hadapan dalam menggalak keterangkuman dan kesaksamaan jantina – kami adalah kumpulan belia beruniform pertama dan satu-satunya di Singapura yang mempunyai program keperluan khas.

“Kami mempunyai hampir 2,000 perempuan dalam pergerakan pengakap walaupun bermula sebagai Persatuan Pengakap Lelaki.”

Beliau merujuk kepada program keperluan khas yang diadakan SSA pada 1980-an untuk menyediakan pengalaman pengakap yang diubah suai bagi belia berkeperluan khas.

Program tersebut telah membolehkan 11 unit dari pelbagai sekolah pendidikan khas menikmati pengalaman yang sama seperti pengakap biasa.

“Pergerakan pengakap di Singapura sentiasa berada di barisan hadapan dalam menggalak keterangkuman dan kesaksamaan jantina – kami adalah kumpulan belia beruniform pertama dan satu-satunya di Singapura yang mempunyai program keperluan khas.”
Puan Halimah Yacob.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg