Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE teroka model baru kendali kantin sekolah

Ini bagi tangani cabaran mencari peniaga gerai di sekolah
Nov 12, 2024 | 6:01 PM
Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing berkata pada 12 November di Parlimen bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan sekolah yang berminat dan bersedia untuk menggunakan model operasi kantin yang berbeza.
Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing berkata pada 12 November di Parlimen bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan sekolah yang berminat dan bersedia untuk menggunakan model operasi kantin yang berbeza. - Foto MDDI

Memandangkan lebih ramai pekedai telah bersara dan mengisi gerai kantin yang kosong mungkin menjadi lebih mencabar pada masa hadapan, Kementerian Pendidikan (MOE) sedang berbincang dengan sekolah tentang cara baru untuk mengendali kantin mereka.

Mengakui kesukaran yang dihadapi beberapa sekolah mencari pegerai, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata pada 12 November di Parlimen bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan sekolah yang berminat dan bersedia untuk menggunakan model operasi kantin yang berbeza.

Sebagai contoh, makanan boleh ditempah awal dan disediakan di dapur pusat sebelum dihantar ke sekolah, katanya sambil menambah model tersebut telah dirintis di Sekolah Menengah Yusof Ishak dan terbukti berkesan.

“Jika terdapat peniaga gerai sedia ada yang terjejas akibat peralihan sebegini, sekolah akan membantu dengan merujuk mereka ke sekolah berhampiran atau mengesyorkan mereka untuk diambil bekerja oleh pengusaha dapur pusat,” katanya.

Encik Chan berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa Anggota Parlimen (AP) – Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Cik He Ting Ru (GRC Sengkang), dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) – mengenai gerai kantin sekolah.

Encik Chua telah bertanya tentang kemungkinan memberikan subsidi terus kepada vendor kantin sekolah untuk mengimbangi kenaikan kos bahan-bahan yang lebih sihat dan mematuhi garis panduan pemakanan.

Cik He pula bertanya tentang usaha memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak dari latar belakang sosioekonomi rendah semasa waktu persekolahan.

Pada April , akhbar The Straits Times (ST) telah melaporkan bahawa sekolah-sekolah di Singapura, termasuk Sekolah Menengah Yusof Ishak, telah meneroka alternatif kerana menghadapi kesukaran mencari penjual gerai kantin yang sesuai, atau sedang berusaha memperbaiki tabiat pemakanan pelajar.

Sekolah Menengah Yusof Ishak dan Sekolah Rendah Blangah Rise tidak lagi mempunyai gerai yang dikendali pegerai dan telah beralih kepada makanan katering daripada syarikat katering dan logistik syarikat penerbangan Sats, manakala Sekolah Menengah Spectra menyediakan perkhidmatan daripada Select Group.

Jurucakap MOE berkata sebelum ini bahawa kebanyakan sekolah mempunyai bilangan gerai yang “mencukupi” untuk memenuhi keperluan pelajar.

Tetapi dari semasa ke semasa, sesetengah sekolah mungkin menghadapi cabaran mencari gerai, contohnya apabila vendor bersara.

Terdapat 65 iklan daripada sekolah rendah dan menengah disenaraikan di laman web MOE untuk peniaga gerai setakat 12 November.

MOE akan terus meneroka pelbagai pilihan, kata Encik Chan, yang termasuk pilihan konvensional mempunyai pengusaha gerai, model penghantaran dapur pusat atau mesin layan diri.

Menjawab Cik He, yang bertanya sama ada mesin layan diri boleh menyediakan makanan berkhasiat untuk pelajar termasuk mereka dari latar belakang berpendapatan rendah, Encik Chan berkata mesin tersebut akan digunakan terutamanya untuk makanan ringan dan minuman.

Itu juga merupakan salah satu daripada beberapa pilihan untuk sekolah. Encik Chan berkata ini akan membantu membebaskan tenaga kerja di kantin untuk menyediakan makanan panas untuk pelajar.

“Jadi, kami akan menggunakan semua model untuk menyediakan pelbagai pilihan untuk sekolah yang berbeza mengikut keperluan mereka yang berbeza,” kata Encik Chan, sambil menambah MOE bekerjasama dengan sekolah untuk memantau kualiti, kuantiti dan harga makanan.

Pengusaha gerai kantin dikehendaki menyediakan makanan mengikut garis panduan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), meliputi empat kumpulan makanan utama bagi memastikan keperluan nutrisi pelajar dipenuhi, katanya.

Sewaan gerai, yang berharga antara $5 hingga $15 sebulan, diketepikan semasa cuti sekolah untuk para pegerai, dan MOE sentiasa menyemak garis panduan harga makanan untuk membantu para pegerai mengekalkan kos mereka yang mampan, kata Encik Chan.

Tambahnya, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerima subsidi makanan sekolah, dan sekolah juga diberi dana tambahan untuk menyediakan lebih banyak bantuan kepada pelajar yang memerlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg