Mulai Januari 2026, pelajar 13 sekolah akan membeli makanan daripada penyedia khidmat katering dan vendor, sekali gus menggantikan sistem kantin yang diuruskan oleh pegerai kini.
Sekolah tersebut akan beralih kepada model hidangan dapur pusat, dengan satu pengendali tunggal menguruskan kantin sekolah mereka.
Langkah itu diambil susulan kesukaran mencari pegerai kantin, lapor The Straits Times (ST).
Lima sekolah di barat Singapura – Sekolah Rendah Dazhong, Sekolah Rendah Kranji, Sekolah Rendah Pioneer, Sekolah Rendah Qifa dan Sekolah Rendah West View – akan menerima hidangan daripada Chang Cheng Mee Wah Food Ind.
Syarikat katering, Gourmetz, pula akan menyediakan makanan untuk lima sekolah di bahagian selatan, termasuk CHIJ (Kellock), Sekolah Rendah Radin Mas dan Sekolah Rendah River Valley.
Gourmetz juga akan membekalkan makanan ke kampus York Hill di Sekolah Menengah Outram sehingga penutupannya pada 2027.
Sekolah tersebut kini beroperasi dari dua lokasi sementara menunggu tempoh berpindah ke Sengkang.
Empat sekolah di bahagian utara dan timur Singapura pula akan mendapat makanan daripada Wilmar Distribution.
Mereka terdiri daripada Sekolah Rendah Casuarina, Sekolah Rendah Chongzheng, Sekolah Rendah Northoaks dan kampus Sengkang bagi Sekolah Menengah Outram.
Seorang jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan pengendali dapur pusat perlu menyediakan sekurang-kurangnya satu hidangan lengkap dengan harga tidak melebihi $2.70 di sekolah rendah dan $3.60 di sekolah menengah.
Mereka juga perlu mematuhi garis panduan Program Makanan Sihat di Sekolah yang dikeluarkan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan menawarkan aneka pilihan makanan yang baik.
ST melaporkan model dapur pusat sedang diperluas ke lebih banyak sekolah setelah model perintis dilaksanakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 2022, kata jurucakap tersebut.
Pengetua sekolah itu, Encik Chen Ziyang, berkata kantin sekolah menggunakan model hibrid, menggabungkan dapur pusat Sats dengan pilihan makanan tambahan.
Pelajar boleh mengambil hidangan yang ditempah dari dispenser automatik, menggunakan kad EZ-Link mereka yang didaftarkan.
Sekolah tersebut turut bekerjasama dengan Sats untuk mengendalikan tiga gerai tambahan yang menawarkan makanan ringan, mi sup dan buah-buahan segar.
Semua itu dibantu mesin layan diri untuk minuman, snek dan sandwic panas.
Dengan pelbagai pilihan tersebut, masa menunggu dikurangkan dengan “ketara,” kata Encik Chen, sambil menambah bahawa dispenser automatik membolehkan pengambilan makanan dalam masa lima minit pada waktu sibuk.
Walaupun kebanyakan sekolah mempunyai gerai kantin yang mencukupi, MOE menyatakan terdapat sekolah yang sukar mendapatkan pengendali gerai meskipun bayaran sewa rendah.
Pengetua Sekolah Rendah River Valley, Cik Jennifer Pang, berkata keputusan beralih ke model dapur pusat dibuat “setelah mempertimbangkan dengan teliti cabaran jangka panjang” dalam mendapatkan pengendali gerai baru untuk menggantikan yang telah bersara.
Pengetua Sekolah Rendah Northbrooks, Encik Melvin Cher, berkata pihak sekolah berdepan dengan masalah kadar pertukaran pegerai kantin yang meruncing dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi beberapa sekolah dengan bilangan pelajar yang kecil, menarik pegerai menjadi lebih sukar.
Menurut Encik Cher, Sekolah Rendah Northoaks mempunyai kira-kira 800 pelajar, jauh lebih rendah daripada purata 1,200 hingga 1,400 pelajar sekolah rendah biasa.
Sekolah itu terletak jauh dari stesen MRT di Sembawang Drive, namun beliau yakin ia akan berkhidmat dengan baik kepada bakal penduduk baru di Sembawang North.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg