Sebanyak 1,310 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet perumahan baharu Sembawang North akan ditawarkan pada November, sekali gus merupakan jualan terakhir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi 2026.

Tempoh menunggu bagi flat itu ialah dua tahun 10 bulan.

Dua projek lain, di Bayshore dan Tengah, dengan jumlah 2,875 flat, akan turut ditawarkan dalam senarai jualan November, kata HDB pada 1 November.

Flat itu mempunyai tempoh menunggu tiga tahun dua bulan.

Secara keseluruhan, 4,661 unit flat dengan tempoh menunggu lebih singkat, iaitu kurang tiga tahun, akan dilancarkan pada 2026, bagi memenuhi komitmen HDB untuk melancarkan lebih 4,000 flat sebegitu pada 2026.

Menurut HDB, ia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasarannya melancarkan 12,000 flat dengan tempoh menunggu lebih singkat dari 2025 hingga 2027. 

Termasuk flat yang akan dilancarkan pada November, ia telah menawarkan sejumlah 9,351 flat sebegitu setakat ini.

HDB tidak mendedahkan tarikh khusus bagi jualan November, yang bakal menyaksikan had pendapatan dinaikkan kepada $16,000 untuk keluarga dan $8,000 bagi individu bujang.

Sembawang Anchor, yang akan dilancarkan dalam senarai jualan itu, akan mempunyai 1,310 unit flat fleksi dua bilik serta flat tiga, empat dan lima bilik di sebuah tapak di Admiralty Lane dan Sembawang Drive.

Satu daripada enam blok akan mempunyai flat sewa.

Kemudahan dalam pembangunan itu termasuk prasekolah, kedai makan, pasar raya dan kedai.

Sebuah pusat kejiranan baharu dan sebuah taman turut dirancang berhampiran projek itu.

Sementara itu, projek November, Bayshore Oasis yang terletak di kejiranan baharu Bayshore di Bedok, berhampiran stesen MRT Bayshore, menawarkan 855 unit flat fleksi dua bilik dan empat bilik merentasi empat blok, satu daripadanya akan mempunyai flat sewa.

Akan terdapat sebuah prasekolah, pasar mini dan beberapa kedai di kawasan yang dibatasi oleh Bayshore Drive dan Bayshore Walk.

Satu lagi projek Bayshore, yang namanya belum didedahkan, akan dilancarkan dalam senarai jualan akan datang.

Ia bersebelahan Bayshore Oasis dan menawarkan 1,640 unit, yang merangkumi flat fleksi dua bilik, tiga bilik dan empat bilik.

Apabila Plantation Dew di Tengah dilancarkan pada November pula, ia akan menjadi projek BTO pertama yang ditawarkan di kejiranan itu sejak Oktober 2023.

Ia terdiri daripada 710 unit flat fleksi dua bilik, tiga, empat dan lima bilik, serta flat tiga generasi.

Flat sewa ditawarkan dalam lima blok projek itu.

Dibatasi oleh Tengah Garden Avenue, Plantation Walk dan sebuah taman, projek itu akan mempunyai prasekolah, kedai makan, pasar mini dan kedai lain.

Ia terletak dalam jarak lima hingga 10 minit dari dua stesen MRT di Laluan Daerah Jurong (JRL), yang dijadual dibuka secara berperingkat antara 2028 dengan 2029.

Plantation Dew akan menawarkan “flat putih” konsep terbuka – tanpa dinding pemisah dalaman antara ruang tamu dan ruang tidur – bagi memberi pemilik rumah fleksibiliti lebih besar untuk menyesuaikan rumah mereka.

Ia akan menjadi projek BTO ketiga yang menawarkan flat sebegitu, dan yang pertama menawarkan format itu untuk flat lima bilik.

Dalam senarai jualan akan datang, empat projek lain akan ditawarkan di Bedok, Geylang, Toa Payoh dan Yishun.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti